Hikmah Dan Kepentingannya


Pelbagai Pengertian Hikmah

Tersebut di dalam kitab-kitab tertentu yang menerangkan pengertian hikmah secara ringkas iaitu:

-Mengetahui hakikat sesuatu.

-Mengetahui suatu yang paling afdhal dengan ilmu yang termulia. (Lisan Al Arab)

-Mengawal jiwa dan naluri ketika marah.

-Kalam yang dita’birkan berdasarkan pengalaman dan percubaan yang selari dengan kebenaran.

(Nazorot Hawla Wasoya Luqman Al-Hakim)

Para ulama’ juga memberikan pelbagai tafsiran mengenai pengertian hikmah antaranya:
Al-Imam Al-Qurtubiy menegaskan: Al-Hikmah ialah segala apa yang benar berkaitan dengan i’tiqad, kefahaman dalam agama, amalan dan kebijaksanaan.

(Tafsir Al-Qurtubiy)

Ibn Abbas menafsirkan: Hikmah sebagai akal, kefahaman. Manakala Mujahid pula berkata: Hikmah ialah akal, kefahaman dan perkataan yang tepat dan betul.

Hikmah sepertimana yang disebut di dalam tafsir Al-Manar ialah kefahaman yang baik terhadap kitab Allah ‘Azza Wa Jalla dan mendalami segala hukum–hakamnya. Mengenali segala maksud dan rahsia yang tersirat di sebalik hukum-hakam tersebut. Bukan setakat memahami perkara zahir sahaja, bahkan mengetahui tujuan sebenar yang membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat. Kebahagian terhadap individu dan masyarakat pada sudut material dan spritual. Apabila persoalan ini dapat digarap maka amalan praktikal dapat digerakkan dengan cara yang paling jitu.

Sebahagian ahli falsafah mengibaratkan hikmah sebagai: “Berakhlak dengan akhlak Allah ‘Azza Wa Jalla.” Maksudnya ialah berakhlak dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah ‘Azza Wa Jalla dengan kadar yang layak bagi manusia dan pada tahap keupayaannya.

(Al-Aql Wa Al Ilm Fi Al Quran)

Al-Imam Al-Fakhrur Raziy berkata: Ketahuilah bahawa hikmah tidak terkeluar daripada dua konsep, iaitu pada teori dan praktikal. Ini kerana, kesempurnaan insan hanya dengan dua perkara:

- Mengenali kebenaran (iaitu beriman dengannya)

- Mengetahui kebenaran untuk beramal.

Perkara pertama diasaskan pada aspek keilmuan dan pengetahuan yang bersesuaian. Manakala perkara kedua diasaskan pada perlaksanaan, konsep keadilan dan mengikut hala tuju yang tepat.

Al-Imam Al-Fakhrur Raziy telah menjelaskan dengan panjang lebar berkaitan dengan hikmah pada sudut teori dan praktikal sepertimana berikut:

1. Allah ‘Azza Wa Jalla telah mengisahkan tentang Nabi Ibrahim AS berkaitan hikmah pada sudut teori dan praktikal dalam firman-Nya yang bermaksud:

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama.

(As Syuara`: 83)

Ayat di atas menjelaskan hikmah pada sudut teori manakala sambungannya dibawah menjelaskan hikmah pada sudut praktikal.

Maksudnya firman Allah: Dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang salih.

(As-Syuara`: 83)

2. Allah ‘Azza Wa Jalla telah menyeru Nabi Musa AS dalam firman-Nya yang bermaksud:

Sesungguhnya Akulah Allah ‘Azza Wa Jalla; tiada Tuhan melainkan Aku.

(Toha: 14)

Ayat di atas menjelaskan hikmah pada sudut teori; manakala sambungan ayat seperti yang berikut menjelaskan hikmah pada sudut praktikal:

Maksud firman -Nya: Oleh itu, sembahlah akan Daku.

(Toha: 14)

3. Allah ‘Azza Wa Jalla menjelaskan tentang Nabi Isa AS dalam firman-Nya yang bermaksud:

Ia menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah ‘Azza Wa Jalla; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.

(Maryam: 30)

Ayat di atas menjelaskan hikmah pada sudut teori; manakala sambungan ayat yang berikut menjelaskan hikmah pada sudut praktikal,firman Allah yang bermaksud:

Dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.

(Maryam: 31)

4. Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah ‘Azza Wa Jalla.

(Muhammad: 19)

Ayat di atas menjelaskan hikmah pada sudut teori, manakala sambungan ayat yang berikut menjelaskan hikmah pada sudut praktikal,firman Allah yang bermaksud.

Dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan.

(Muhammad: 19)

5. Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman kepada sekelian para anbiya’,firman-Nya yang bermaksud:

Ia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendakiNya kepada (yang layak menjadi Rasul); (lalu Ia berfirman kepada Rasul-Rasul: Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Aku.

(An-Nahl: 2)

Ayat di atas menjelaskan hikmah pada sudut teori, manakala sambungannya pada ayat yang berikut menjelaskan hikmah pada sudut praktikal,maksud firman Allah Ta'ala:

Oleh itu, bertaqwalah kamu kepadaKu.

(An-Nahl: 2)

( Tafsir Ar-Raziy)


Wallahu'alam....


Catatan Yang Berkaitan:

* Siapakah Sebenarnya Luqman Al-Hakim
* Adakah Luqman Seorang Nabi atau Al-Hakim
* Hikmah Terawal Diungkapkan Oleh Luqman Al-Hakim
* Hikmah Dan Kepentingannya
* Penjelasan Al-Quran Tentang Hakikat Hikmah

1 ulasan:

Catat Ulasan

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...