Rahsia Tiga Pertanyaan

Rahsia Tiga Pertanyaan

Pada masa permulaan Islam, ketika orang berduyun-duyun memeluk Islam, orang-orang kafir Quraisy semakin tidak suka kepada Nabi Muhammad saw dan pada perkembangan islam yang pesat.

Ketika itu, di kota Yathrib, iaitu kota yang setelah Nabi berhijrah ke sana dinamakan Madinah, tinggallah sekelompok orang Yahudi yang jumlahnya sangat ramai termasuk Ahlul Kitab kerana mereka memiliki Kitab Taurat. Akan tetapi Kitab Taurat yang ada ditangan mereka telah mengalami beberapa perubahan. Jadi, ianya tidak sempurna seperti sewaktu diturunkan kepada Nabi Musa AS.

Kaum kafir Quraisy mengirim utusan supaya menemui para pendeta Yahudi di Yathrib. Utusan itu menceritakan tentang munculnya Muhammad sebagai nabi dan utusan Allah swt. Utusan itu juga menceritakan bahawa Muhammad saw mengaku menerima wahyu dari Allah swt.

Utusan kafir Quraisy itu berkata kepada pendeta Yahudi, “kamu adalah pemuka bangsa Yahudi. Kamu adalah Ahlul Kitab yang pertama. Kamu memiliki ilmu tentang kenabian yang tidak kami miliki. Maka beritahulah kepada kami, apakah pendapat kamu tentang Muhammad?”

Seorang pendeta Yahudi menjawab. “cubalah kamu tanyakan tiga perkara kepadanya. Tanyakanlah tentang sekumpulan pemuda yang hidup pada zaman dahulu dan memiliki kisah yang menakjubkan. Lalu, tanyakan kepadanya tentang lelaki gagah perkasa yang mengembara ke timur dan ke barat. Tanyakan juga kepadanya tentang roh, apakah roh itu? Jika dia dapat menjelaskan yang pertama dan yang kedua, serta tidak menjelaskan yang ketiga, bererti dia benar-benar adalah seorang Nabi.”

Utusan Quraisy itu pun kembali ke Mekah. Apabila sampai, mereka mengkabarkan ucapan pendeta Yahudi pada pemuka kaum kafir Quraisy. Kemudian mereka sama-sama menguji Rasulullah saw dengan tiga pertanyaan itu.

Untuk menjawab tiga soalan itu, Allah swt menurunkan surah al-Kahfi. Dengan surah Kahfi itu, beliau menjawab tiga pertanyaan dengan tepat.

Soalan pertama dijawab dengan cerita tentang Ashabul Kahfi, sekumpulan anak muda yang memasuki gua kerana melarikan diri dari dikejar raja yang zalim, bengis, lagi kejam. Anak-anak muda itu disertai seekor anjing. Mereka tertidur dalam gua lebih daripada tiga ratus tahun. Ketika bangun, mereka mendapati negeri mereka telah berubah. Semua orang mengetahui kisah mereka, berasa takjub. Rasulullah menjelaskan kisah Ashabul Kahfi itu secara ringkas dan jelas.

Soalan kedua,beliau jawab dengan kisah Zulqarnain. Seorang raja perkasa yang menundukkan ramai raja dan mengelilingi dunia timur dan barat. Sehingga akhirnya, Zulqarnian bertemu dengan kaum yang memintanya supaya membina tembok pemisah di antara mereka dengan Ya’juj dan Ma’juj, agar mereka aman dari kejahatan Ya’juj dan Ma’juj, hingga ke akhir kisah.

Soalan Ketiga,adapun pertanyaan mereka yang ketiga iaitu tentang Roh, maka Rasulullah saw menjawabnya dengan firman Allah swt dalam surah al-Isra’ (17) ayat 85, ‘Dan mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang Roh. Katakanlah, Roh itu termasuk urusan Tuhanku dan aku tidak diberi ilmu kecuali sedikit.’

Dengan demikian, Rasulullah saw telah menjawab ketiga-tiga pertanyaan itu dengan tepat, kerana beliau mendapat bimbingan terus dari Allah swt. Seketika itu, ramai dari kaum kafir Quraisy yang percaya bahawa Nabi Muhammad saw benar-benar seorang Nabi utusan Allah, dan ajaran Islam yang beliau bawa adalah benar-benar datang dari Allah. Akan tetapi, walaupun mereka mengetahui hal itu, tetap saja ramai orang kafir yang tidak mahu beriman. Kekafiran mereka tak lain disebabkan kerana rasa sangsi, angkuh dan cinta pada dunia.

Kiriman: Layyinul Hasnie

Wallahu'alam....

0 ulasan:

Catat Ulasan

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...