Video Klip Malam 27 Ramadhan Di Mesir & Rahmat Lailatul Qadar



Rahmat Lailatul Qadar

LAILATUL Qadar atau Malam Al-Qadar diketahui umum sebagai malam yang sungguh istimewa buat seluruh umat Islam. Ia jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan.” (surah al-Qadr)

Pada malam Lailatul Qadar, Rasulullah SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam lain sepanjang Ramadan.

Ini berdasarkan hadis Muslim Nabi SAW beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana malam lain.

Selain itu, hadis riwayat Bukhari dan Muslim menjelaskan Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam Al-Qadar darinya (malam-malam Ramadan).

Malah keistimewaan Lailatul Qadar turut disokong satu lagi hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadan, Rasulullah menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana sangat sibuk dengan ibadat yang khusus).”

Para ulama, antaranya Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut bahawa tarikh malam Lailatul Qadar sengaja disembunyikan oleh Allah SWT supaya umat manusia berusaha bersungguh-sungguh mencarinya.

Bagaimanapun, ada disebutkan di dalam hadis sahih tanda kemunculan malam terhebat ini iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampau panas dan tidak pula sejuk serta matahari pula tidak memancarkan sinaran.

Tanda-tanda ini tidak begitu penting bagi individu yang benar-benar beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberi manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas jika tanda itu dikenal pasti pada keesokannya.

Malah, tanda ini juga sangat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah tempat adalah berlainan.

Di negara Barat contohnya, cuaca di sana mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk atau musim bunga, manakala di Afrika pula mungkin mengalami keadaan panas.

Persoalannya, adakah malam Al-Qadar tidak muncul di tempat mereka sedangkan waktu siang di sana sentiasa dalam keadaan panas atau mendung?

Jawapan bagi persoalan ini adalah mudah kerana tanda ini hanya contoh yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan tidak lebih daripada itu.

Menurut pandangan paling kuat di kalangan para ulama, ia berlaku pada sepuluh malam terakhir, iaitu pada malam ganjil sebagaimana dinyatakan oleh hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Carilah ia (malam Al-Qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan.”

Bagaimanapun, dalam mencari malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu, kita mungkin sekali lagi dilanda kebingungan tatkala pada tahun tertentu, Arab Saudi memulakan bulan puasanya pada tarikh berbeza dari negara lain.

Mungkin antara kita akan tertanya sama ada kiraan malam ganjil ini menurut kiraan Ramadan di Arab Saudi atau di negara yang kita duduki.


Hal ini sebenarnya sukar dipastikan dan para ulama berpendapat serta menyarankan bagi mencari malam Al-Qadar, sebaik-baiknya ia dilakukan pada seluruh malam.

Tarikh kedatangan Lailatul Qadar juga sering membuatkan kita semua tertanya sama ada ia berada pada tarikh tetap atau berubah setiap tahun.

Menjawab persoalan ini, sebahagian ulama mengatakan kedatangan Lailatul Qadar adalah bersifat tetap iaitu pada malam 27 Ramadan, namun majoriti ulama, termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie, pula berpendapat bertukar-tukar dan tidak kekal pada satu tarikh.

Selain itu, berdasarkan dalil hadis Al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu sama ada pada malam ke-25, 27 atau 29 Ramadan berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Aku lihat mimpi kamu (sahabat) menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada tiga tarikh berkenaan, malam ke-27 Ramadan adalah paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam, terutama di negara Arab.

Tarikh ini dipegang oleh kebanyakan sahabat Rasulullah SAW serta ulama silam, hinggakan seorang sahabat yang dikenali sebagai Ubay Bin Ka’ab RA bersumpah ia adalah malam ke-27 (di zamannya secara khasnya kerana beliau melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya.

Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud yang bermaksud: “Malam al-Qadar adalah malam ke-27.”

Dalam mencari malam seribu bulan ini, kita juga digalakkan memohon doa ke hadrat-Nya dengan memohon kebaikan ketika di akhirat kelak.

Doa terpenting ketika Lailatul Qadar hendaklah merangkumi kebaikan dunia dan akhirat sebagaimana doa yang dinyatakan dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada penyiksaan api neraka.”

Sasaran kita pada malam-malam terakhir Ramadan adalah bagi mendapatkan keampunan Allah SWT sebagaimana perihal perbualan Rasulullah SAW dengan Aisyah RA.

Ketika itu Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doakan)?”

Lantas Rasulullah SAW berkata: “Sebutlah doa seperti ini; Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan.”

Lantaran niat untuk mencari malam Lailatul Qadar ini,
segelintir ulama menyatakan individu yang mendapat keberkatan malam al-Qadar itu akan mengetahuinya berdasarkan tanda-tanda yang muncul.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW bahawasanya: “Barang siapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya.” (Riwayat Muslim)
Namun, pandangan lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikan menerusi kedatangan malam itu, sama ada secara sedar atau tidak.

Tidak terkecuali menerusi kelebihan diberi Allah SWT melalui pelbagai cara seperti mimpi, tanda yang menarik atau pelik serta pelbagai cara yang boleh disampaikan oleh-Nya.

Tidak perlu untuk solat malam di tepi pokok atau di depan baldi air kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku kerana Allah SWT akan memberi tandanya menurut kehendak-Nya, sebagaimana dimahukan-Nya.

Selain itu, perlu kita ingat waktu makbul dan keberkatan Lailatul Qadar bukan dalam tempoh tertentu, seperti sering kita dengar sewaktu kanak-kanak bahawa waktu makbul doa dan keberkatan malam itu hanya untuk beberapa saat.

Sebaliknya, waktu tibanya malam itu adalah sepanjang malam berkenaan sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Qadr, ayat kelima yang bermaksud: “Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.”

Malah, oleh kerana Allah SWT itu juga maha adil lagi maha mengetahui niat seseorang itu, wanita yang dalam keuzuran juga pasti tidak terhalang daripada berkat malam berkenaan.

Ini kerana wanita yang masih dalam tempoh uzur boleh melakukan pelbagai amal dan ibadat seperti berzikir, berdoa, mendengar bacaan al-Quran serta mengkaji terjemahan dan memahaminya.

Diharapkan kita sebagai umat islam sama-sama dapat memanfaatkan Ramadan dengan melakukan ibadat penuh keikhlasan dan kebaikan pada malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

Sekian Wassalam....

0 ulasan:

Catat Ulasan

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...