Ghazwah Tabuk


Ghazwah Tabuk dinamakan juga dengan Ghazwah al-'Usrah (Peperangan yang
Susah). Ia berlaku pada Rajab, tahun ke-9 hijrah. Tabuk ialah nama sebuah tempat yang terletak di antara Wadi al-Qura di bumi Hijaz dengan Syam.

Sebab peperangan ini ialah, Rom telah mengumpul angkatan tentera yang ramai di
Syam termasuk daripada kabilah Lakhm, Juzam, Amilah dan Ghassan yang merupakan kaum Arab beragama Nasrani. Tujuan Maharaja Rom, Herkules mengumpulkan angkatan tentera tersebut adalah untuk menyerang Madinah dan menghapuskan negara yang baru terbina di semenanjung tanah Arab tersebut. Berita-berita tentang Madinah serta siri kemenangannya menimbulkan kebimbangan dan ketakutan kepada beliau.

Rasulullah s.a.w. mengajak orang ramai untuk keluar berperang. Waktu itu
merupakan waktu amat susah dan panas. Orang-orang mukmin yang jujur menyahut seruan tersebut,dengan rela hati. Namun terdapat tiga orang yang tidak menyertai angkatan tersebut.Padahal mereka merupakan golongan beriman yang jujur. Rasul s.a.w. juga meminta golongan berada agar membiayai keperluan ketenteraan tersebut. Lantas mereka menyumbangkan harta benda yang banyak. Abu Bakar telah menyumbang seluruh hartanya,sejumlah 40,000 dirham. Umar pula menyumbang separuh hartanya. Sementara Othman turut menyumbang harta yang banyak. Beliau telah mempersiapkan satu pertiga keperluan tentera Islam, hinggakan Rasulullah s.a.w. mendoakan untuk beliau dengan sabdanya:

"Selepas hari ini, apa-apa yang dilakukan Othman tidak akan memudaratkannya."

Beberapa orang sahabat yang miskin datang bertemu Baginda lantaran mereka tidak
mempunyai tunggangan yang boleh mereka naiki. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Aku tidak dapat menyedia tunggangan yang boleh membawa kamu."

Oleh itu, mereka bersurai dengan air mata bergelinangan kesedihan lantaran tidak
mempunyai apa-apa untuk disumbangkan. Manakala seramai lebih 80 orang munafik tidak menyertai peperangan ini. Terdapat juga segelintir Arab Badwi mengemukakan keuzuran kepada Baginda dengan alasan-alasan yang tidak benar. Walau bagaimanapun, Baginda tetap menerima alasan mereka itu.Rasulullah s.a.w. berangkat dengan tenteranya seramai 30,000 orang pejuang dan 10,000 ekor kuda. la merupakan angkatan tentera paling besar yang pernah dilihat oleh Arab ketika itu.

Baginda meneruskan perjalanannya sehingga sampai ke Tabuk. Baginda
bermukim di situ selama kira-kira 20 malam tanpa menghadapi sebarang tipu daya daripada musuh, mahupun peperangan. Peperangan ini merupakan Ghazwah terakhir yang disertai oleh Rasulullah s.a.w.. Mengenai ghazwah ini,

Allah Tabarak wa Taala berfirman:

Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin
dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah
hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut
Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka;
sesungguhnya Allah Amat Belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.

Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan
(penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa)
sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula
menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa
tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan
(kembali bertaubat) kepada-Nya; kemudian Allah (memberi taufiq serta)
menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya
Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.

(Maksud At-Taubah:117-118)

Turut diturunkan ayat-ayat yang mencerita tentang sikap orang-orang munafik dan
Arab Badwi yang meminta keuzuran agar tidak menyertai peperangan. Dalam ayat-ayat ini terdapat teguran Allah kepada Rasul-Nya yang menerima alasan mereka Kamu akan temui ayat-ayat ini dalam surah at-Taubah.

Tambahan:

Perang Tabuk (bahasa Arab: غزوة تبوك‎) merupakan salah satu peristiwa peperangan dalam Islam. Dalam sejarah Islam, peperangan ini merupakan skop peperangan terakhir bagi Nabi Muhammad s.a.w. Perang ini telah berlaku pada bulan Rejab ketika tahun ke-9 Hijrah (Oktober 630 M). Keadaan cuaca pada ketika itu adalah terlalu panas terik dan tempat berlakunya peperangan itu, Tabuk merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh menyukar para musafir.


Empayar Rom merupakan sebuah kerajaan yang besar dan kuat ketika itu dan selalu mencapai kemenangan apabila berperang. Akibat kekuatan tentera Rom yang semakin kuat dan gagah, Maharaja Rom ketika itu berasa mereka perlu mengembangkan pengaruhya sehingga ke negeri-negeri Arab. Disamping itu mereka mendapat khabar yang memberitakan sebuah kerajaan baru yang digelar Islam sedang mula meluaskan sayapnya di seluruh tanah Arab. Lalu Maharaja Rom berhasrat besar untuk menyerang wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Muhammad ketika itu. Rasulullah telah mendapat berita berkenaan keinginan Maharaja Rom itu. Kaum Islam ketika itu tidak berhasrat sama sekali untuk mengadakan pertempuran dengan kerajaan Rom kerana mereka berhasrat untuk meneruskan kehidupan harmoni dan tenteram di bawah pemerintahan Rasulullah. Walau bagaimanapun kaum Muslimin perlulah bersiap siaga dalam menghadapi apa-apa propaganda dari musuh Islam.

Sesampai angkatan tentera Islam di Tabuk, Rasulullah bersama angkatan tetera Islam telah mengadakan 'perjanjian perdamaian' dengan penduduk di sekitar Tabuk, Rasulullah memberi jaminan keamanan kepada penduduk Tabuk, selagi mereka tidak menyebelahi musuh Islam dan memerangi dan berbuat jahat terhadap Islam. Setelah itu seorang penguasa Ilah (sebuah kawasan berdekatan Tabuk) yang bernama Yuhana bin Ru'bah datang meminta perdamaian bersama Rasulullah. Beliau sanggup membayar jizyah. Kesanggupan menerima keselamatan dan bersedia membayar jizyah juga diterima baik oleh penduduk Jarba dan Azruh. Rasulullah juga turut menghantar surat tawaran tersebut kepada setiap kawasan di sekitar Tabuk.

Tujuan Rasulullah berbuat demikian bukan untuk memonopoli kekayaan penduduk Tabuk atau membuat kejahatan kepada mereka. Tetapi Rasulullah berbuat demikian untuk menguatkan benteng perpaduan dan pertahanan Islam, di samping menyampaikan dakwah Islamiyah serta menyekat pergerakan musuh supaya tidak menggunakan sempadan Syam sebagai pangkalan perang. Akhirnya semua kabilah Arab di Tabuk menerima tawaran Rasul itu dengan tangan terbuka.

Hasilnya kekuatan tentera Islam di Tabuk semakin utuh dan kental. Rasulullah berjaya menyekat kemaraan tentera Rom di bawah pimpinan Panglima Satria Hercules, hal ini disebabkan beberapa faktor yang besar antaranya:

Benteng wilayah Tabuk yang semakin kebal akibat kekuatan pihak Islam. Tentera Islam berperang atas jalan Allah dan bukan semata-mata menguatkan pengaruh dan meluaskan kuasa

Bantuan tentera Allah melalui pengutusan Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk. Mereka telah digentarkan oleh Malaikat {dianggarkan sebanyak 100,000 malaikat} yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah.

Hal tersebut segera mematahkan perasan tentera Rom untuk memerangi Islam. Ini membuatkan pihak Islam menang besar tanpa menerima pertumpahan darah sedikit pun. Setelah segala-galanya selesai tentera Islam berjalan pulang ke Madinah dengan selamatnya tanpa seorang pun yang terkorban nyawa. Tentera Islam berada di Tabuk selama 20 hari



Sekian Wallahu’alam....

0 ulasan:

Catat Ulasan

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...