“A’uzubillahi minannaar….. “
Sebagaimana Allah suka kepada wanita yang solehah, Allah juga sangat murka kepada beberapa jenis wanita. Oleh itu, sangat perlu bagi kita mengetahui perkara yang boleh menyebabkan kebencian-Nya supaya kita terhindar daripada kemurkaan-Nya.
Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : “ kalau seandainya apa yang ada di bumi ini merupakan emas dan perak serta dibawa oleh seorang wanita ke rumah suaminya. Kemudian pada suatu hari dia melontar kata-kata angkuh, “engkau ini siapa? Semua harta ini milikku dan engkau tidak punya harta apa pun.” Maka terhapuslah semua amal kebaikannya walaupun banyak.
Nabi Muhammad SAW seorang yang sangat kasih kepada umatnya dan terlalu menginginkan keselamatan bagi kita terhadap azab Allah taala. Beliau menghadapi segala bentuk penderitaan, kesakitan, keletihan, dan tekanan. Begitu juga air mata dan darah baginda telah mengalir semata-mata kerana kasih-sayangnya terhadap kita. Maka lebih-lebih lagi kita sendirilah yang wajar berusaha untuk menyelamatkan diri kita, keluarga kita dan seluruh umat baginda.
Ali r.a. meriwayatkan, “ Saya bersama Fatimah berkunjung ke rumah Rasulullah dan kami temui baginda sedang menangis. Kami bertanya, “ Mengapa tuan menangis wahai Rasulullah?” Baginda menjawab. “ Pada malam aku di Isra’kkan ke langit, aku melihat orang sedang mengalami berbagai-bagai penyeksaan, maka apabila teringatkan mereka, aku menangis.” Saya bertanya lagi, “ Wahai rasulullah apakah yang tuan lihat?”
Baginda bersabda:
1. Wanita yang digantung dengan rambutnya dan otak mendidih.
2. Wanita yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dipaut dari punggungnya sedangkan aspal yang mendidih dari neraka di tuangkan ke kerongkongnya.
3. Wanita yang digantung dengan buah dadanya dari balik punggungnya sedangkan air getah kayu zakum dituang ke kerongkongnya.
4. Wanita yang digantung, diikat kedua-dua kaki dan tangannya kearah ubun-ubun kepalanya serta dibelit di bawah kekuasaan ular dan kala jengking.
5.Wanita yang memakan badannya sendiri serta di bawahnya tampak api yang menyala-nyala dengan hebatnya.
6. Wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka.
7. Wanita yang bermuka hitam dan memakan ususnya sendiri.
8. Wanita yang tuli, buta, dan bisu dalam peti neraka sedang darahnya mengalir dari rongga badannya (hidung,telinga,mulut) dan badannya membusuk akibat penyakit kulit dan lepra.
9. Wanita yang berkepala seperti kepala khinzir dan keldai yang mendapat berjuta jenis seksaan.
Maka berdirilah Fatimah seraya berkata, “ Wahai ayahku, cahaya mata kesayanganku, ceritakanlah kepadaku apakah amal perbuatan wanita-wanita itu?” Rasulullah SAW bersabda, “ Wahai Fatimah, adapun tentang :
1. Wanita yang digantung dengan rambutnya kerana dia tidak menjaga rambutnya (bertudung) di kalangan lelaki.
2. Wanita yang digantung dengan lidahnya kerana di menyakiti hati suaminya dengan kata-kata.
3. Kemudian Nabi s.a.w bersabda : “ Tidak seorang wanita menyakiti hati suaminya melalui kata-kata kecuali Allah akan membuatkan mulutnya kelak di hari kiamat selebar 70 zira’ kemudian akan mengikatnya di belakang lehernya.
4. Adapun wanita yang digantung dengan buah dadanya kerana dia menyusui anak orang lain tanpa izin suaminya.
5. Adapun wanita yang diikat dengan kaki dan tangannya itu kerana dia keluar rumah tanpa izin suaminya, tidak mandi wajib dari haid dan nifas.
6. Adapun wanita yang memakan badannya sendiri kerana suka bersolek untuk dilihat lelaki lain serta suka berbicara keaiban orang.
7. Adapun wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka kerana dia suka menonjolkan diri (ingin terkenal) di kalangan orang yang banyak dengan maksud supaya orang melihat perhiasannya dan setiap orang jatuh cinta kepadanya kerana melihat perhiasannya.
8. Adapun wanita yang diikat kedua-dua kaki dan tangannya sampai ke ubun-ubunnya dan dibelit oleh ular dan kala jengking kerana dia mampu mengerjakan solat dan puasa. Tetapi dia tidak mahu berwuduk dan tidak solat serta tidak mahu mandi wajib.
9. Adapun wanita yang kepalanya seperti khinzir dan badannya seperti keldai kerana dia suka mengadu-domba (melaga-lagakan orang) serta berdusta.
10. Adapun wanita yang berbentuk seperti anjing kerana dia ahli fitnah serta suka marah-marah kepada suaminya.
Dan ada diantara isteri nabi-nabi yang mati dalam keadaan tidak beriman kerana mempunyai sifat yang buruk walaupun mereka adalah isteri kepada manusia yang terbaik zaman itu. Antara sifat buruk mereka:
1. Isteri Nabi Nuh suka mengejek dan mengutuk suaminya.
2. Isteri Nabi Lut suka bertandang ke rumah orang.
Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk mengamalkan kebaikan dan meninggalkan keburukkan. Kalau kita tidak berasa takut atau rasa perlu berubah, maka kita kena khuatir, takut kita tergolong dalam mereka yang tidak diberi petunjuk oleh Allah taala.
Na’uzubillahi min zalik....
Kiriman: Layyinul Hasnie
Wallahu'alam....