Model MUSLIMAH SEJATI

Model MUSLIMAH SEJATI

Pertamanya, wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya dia tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.

Keduanya, wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera kehidupan kearah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

Akhirnya, wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang mendambakan kemesraan dan kebahagiaan hidup.

Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga muslimah dewasa ini. Mereka adalah wanita contoh yang menempa tinta emas yang mewarnai sejarah kegemilangan dan keunggulan Islam. Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“ Ada empat wanita yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri kepada Firaun, Maryam binti Imran, Ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah s.a.w dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda.” –(Riwayat Bukhari)

ASIAH adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

MARYAM pula adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.

KHADIJAH pula adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah s.a.w..

FATIMAH pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya; isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah pemuka segala wanita dan juga seorang wanita mithali dalam setiap detik kehidupan yang dilaluinya, sewajarnya dijadikan ikuta muslimah.

Demikianlah antara beberapa profil wanita Muslimah contoh yang mewarnai pentas kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan setiap Muslim yang bakal melangkah alam perkahwinan agar berhati-hati memilih calon isteri. Kriteria calon isteri penting dalam kehidupan berkeluarga kerana kesolehan isteri yang di tuntut islam, di samping bakal menjamin kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinasakannya; janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu; sebaliknya nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu.” –(Riwayat Abdullah ibn Humaid)


Wallahu'alam....

Kiriman: Layyinul Hasnie

0 ulasan:

Catat Ulasan

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...