Ghazwah Uhud


Ghazwah Uhud berlaku pada hari Sabtu,15 Syawal, tahun ke-3 hijrah.
Sebab berlaku ghazwah ini Quraisy ingin menuntut bela terhadap kekalahan dalam
Ghazwah Badar. Mereka membuat persiapan sehingga mereka benar-benar bersedia untuk memerangi Rasul s.a.w. di Madinah. Mereka keluar dalam angkatan tentera seramai 3,000 pejuang, tidak termasuk bilangan tentera Ahabisy.(Kaum yang dihubungkan kepada sebuah bukit di sebelah bawah Makkah yang dipanggil "Habisy". Mereka merupakan sekutu Quraisy)

Dalam angkatan ini terdapat 700 tentera berbaju perisai dan 200 pahlawan berkuda. Bersama mereka juga, 17 orang wanita termasuk Hindun binti 'Utbah, isteri Abu Suffian. Bapanya telah terbunuh dalam Ghazwah Badar.Quraisy bergerak sehingga sampai ke tengah-tengah wadi menghala ke Uhud (sebuah bukit tinggi yang terletak dua batu di utara Madinah) bertentangan dengan Madinah. Mengikut pendapat Rasul s.a.w. dan beberapa orang sahabat, orang Islam tidak perlu keluar menghadapi mereka. Bahkan orang Islam hendaklah bertahan di dalam kota Madinah.Sekiranya orang musyrik menyerang mereka, orang Islam akan menghalang mereka. Namun sebahagian pemuda-pemuda Islam serta sesetengah Muhajirin dan Ansor bersemangat untuk keluar dari Madinah dan meiawan orang musyrik di tempat perhimpunan mereka. Khususnya mereka yang tidak turut serta dalam Ghazwah Badar dan tidak memperolehi kemuliaan berperang dalam ghazwah tersebut.

Lantaran itu, Rasulullah s.a.w. telah beralah kepada pendapat mereka. Baginda masuk ke dalam rumah, memakai baju perisai, seraya meletakkan dinding perisai di belakang tubuhnya dan memegang tombak di tangan. Kemudian Baginda keluar menemui orang Islam dengan menggantung pedangnya di leher. Mereka yang mencadangkan kepada Baginda untuk keluar berperang di luar Madinah telah menyesal, kerana mereka menjadi sebab memaksa Baginda melakukan tindakan yang bertentangan dengan pendapat peribadi Baginda. Mereka berkata kepada Rasul s.a.w.: "Kami tidak seharusnya menyalahi pendapat kamu. Oleh itu, buatlah apa yang kamu mahu, atau kamu duduk di sini sekiranya kamu mahu."

Maka Rasul s.a.w. menjawab kepada mereka dengan sabda Baginda:

“Tidak wajar bagi seorang nabi, apabila dia memakai baju perisainya untuk
dia menanggalkannya semula, sehinggalah Allah memberikan hukuman
antaranya dan musuhnya.”

Kemudian Baginda bersama kira-kira 1,000 orang Islam telah berangkat keluar
Madinah termasuk 100 tentera berbaju perisai dan 2 pahlawan berkuda.

Ketika orang Islam berhimpun untuk keluar, Rasul s.a.w. melihat satu kumpulan
Yahudi mahu turut keluar bersama Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua orang munafik. Rasul s.a.w. bertanya: "Adakah mereka telah Islam?" Mereka berkata: "Tidak wahai Rasulullah." Baginda bersabda:

“Suruh mereka pulang.Kita tidak meminta pertolongan orang musyrik untuk
memerangi orang musyrik.”

Di pertengahan jalan, Abdullah bin Ubai bin Salul bersama 300 orang munafik
menarik diri daripada turut serta membantu orang Islam berperang. Oleh itu, bilangan orang Islam hanya tinggal 700 orang. Kemudian Rasul s.a.w. meneruskan perjalanan sehingga sampai ke medan Uhud. Baginda menjadikan tenteranya membelakangi bukit Uhud dan menghadap tentera musyrik. Baginda telah membariskan tentera Islam, melantik seorang ketua bagi setiap pasukan. Baginda juga memilih 50 orang pemanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair al-Ansori, untuk melindungi bahagian belakang orang Islam daripada serangan balas tentera musyrik dari arah belakang. Baginda berpesan kepada mereka:

"Lindungi belakang kami supaya mereka tidak datang menyerang kita dari
arah belakang. Hujani mereka dengan anak-anak panah. Kuda tidak dapat
melawan panah. Kita akan terus menang selagimana kamu tetap tidak
berganjak daripada tempat kamu. Ya Allah, aku bersaksikan Engkau dalam
menghadapi mereka ".

Dalam riwayat lain, Baginda berpesan kepada mereka:

"Jika kamu melihat kami dilanggar garuda (kiasan kepada kebinasaan yang
cukup teruk), jangan kamu tinggalkan tempat kamu ini sehingga aku kirim
utusan kepada kamu. Sekiranya kamu melihat kami mengalah-kan kaum
(musyrik) itu atau kami menewaskan mereka dan mereka terbunuh, jangan
kamu tinggalkan tempat kamu sehingga aku hantar utusan kepada kamu."

Kemudian, bermulalah peperangan. Allah telah membantu orang Islam menentang musuh-musuh mereka. Orang Islam telah membunuh sebilangan mereka. Pihak musuh kemudiannya melarikan diri. Oleh itu, orang Islam sibuk memungut harta rampasan perang yang mereka dapati di kem orang musyrik. Para pemanah di belakang mereka melihat perkara tersebut. Mereka berkata: "Apa yang kita akan buat sedangkan Allah telah memenangkan Rasul-Nya?" Mereka terfikir untuk meninggalkan posisi masing-masing untuk memperolehi habuan rampasan perang. Lantas, ketua mereka, Abdullah bin Jubair memperingatkan mereka tentang pesanan Rasul s.a.w.. Namun, mereka menjawab bahawa peperangan telah tamat dan tidak perlu lagi untuk kekal di tempat mereka, Hanya Abdullah berserta 10 orang lain enggan meninggalkan posisi masing-masing. Khalid bin al-Walid (sebagai ketua sayap kanan angkatan orang musyrik ketika itu) melihat para pemanah telah meninggalkan posisi mereka di belakang tentera Islam, lantas berpatah balik menyerang hendap dari arah belakang.

Angkatan tentera Islam tidak menyedari serang hendap melainkan setelah pedang-pedang menyerang mereka di sana sini. Ikatan barisan mereka menjadi kacau bilau. Ketika itu juga, tersebar khabar angin bahawa Rasul s.a.w. telah terbunuh. Sebahagian mereka telah lari pulang ke Madinah. Orang musyrik dapat sampai kepada Rasul s.a.w.. Batu-batu yang mereka lontar mengenai Baginda sehingga Baginda jatuh pengsan, mukanya luka, kedua lututnya bercalar, bibir bawahnya berdarah dan topi di kepalanya pecah. Dua cincin rantai topi itu telah terbenam masuk ke pelipis Baginda. Orang musyrik bertambah ramai menyerang Rasul s.a.w. untuk membunuh Baginda. Baginda s.a.w. tetap bertahan bersamasama sekumpulan orang mukmin, antara mereka ialah: Abu Dujanah yang bertindak menjadi perisai Rasulullah s.a.w.. Dia melindungi Baginda daripada anak-anak panah orang musyrik.Anak-anak panah itu telah menembusi belakang tubuhnya. Antara mereka lagi, Saad bin Abi Waqqas. Beliau telah memanah pada hari tersebut kira-kira 1,000 anak panah. Antaranya lagi, Nasibah Ummu 'Umarah al-Ansoriyyah. Dia meninggalkan tugas memberi minum tentera yang cedera, untuk bertempur menggunakan pedang dan memanah demi mempertahankan Rasulullah. Dia terus bertempur sehinggalah sebatang anak panah hinggap mengenai tengkuknya, menyebabkan luka yang dalam. Bersama-sama Nasibah juga, suami dan dua orang anaknya yang turut serta mempertahankan Rasulullah. Rasulullah s.a.w. mendoakan untuk mereka:

“Semoga Allah memberkati kamu sekeluarga.”

Lantas Nasibah berkata:

"Doakan kepada Allah supaya kami menemanimu di syurga."

Lantas Baginda berdoa:

"Ya Allah, jadikan mereka teman-temanku di syurga."

Nasibah r.ha. berkata selepas itu: "Aku tidak mempedulikan lagi bencana yang menimpaku dalam urusan dunia."

Baginda s.a.w. telah berkata berkenaan Nasibah:

"Aku tidak menoleh ke kanan dan ke kiri pada hari Ghazwah Uhud,melainkan aku melihatnya berperang di hadapanku".

Pada hari tersebut, Nasibah mendapat 12 luka, sama ada akibat tikaman tombak
mahupun tetakan pedang.

Pada saat-saat genting itu, Ubai bin Khalaf telah cuba untuk sampai kepada Rasul s.a.w. bertujuan membunuh Baginda. Dia bersumpah tidak akan berpatah balik. Maka Nabi s.a.w. mengambil sebatang tombak daripada sahabat yang bersama Baginda, lalu merejamnya ke leher Ubai. Rejaman tersebut menyebab kematiannya. Ubai bin Khalaf juga merupakan satu-satunya orang yang dibunuh oleh Nabi s.a.w. dalam semua ghazwah Baginda.

Kemudian Baginda s.a.w. dapat berdiri dan bangun dipangku oleh Tolhah bin
Ubaidillah. Baginda memandang ke arah orang musyrik dan ternampak sekumpulan daripada mereka berada di atas bukit. Lantas Baginda menghantar sahabat menghalau mereka turun seraya berkata:

"Tidak sepatutnya mereka berada lebih tinggi daripada kita. Ya Allah, tiada
kekuatan bagi kami metainkan dengan Kamu".

Pertempuran telah berakhir. Abu Suffian menyatakan kelegaan hatinya dan hati orang musyrik yang lain, setelah berjaya menebus kekalahan mereka dalam Ghazwah Badar dengan kata-katanya:

“Hari ini merupakan bayaran bagi hari Badar.”

Di antara mereka yang terbunuh dalam peperangan ini ialah Hamzah, bapa saudara Rasul s.a.w.. Hindun, isteri Abu Suffian telah mengkelar-kelar mayatnya, membelah jantungnya dan mengunyahnya. Dia merasa kepahitan jantung itu, lalu memuntahkannya.Rasul s.a.w. merasa amat sedih melihat keadaan Hamzah, lantas berkata:

“Sekiranya Allah memenangkan aku ke atas Quraisy di sesuatu tempat, aku akan kelar 30 orang lelaki daripada mereka.”

Namun selepas itu Allah melarang daripada mengelar mayat.

Bilangan orang Islam yang terbunuh dalam pertempuran ini ialah kira-kira 70 orang,sementara jumlah orang musyrik yang terbunuh ialah 23 orang.

Allah Taala telah menurunkan beberapa ayat berkenaan ghazwah ini bagi merawat
kelukaan hati orang-orang mukmin dan menyedarkan mereka tentang punca-punca kekalahan yang menimpa mereka. Allah berfirman dalam surah Ali Imran,yang bermaksud :

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan
menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang
akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi
(mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang
yang (sungguh-sungguh) beriman.

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat lukayang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal
belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang
berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi)
nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal had dalam
perjuangan)?
”.

(Maksud Ali Imran: 139-142)

Selang beberapa ayat selepas itu, Allah berfirman lagi,yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan
pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka
(beramai-ramai) dengan izin-Nya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang
semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan
(perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah)
sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai
(kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang
menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang
menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada
menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan
sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah
kurnia-Nya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada
orang-orang yang beriman.

(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah mem-balas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan),dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan”.

(Maksud Ali Imran: 152-153)


Sekian Wallahu’alam....

1 ulasan:

MasyaAllah ...
Menarik dan berguna artikel ini...
Semoga peroleh kberkatan darinya..
Aminn

Catat Ulasan

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...