Ghazwah Khaibar


Ghazwah Khaibar berlaku pada akhir Muharram, tahun ke-7 hijrah. Khaibar merupakan sebuah oasis besar yang didiami oleh Yahudi. Terletak 100 batu di utara Madinah menghala ke Syam.

Sebab berlaku peperangan ini: Setelah Nabi s.a.w. memperolehi keamanan daripada
pihak Quraisy hasil perdamaian yang dicapai di Hudaibiyyah, Baginda memutuskan untuk membersihkan saki baki Yahudi di sekeliling Madinah. Tindakan ini diambil setelah Yahudi dibersihkan daripada Kota Madinah. Yahudi di Khaibar mempunyai kubu-kubu yang kukuh.Di dalamnya terdapat kira-kira 10,000 orang pejuang. Mereka juga mempunyai kemampuan senjata dan peralatan yang besar di samping terkenal sebagai pakar muslihat, permainan kotor dan tipudaya.

Oleh itu, masalah ini perlu dibersihkan segera sebelum mereka menjadi punca kekacauan dan kebimbangan orang Islam di ibukota mereka, Madinah. Dengan ini,Rasul s.a.w. bersepakat untuk keluar memerangi mereka pada akhir Muharram. Baginda keluar memerangi mereka dalam satu angkatan seramai 1,600 orang pejuang termasuk 200 orang pahlawan berkuda. Baginda telah mengumumkan panggilan perang kepada para sahabat yang menyertai Baginda dalam Ghazwah Hudaibiyyah sebelum ini. Baginda berjalan sehingga tiba di pinggir Khaibar lalu berkata kepada para sahabat: "Berhenti!".

Kemudian Baginda berdoa:

“Ya Allah, Tuhan seluruh langit dan apa yang dinaunginya, Tuhan seluruh
bumi dan apa yang ditanggungnya, Tuhan seluruh syaitan dan apa yang
disesatkan mereka, Tuhan seluruh angin dan apa yang diterbangkannya.
Kami memohon kepada Kamu kebaikan kampung ini, kebaikan penduduknya
dan kebaikan apa yang ada di dalamnya. Kami berlindung dengan Kamu
daripada kejahatannya, kejahatan penduduknya dan kejahatan apa yang ada
di dalamnya. Maralah kamu semua dengan nama Allah .”

Apabila sampai di Khaibar, Nabi s.a.w. berpengkalan hampir dengan salah satu kubu Khaibar bernama Hisn an-Natoh. Yahudi telah menghimpunkan pejuang-pejuang mereka didalamnya. Hubab bin al-Munzir mencadangkan agar angkatan tentera Islam berpindah tempat, kerana dia cukup kenal dengan penduduk an-Natoh. Mereka terkenal dengan panahan yang jauh dan tepat apatah lagi kedudukan mereka terletak lebih tinggi daripada kedudukan orang Islam. Oleh itu, anak-anak panah mereka lebih cepat meluncur turun mengenai barisan tentera Islam. Mereka juga boleh menyerang hendap orang Islam pada waktu malam dengan berselindung di celah-celah pokok-pokok kurma yang banyak.

Oleh demikian, Rasul s.a.w. bersama tentera Islam mengambil langkah berpindah ke tempat yang lain. Pertempuran kemudiannya bermula dan orang Islam membuka satu demi satu kubu kecuali dua kubu terakhir. Penduduk kedua kubu tersebut mahu berdamai dengan syarat darah pejuang-pejuang mereka terpelihara dan zuriat mereka dilepaskan (tidak dijadikan tawanan). Mereka juga meletakkan syarat agar mereka dibenarkan keluar dari bumi Khaibar bersama-sama zuriat. Mereka setuju keluar dengan hanya sehelai sepinggang. Baginda s.a.w. berdamai dengan mereka dengan syarat-syarat tersebut. Sekiranya mereka menyembunyikan sesuatu ketika keluar dari kubu tersebut, perlindungan Allah dan rasul-Nya terbatal. Mereka kemudiannya meninggalkan kedua-dua kubu tersebut. Orang Islam mendapati di dalam kedua-dua kubu tersebut terdapat senjata yang banyak dan lembaran-lembaran Taurat.Yahudi telah datang menuntut kitab tersebut. Baginda mengarahkan agar ia dipulangkan kepada mereka. Bilangan Yahudi yang terbunuh dalam peperangan ini seramai 93 orang sementara orang Islam yang syahid seramai 15 orang.

Sekian Wallahu’alam....

0 ulasan:

Catat Ulasan

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...