PERMULAAN WAHYU SEHINGGA HIJRAH KE HABSYAH
- Peristiwa-peristiwa Sejarah
Di dalam tempoh ini, peristiwa-peristiwa sejarah berikut terbukti berlaku:
1. Wahyu diturunkan kepada Rasul s.a.w.: Apabila Nabi s.a.w. berusia genap 40 tahun,
Jibril turun membawa wahyu kepada Baginda. la berlaku pada hari Isnin, 17 Ramadhan.
Imam al-Bukhari r.hm. meriwayatkan kepada kita tentang cara penurunan wahyu dalam
Kitab Sahihnya dengan sanad yang bersambung kepada Aishah, kata beliau:
Perkara pertama yang mula-mula berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ialah
mimpi baik semasa tidur. Baginda hanya bermimpi melihat ia datang seperti
cahaya subuh. Kemudian ditimbulkan kepada Baginda rasa cinta untuk
berkhulwah (bersendirian). Baginda berkhulwah di Gua Hira. Baginda
beribadat di dalamnya untuk beberapa malam sebelum pulang menemui
keluarganya bagi mengambil bekalan untuk khulwah seterusnya. Kemudian
Baginda kembali menemui Khadijah, mengambil bekalan yang seumpamanya.
Sehinggalah wahyu kebenaran diturunkan kepada Baginda ketika berada di
Gua Hira. Malaikat (Jibril) datang menemui Baginda seraya berkata:
Bacalah. Baginda berkata: Aku tidak tahu membaca. Baginda menceritakan:
Maka dia memegang dan menutupi aku sehingga aku merasa kepenatan.
Kemudian dia melepaskan aku. Dia berkata lagi: Bacalah. Maka aku berkata:
Aku tidak tahu membaca. Maka dia memegang dan menutupi aku untuk kali
kedua sehingga aku merasa penat. Kemudian dia melepaskan aku. Dia
berkata kembali: Bacalah. Maka aku berkata: Aku tidak tahu membaca. Maka
dia memegang dan menutupi aku untuk kali ketiga. Kemudian dia melepaskan
aku seraya berkata:
‘’Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan
(sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia
melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya’’. (Al-Alaq: 1-5)
Setelah itu, Rasulullah s.a.w. pulang dalam keadaan gementar. Baginda mendapatkan
Khadijah binti Khuwailid r.ha. seraya berkata: "Selimutkan aku, selimutkan aku." Khadijah
segera menyelimutkan Baginda sehingga hilang rasa takut. Baginda menceritakan apa yang
berlaku dan berkata: "Aku bimbangkan diriku."
Lantas Khadijah berkata: "Tak mungkin. Demi Allah, Allah tidak sekali-kali akan
menghina kamu. Kamu menyambung silaturrahim, menanggung pihak yang lemah, memberi
pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang
hak."
Setelah itu, Khadijah bersama Rasulullah s.a.w. berangkat menemui Waraqah bin
Naufal bin Asad bin 'Abdul 'Uzza. Waraqah merupakan sepupu Khadijah. Beliau seorang
lelaki yang menganut agama Nasrani semasa jahiliyah. Beliau juga boleh menulis dalam
bahasa Ibrani. Beliau telah menulis Injil dengan bahasa Ibrani setakat yang dikehendaki
Allah. Ketika pertemuan ini, dia telah tua dan buta. Khadijah berkata:
"Wahai sepupuku,dengarlah (kisah) daripada anak sahabatmu." Maka Waraqah bertanya kepada Baginda:
"Wahai anak sahabatku, apa yang kamu lihat?" Lantas Rasulullah s.a.w. menceritakan apa
yang telah dilihatnya. Waraqah berkata: "Ia adalah Namus (pembawa wahyu, iaitu Jibril)
yang pernah turun kepada nabi Musa a.s.. Alangkah baiknya kalau aku masih muda remaja
dan kuat. Semoga aku masih hidup ketika kaum kamu mengusirmu keluar." Lantas
Rasulullah s.a.w. bertanya:
"Adakah mereka akan mengusir aku keluar?" Dia berkata: "Ya.
Tiada seorang lelaki yang datang membawa seperti apa yang kamu bawa, pasti akan
dimusuhi. Sekiranya aku sempat dengan hari itu, aku akan menolong kamu semampuku."
Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. Sementara wahyu pula telah terhenti
sementara waktu.
Dalam riwayat Ibnu Hisyam daripada Ibnu Ishaq disebut: Jibril datang menemui
Rasulullah s.a.w. ketika Baginda sedang tidur di Gua Hira. Dia datang dengan membawa
sejenis bekas daripada sutera yang diletakkan kitab di dalamnya. Jibril berkata:
"Bacalah(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
Yang mengajar manusia melaluipena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya." (Al-Alaq: 1-5).
Baginda berkata: "Maka aku membacanya. Kemudian, setelah
selesai dia beredar, lalu aku terjaga daripada tidur. Seolah-olah tertulis dalam hatiku satu
tulisan." Baginda berkata: "Maka aku keluar (daripada gua itu) sehingga aku berada di
tengah-tengah bukit. Aku dengar satu suara daripada langit berkata: "Wahai Muhammad,
kamu adalah utusan Allah, aku adalah Jibril." Baginda berkata: "Lantas aku mendongak
kepalaku ke langit untuk melihat. Tiba-tiba (muncul) Jibril dalam bentuk seorang lelaki yang
menyandarkan kedua-dua kakinya di ufuq langit. Dia berkata: "Wahai Muhammad, kamu
adalah utusan Allah dan aku adalah Jibril." Baginda berkata: "Aku tercegat melihatnya, tidak
mara mahupun berundur. Aku memalingkan mukaku daripadanya di ufuq langit. Namun
apabila aku memandang ke arah langit yang lain, aku tetap melihatnya juga. Aku terus
tercegat berdiri, tidak ke depan mahupun ke belakang sehinggalah Khadijah mengutuskan
utusan-utusannya mencariku.... (hingga akhir riwayat).
2. Orang pertama yang beriman dengan Baginda dan memeluk Islam ialah isteri
Baginda, Khadijah r.ha., kemudian sepupu Baginda, Ali r.a.. Ketika itu Ali masih kanakkanak
berumur 10 tahun. Kemudian diikuti pula oleh bekas hamba Baginda, Zaid bin
Harithah. Kemudiannya Abu Bakar as-Siddiq r.a.. Hamba sahaya yang mula-mula sekali
memeluk Islam ialah Bilal bin Rabah al-Habsyi. Oleh itu, Khadijah merupakan orang yang
pertama beriman dengan Baginda secara mutlak. Rasulullah s.a.w. telah bersembahyang
bersamanya pada petang hari Isnin. la merupakan hari pertama Baginda bersembahyang.
Solat ketika itu dilakukan dua rakaat di waktu subuh dan dua rakaat di waktu petang.
3. Kemudian wahyu terhenti untuk seketika. Berlaku perselisihan riwayat tentang
tempohnya. Yang paling lama ialah tiga tahun dan paling singkat ialah enam bulan. Riwayat
enam bulan itulah yang sahih. Ketika tempoh terputusnya wahyu, Rasulullah s.a.w. merasa
susah hati dan amat dukacita, sehingga Baginda hampir-hampir keluar ke kawasan bukit dan
ingin menghumbankan diri daripada puncaknya2.( 2 Ayat: "hampir-hampir menghumbankan diri daripada kemuncak bukit kerana dukacita wahyu terhenti sekalipun terdapat dalam kitab Sahih al-Bukhah, ia adalah daripada retorika az-Zuhri. Ia tidak bersambung kait dengan riwayat asal. Sebagaimana yang disebut oleh pengarang kitab Fathul Bah. Lihat Fathul Bah 12/316.)
Baginda menyangka Allah telah membencinya setelah memilihnya untuk tugas risalah yang mulia. Selepas itu, wahyu kembali turun kepada Baginda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, daripada Jabir bin Abdullah al-Ansori, daripada Nabi s.a.w.:
Ketika aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba aku mendengar satu suara daripada langit. Aku
mengangkat pandanganku. Rupa-rupanya ia adalah malaikat yang telah datang kepada aku
di Gua Hira'. Malaikat itu sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi. Aku
merasa takut kepadanya, lantas aku pulang. Aku berkata: Selimutkan aku. Maka Allah Taala
telah menurunkan:
‘’Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan
amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah
kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan
segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.’’ (Al-Muddathir: 1-5)
Setelah itu wahyu turun berterusan..
4. Selepas itu, Rasulullah s.a w. mula berdakwah kepada Islam di kalangan orang yang
dipercayai (kerasionalan) akalnya selama tiga tahun cukup. Hasilnya, beberapa orang lelaki
dan wanita yang terkenal dengan pemikiran yang matang dan jiwa yang sejahtera, telah
memeluk Islam. Setelah bilangan mereka yang memeluk Islam mencapai kira-kira 30 orang, Allah
memerintahkan Rasul-Nya s.a.w. untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan. Ini
dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:
‘’Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan
kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan
dan tentangan kaum kafir musyrik itu’’. (Al-Hijr: 94)
5. Ekoran dakwah secara terang-terangan itu, bermulalah peringkat menyakiti orangorang
mukmin yang baru memeluk Islam. Bahkan Rasulullah s.a.w. turut disakiti. Orang
musyrik merasa bimbang apabila Rasul memperbodohkan pemikiran mereka, membongkar
kecacatan tuhan-tuhan mereka dan mengemukakan agama baru kepada mereka. Agama itu
mengajak kepada Tuhan yang Esa. Tuhan yang tidak dapat dilihat oleh mata dan pandangan,
sedangkan Dia yang mengetahui hakikat pandangan mata. Dia juga Tuhan yang Maha Lemah
Lembut lagi Maha Mengetahui apa yang telah dan akan berlaku.
6. Dalam tempoh ini Rasul s.a.w. bersama orang-orang mukmin berhimpun secara sulit
di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Al-Arqam bin Abi al-Arqam ketika itu telah memeluk
Islam. Baginda membacakan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang diterimanya kepada mereka
di samping mengajar mereka hukum-hakam dan syariat agama yang telah diturunkan ketika
itu.
7. Pada suatu hari, Rasul s.a.w. diperintahkan untuk memberi amaran kepada kaum
keluarganya yang terdekat. Maka Baginda berdiri di bukit Sofa, menyeru satu persatu
keluarga Quraisy. Baginda mengajak mereka kepada Islam dan meninggalkan penyembahan
berhala. Baginda memotivasi mereka kepada syurga dan memberi amaran tentang neraka.
Ekoran dakwah itu, Abu Lahab menengking Baginda: "Celaka kamu, adakah untuk ini kamu
mengumpulkan kami?"
8. Quraisy ingin bertindak ke atas Rasul s.a.w., namun bapa saudara Baginda, Abu Tolib
www.dakwah.info 25
melindunginya. Beliau enggan menyerahkan Baginda kepada mereka. Setelah Quraisy
beredar, Abu Tolib meminta Baginda untuk mengendur-kan dakwahnya. Baginda menyangka
bapa saudaranya tidak lagi mahu membantunya, maka Baginda mengucapkan kata-katanya
yang masyhur:
"Demi Allah, wahai bapa saudaraku! Kalau mereka meletakkan matahari di
sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan
urusan ini, sekali-kali aku tidak akan meninggalkannya, sehingga-lah Allah
memenangkannya atau aku binasa kerananya".
9. Selepas peristiwa tersebut, orang musyrik semakin hebat menyakiti Rasul s.a.w. dan
para sahabat. Sehingga ada yang mati diseksa dan ada yang buta.
10. Apabila Quraisy melihat orang-orang mukmin tetap teguh dengan aqidah mereka
(sekalipun diseksa dan disakiti), mereka membuat keputusan untuk berunding dengan Rasul
s.a.w.. Mereka menawarkan harta sebanyak mana yang Baginda mahu, atau melantik Baginda
sebagai raja mereka. Namun Baginda menolak semua tawaran itu.
11. Melihatkan kedegilan dan penyiksaan berterusan Quraisy terhadap para sahabat,
Rasulullah s.a.w. berkata kepada para sahabatnya: "(Bagaimana) kalau sekiranya kamu keluar
ke bumi Habsyah. Di sana ada seorang raja yang tidak menzalimi sesiapa yang tinggal di
negerinya. (Kamu tinggal di sana) sehinggalah Allah menjadikan untuk kamu jalan keluar
kepada kesulitan kamu ini."
Oleh itu, para sahabat berhijrah ke sana untuk kali pertama seramai 12 orang lelaki
dan 4 wanita. Namun, selepas menerima khabar pengislaman Umar dan kejayaan Islam,
mereka pulang kembali ke Makkah. Akan tetapi, tak lama kemudian mereka pergi semula ke
Habsyah bersama orang-orang mukmin yang lain. Bilangan mereka dalam hijrah kali kedua
ke Habsyah ini seramai 83 orang lelaki dan 11 orang wanita.
12. Selanjutnya, orang-orang musyrik bertindak memboikot Rasulullah s.a.w., Bani
Hasyim dan Bani Muttolib. Orang musyrik tidak lagi berjual beli, bernikah dan bergaul
dengan mereka. Orang musyrik juga tidak menerima sebarang perdamaian daripada mereka.
Pemboikotan itu berlanjutan selama dua atau tiga tahun. Rasul s.a.w. dan orang yang
bersamanya berhadapan dengan kesulitan yang teruk kesan pemboikotan tersebut. Ia berakhir
hasil usaha tokoh-tokoh Quraisy yang rasional.
- Pengajaran dan Pedoman
1. Apabila Allah ingin mendorong seseorang hamba berdakwah kepada kebaikan dan
pengislahan, Dia akan mencampakkan ke dalam hatinya, rasa benci kepada kese-satan dan
kerosakan yang dilakukan oleh masyarakatnya.
2. Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah bercita-cita menjawat tugas kenabian dan tidak
pernah mengimpikannya. Apa yang Allah ilhamkan kepada Baginda hanyalah rasa cinta
untuk berkhulwah melakukan ibadat. Allah mengilhamkan perasaan tersebut sebagai proses
pembersihan dan persediaan rohani untuk memikul bebanan risalah. Sekiranya Baginda s.a.w.
bercita-cita memperolehi kenabian, nescaya Baginda tidak takut ketika wahyu diturunkan
kepadanya. Baginda juga tidak akan menemui Khadijah meminta penerangan tentang rahsia
kejadian yang dilihatnya dalam Gua Hira itu. Rasul s.a.w. mendapat kepastian bahawa
Baginda adalah Rasul, hanya setelah melihat Jibril. Begitu juga setelah Waraqah bin Naufal
menegaskan perkara itu kepada Baginda. Waraqah memberitahu Baginda, apa yang dialami
Baginda di dalam gua tersebut adalah wahyu yang pernah diturunkan kepada nabi Musa a.s..
3. Jika dakwah islah merupakan satu perkara yang janggal kepada kepercayaan dan
mentaliti kebanyakan orang ramai, pendakwah tidak perlu menyampaikannya secara lantang.
Dia perlu menangguh langkah dakwah secara terang-terangan sehinggalah sebilangan
manusia telah mengimani dakwah tersebut dan sanggup berkorban apa sahaja, mahal
mahupun murah, demi jalan dakwah. Langkah ini dilakukan supaya jika pelopor dakwah
disakiti, para pengikut yang beriman dengan dakwahnya akan bangkit melakukan kewajipan
dakwah (menggantikan beliau). Dengan itu, kesinambungan dakwah akan terjamin.
4. Rasulullah s.a.w. telah mengejutkan Arab dengan perkara yang asing bagi mereka.
Oleh itu, mereka menyanggah keras dakwah Baginda. Cita-cita mereka hanya untuk
menghapuskan Baginda dan para sahabat. Penentangan ini merupakan jawapan dalam bentuk
sejarah terhadap dakwaan pejuang perkauman. Mereka mendakwa nabi Muhammad s.a.w.
dan risalah Baginda mewakili cita-cita dan aspirasi Arab ketika itu. Ini adalah dakwaan yang
melucukan. la ditolak oleh fakta-fakta sejarah yang diperakui, sebagaimana yang kita dapati.
Sebab yang mendorong mereka membuat dakwaan sebegini hanyalah berpunca daripada
sikap ekstrim dalam mendokong seruan perkauman. Dakwaan ini juga didorong oleh
keinginan mereka menjadikan Islam sebagai urusan yang lahir daripada keperibadian dan
pemikiran Arab. la juga merupakan keingkaran yang nyata terhadap kenabian Rasul s.a.w. di
samping merendahkan-rendahkan risalah Islam.
5. Walaupun setelah golongan jahat dan sesat mengenakan seksaan dan penindasan ke
atas orang-orang mukmin, mereka tetap berpegang dengan akidah mereka. Ini menjadi bukti
kejujuran iman dan keikhlasan pegangan akidah mereka. la juga menunjukkan ketinggian
jiwa dan rohani mereka. Mereka menganggap kesakitan yang menimpa hanyalah sebagai satu
kerehatan perasaan, juga ketenangan jiwa dan akal. Mereka lebih mendambakan keredhaan
Allah Jalla Sya'nuh berbanding penyeksaan, halangan dan penindasan yang dialami oleh
jasad mereka.
Penguasaan hakiki bagi orang-orang mukmin yang jujur dan pendakwah yang ikhlas
adalah kepada roh-roh mereka, bukan kepada tubuh badan mereka. Mereka segera menyahut
tuntutan rohani tanpa menghiraukan kerehatan, kekenyangan dan kelazatan yang dituntut
oleh jasad mereka. Dengan sikap inilah, dakwah telah menang dan kebanyakan orang ramai
ber-jaya dibebaskan daripada kegelapan kesesatan dan kejahilan.
6. Sabda Rasul s.a.w. kepada bapa saudara Baginda Abu Tolib dan keengganan Baginda
menerima tawaran harta dan takhta yang ditawarkan oleh Quraisy menjadi bukti kebenaran
dakwaan kerasulan Baginda. la juga menjadi bukti kesungguhan Baginda membawa petunjuk
kepada manusia. Demikian juga, seseorang pendakwah sepatutnya tekad meneruskan
dakwahnya walau bagaimana golongan batil berhimpun menentangnya. Dia perlu mengalih
pandangannya daripada godaan mereka yang menawarkan kemegahan dan pangkat. Bagi
orang-orang mukmin, susah payah di jalan kebenaran merupa-kan kerehatan jiwa dan hati
mereka. Pada mereka, redha Allah dan syurga-Nya lebih mulia dan lebih berharga daripada
segala pangkat, kemegahan dan harta dunia.
7. Pendakwah mestilah berada bersama-sama para penyokongnya untuk tempoh tertentu
pada setiap hari atau setiap minggu. la bertujuan untuk mempertingkat-kan keimanan mereka
terhadap dakwah, mengajar mereka tentang jalan, cara dan adab dakwah. Dia wajib
menjadikan perhimpunan mereka rahsia apabila bimbang keselamatan diri dan jamaahnya
terancam ekoran perhim-punan terang-terangan. Langkah ini agar golongan batil tidak
berkomporomi menghapuskan mereka atau mening-katkan penyeksaan dan penindasan ke
atas mereka.
8. Seorang pendakwah mestilah mengambil berat tentang kaum kerabatnya. Dia perlu
menyampaikan dakwah islah kepada mereka. Namun sekiranya mereka menolak, dia akan
mempunyai alasan di hadapan Allah dan manusia terhadap kerosakan dan kesesatan kaum
kerabatnya itu.
9. Apabila pendakwah mendapati jamaahnya dalam bahaya, sama ada kepada nyawa
atau berbentuk ancaman fitnah kepada pegangan akidah, dia mestilah menyediakan tempat
yang selamat untuk penyokongnya daripada pencerobohan golongan batil tersebut. Usaha ini
tidak menafikan kewajipan para pendakwah kebenaran untuk berkorban. Namun jika
bilangan mereka sedikit, golongan batil akan berjaya menghapuskan mereka dan
melenyapkan dakwah sekaligus. Sementara kewujudan mereka di tempat yang selamat,
menjadi jaminan kepada kesinambungan dakwah dan penyebarannya.
10. Perintah Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah sebanyak
dua kali menunjukkan ikatan agama sesama golongan beragama (walaupun berbeza agama
mereka) adalah lebih kuat dan kukuh. Ini berbanding ikatan mereka dengan penyembah
berhala dan golongan atheis. Agama-agama Samawi dari segi sumber dan asas-asasnya yang
aahih, sepakat dalam objektif utama sosial. la juga sepakat dalam persoalan keimanan kepada
Allah, rasul-rasul-Nya dan hari Akhirat. Kebersamaan ini menjadikan jalinan kekerabatan
antara agama-agama ini lebih kukuh berbanding mana-mana jalinan lain; Sama ada ikatan
kaum kerabat, hubungan darah ataupun tempat tinggal yang berpasakkan pegangan atheism,
keberhalaan dan kekufuran terhadap syariat Allah.
11. Golongan batil tidak mudah menyerah kalah kepada pendokong kebenaran. Setiap
kali usaha pembasmian dakwah yang digunakan gagal mencapai objektifnya, mereka akan
mencipta cara dan medium yang lain. Demikianlah penentangan ini akan berterusan
sehinggalah kebenaran benar-benar mencapai kemenangan yang muktamad dan
kebatilan menghembus nafasnya yang terakhir.
Sekian Wassalam...
Yus Jambu Meninggal Dunia
-
Al-Fatihah – Yus Jambu Meninggal Dunia Kuala Lumpur: Pelawak terkenal,
Yussry Edoo, 39, atau Yus Jambu meninggal dunia dipercayai akibat sesak
nafas, kira-...
9 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan