Abu Said Al-Khudriy r.a katanya:
Aku telah menemani Ibnu Soyyad ke Mekah. Dia telah berkata kepadaku: Adakah engkau tahu, aku telah menjumpai manusia yang menyangka aku adalah Dajal. Tidakkah engkau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Dajal tidak diperanakkan. Aku menjawab: Memang benar. Ibnu Soyyad berkata lagi: Aku telah diperanakkan. Tidakkah kamu telah mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda: Dajal tidak memasuki Madinah dan juga Mekah. Aku menjawab: Memang benar. Ibnu Soyyad berkata lagi: Aku telah diperanakkan di Madinah sekarang ini aku ingin pergi ke Mekah. Abu Said Al-Khudriy berkata: Kemudian Ibnu Soyyad berkata kepadaku di akhir perbicaraannya: Demi Allah. Sesungguhnya aku merupakan orang yang paling tahu tentang kelahirannya, tempatnya dan di mana dia. Abu Said Al-Khudriy berkata: Dia telah menyebabkan aku kebingungan.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 5209
Jabir bin Abdullah r.a:
Diriwayatkan daripada Muhammad bin Al-Mungkadir r.a katanya: Aku telah melihat Jabir bin Abdullah telah bersumpah dengan nama Allah bahawasanya Ibnu Soyyad adalah Dajal. Aku bertanya: Adakah kamu bersumpah dengan nama Allah? Ibnu Jabir menjawab: Aku telah mendengar Umar bersumpah sedemikian ketika bersama Nabi s.a.w dan Nabi tidak mengingkarinya.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 5214
Abdullah bin Umar r.a:
Sesungguhnya Umar bin Al-Khattab telah bertolak bersama Rasulullah s.a.w dan beberapa orang sahabat (sekumpulan sahabat yang tidak lebih dari sepuluh orang) ke perkampungan Ibnu Soyyad. Setibanya baginda di sana, baginda s.a.w mendapati beliau sedang bermain dengan beberapa orang kanak-kanak lelaki di tepi binaan yang tinggi kepunyaan Bani Maghalah. Ketika itu Ibnu Soyyad hampir baligh. Ibnu Soyyad tidak menyedari kedatangan Rasulullah s.a.w sehinggalah Rasulullah s.a.w menepuk belakangnya dengan tangan lalu bertanya kepada Ibnu Soyyad: Adakah engkau bersaksi bahawa aku ini Rasulullah? Ibnu Soyyad melihat kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: Aku bersaksi bahawa engkau Rasul (utusan) para Ummiyyin (tidak pandai membaca dan menulis). Ibnu Soyyad bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Adakah engkau bersaksi aku adalah utusan Allah? Rasulullah s.a.w menolak pertanyaan tersebut lalu bersabda: Aku hanya beriman dengan Allah dan para Rasul-Nya. Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi: Apa yang engkau nampak (tentang perkara-perkara ghaib)? Ibnu Soyyad berkata: Datang kepadaku berita benar dan berita bohong. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Engkau tidak dapat membezakan antara keduanya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Sesungguhnya aku telah menyembunyikan sesuatu darimu supaya engkau boleh memberitahuku benda tersebut. Ibnu Soyyad berkata: Ia adalah Dukh, iaitu sejenis asap. Lalu Rasulullah s.a.w terus memotong cakapnya dengan menyebut: Ikhsa' (Cis!). Engkau tidak dapat menyaingi kemampuan engkau kerana engkau tidak lebih dari seorang pendeta yang diberitahu oleh syaitan. Lalu Umar bin Al-Khattab berkata: Wahai Rasulullah s.a.w! Biarkan aku memenggal lehernya. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya benar dia adalah Dajal maka engkau tidak mampu membunuhnya dan sekiranya dia bukan Dajal maka tiada gunanya engkau membunuhnya. Salim bin Abdullah berkata: Aku telah mendengar Abdullah bin Umar menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersama Ubai bin Kaab Al-Ansariy ke sebuah kebun tamar. Di dalam kebun tamar itulah Ibnu Soyyad berada. Apabila Rasulullah s.a.w memasuki kebun itu, baginda segera bersembunyi di belakang pelepah tamar. Baginda bersembunyi supaya boleh mendengar apa yang diucapkan oleh Ibnu Soyyad tanpa dilihat (diketahui) oleh Ibnu Soyyad. Maka Rasulullah s.a.w telah melihat Ibnu Soyyad sedang mengiring di atas hamparan yang dianyam dari kapas sambil mengeluarkan suara yang tidak difahami. Tiba-tiba ibu Ibnu Soyyad ternampak Rasulullah s.a.w yang sedang bersembunyi di belakang pelepah tamar, lalu dia memberitahu Ibnu Soyyad: Wahai Sof! Sof adalah nama Ibnu Soyyad. Ini Muhammad, lalu Ibnu Soyyad bangkit. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya ibu Ibnu Soyyad membiarkannya nescaya akan nyata siapakah sebenarnya Ibnu Soyyad. Salim menceritakan bahawa Abdullah bin Umar berkata: Maka Rasulullah s.a.w berdiri di tengah-tengah orang ramai lalu memuji Allah dengan apa yang layak bagi-Nya, kemudian memperkatakan tentang Dajal, sabdanya: Sesungguhnya aku memperingatkan kamu tentang Dajal dan semua para Nabi sebelum ini memperingatkan kaumnya mengenai Dajal. Nabi Nuh telah memperingatkan kaumnya tentang Dajal, tetapi aku terangkan kepada kamu sesuatu yang belum pernah diterangkan oleh para Nabi sebelum ini kepada kaumnya. Ketahuilah, sesungguhnya Dajal itu buta sebelah matanya, sedangkan Allah Maha Suci lagi Maha Luhur dan tidak buta.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 5215
Sekian Wassalam...
Yus Jambu Meninggal Dunia
-
Al-Fatihah – Yus Jambu Meninggal Dunia Kuala Lumpur: Pelawak terkenal,
Yussry Edoo, 39, atau Yus Jambu meninggal dunia dipercayai akibat sesak
nafas, kira-...
9 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan