• Hadis Ali bin Abu Talib r.a:
Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Ketika jenazah Umar bin Al-Khattab diletakkan di atas katil ramai orang yang datang menziarahi, berdoa, memuji dan menyembahyangkan jenazahnya sebelum dikebumikan. Ketika itu aku juga berada di kalangan mereka. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh seorang lelaki yang memegang bahuku dari belakang. Bila aku menoleh ke arahnya ternyata dia adalah Ali bin Abu Talib. Setelah berdoa untuk jenazah Umar, dia berkata: Kamu tidak meninggalkan seorang yang sangat aku cintai melebihi daripadamu. Sehingga bertemu dengan Allah sekalipun tidak ada yang dapat menandingi amalanmu. Demi Allah, aku yakin bahawa sesungguhnya Allah akan menempatkan kamu bersama-sama dengan dua orang Sahabat kamu di mana aku selalu mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Aku datang bersama Abu Bakar dan Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan Umar dan aku keluar bersama Abu Bakar dan Umar. Aku berharap semoga Allah menjadikan kamu bersama keduanya.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 4402
• Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi melihat orang ramai memakai berbagai-bagai jenis pakaian. Ada yang berpakaian hanya separas dada dan ada yang pakaiannya kurang daripada itu. Sedangkan aku melihat Umar bin Al-Khattab berjalan dengan pakaian yang labuh. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pentafsiran kamu mengenai maki tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda: Itulah agama.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 4403
• Hadis Ibnu Umar r.a:
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Ketika aku sedang tidur aku bermimpi melihat sebekas susu yang dihidangkan kepadaku. Aku meminumnya sehinggalah aku dapati zatnya memasuki kuku-kuku aku, kemudian aku berikan lebihan aku itu kepada Umar bin Al-Khattab. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pentafsiran kamu mengenai mimpi tersebut. Rasulullah s.a.w berkata: Itulah ilmu.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 4404
• Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: ketika aku sedang tidur aku bermimpi melihat diriku berada di sebuah telaga yang terdapat timba. Aku mengambil air telaga itu dengan banyak. Kemudian aku melihat Ibnu Abu Quhafah memegang timba dan mengambil air dari telaga itu sebanyak satu atau dua kali dan setiap kali air diambil pasti berkurang, semoga Allah mengampuninya. Selepas itu timba menjadi besar dan digunakan oleh Ibnu Al-Khattab. Aku tidak pernah melihat manusia perkasa yang dapat melakukan seperti apa yang dilakukan oleh Umar bin Al-Khattab, sehingga orang ramai dapat memberi minuman tersebut kepada unta-unta mereka, kemudian mereka membawa unta-unta itu ke kandang.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 4405
• Hadis Abdullah bin Umar r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku bermimpi seolah-olah aku sedang mengambil air dengan timba yang berada di sebuah telaga. Abu Bakar datang membantuku untuk mengambil air sebanyak satu atau dua kali. Setiap kali beliau mengambil air, air itu akan berkurang, semoga Allah mengampuninya. Kemudian datang pula Umar untuk mengambil air, tiba-tiba timba menjadi besar. Aku tidak pernah melihat manusia perkasa yang dapat melakukanya seperti apa yang dilakukan oleh beliau sehingga orang ramai mencukupi bekalan air mereka, kemudian mereka membawa unta-unta mereka ke kandang.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 4407
• Hadis Jabir r.a:
Dari Nabi s.a.w sabdanya: Aku bermimpi masuk ke dalam Syurga, aku melihat di dalamnya terdapat sebuah istana, maka aku bertanya: Untuk siapakah istana ini? Mereka iaitu Malaikat menjawab: Untuk Umar bin Al-Khattab. Aku cuba untuk masuk, tetapi aku teringat akan kecemburuanmu. Setelah mendengar perkara itu, Umar menangis dan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah aku harus cemburu kepadamu.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 4408
• Hadis Abu Hurairah r.a:
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Aku bermimpi berada di dalam Syurga, tiba-tiba aku melihat seorang perempuan mengambil wuduk di tepi sebuah istana, lalu aku bertanya: Untuk siapakah istana ini? Para Malaikat menjawab: Kepunyaan Umar bin Al-Khattab. Aku teringat akan kecemburuan Umar lalu aku pun berlalu dari situ. Abu Hurairah berkata: Umar menangis di dalam majlis itu dan kami semua berada di situ bersama Rasulullah s.a.w. Kemudian Umar berkata: Demi ayahku! Apakah aku harus cemburu kepadamu wahai Rasulullah!.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 4409
• Hadis Saad r.a katanya:
Umar meminta kebenaran daripada Rasulullah s.a.w untuk menemui baginda s.a.w. Pada ketika itu, beberapa orang wanita Quraisy sedang berbincang dengan Rasulullah s.a.w dengan suara yang tinggi. Apabila mendengar suara Umar meminta izin wanita-wanita itu berlari menuju ke balik tabir. Rasulullah s.a.w mengizinkan Umar masuk. Rasulullah s.a.w tersenyum ketika melihat beliau. Umar berkata: Semoga Allah memanjangkan usiamu wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w berkata: Aku hairan dengan wanita-wanita yang berada di sampingku itu, apabila terdengar suaramu mereka berlari menuju ke balik tabir. Lalu Umar berkata: Wahai Rasulullah! Engkaulah orang yang paling berhak untuk di takuti. Umar berkata kepada wanita-wanita yang bersembunyi itu: Wahai wanita-wanita yang menjadi musuh diri sendiri, adakah kamu merasa takut kepadaku tetapi tidak takut kepada Rasulullah. Mereka menjawab: Benar, kerana tingkah laku dan pertuturan kamu lebih kasar daripada Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat aku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, tidak ada syaitan yang akan melalui jalan yang dilalui olehmu, melainkan mereka berusaha melalui jalan yang tidak dilalui olehmu.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 4410
• Hadis Ibnu Umar r.a katanya:
Ketika Abdullah bin Ubai bin Salul meninggal dunia, datang anaknya Abdullah bin Abdullah menemui Rasulullah s.a.w, meminta pakaian Rasulullah s.a.w untuk mengapani jenazah ayahnya. Rasulullah s.a.w memenuhi permintaan tersebut, kemudian beliau meminta Rasulullah s.a.w menyembahyangkan jenazah ayahnya. Maka Rasulullah s.a.w berdiri untuk memenuhi permintaan itu. Umar berdiri serta menarik baju Rasulullah s.a.w sambil berkata: Wahai Rasulullah! Adakah kamu ingin menyembahyanginya, tidakkah Allah melarang dari berbuat begitu? Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah memberi pilihan kepadaku. Allah telah berfirman,yang bermaksud: Kamu mintalah keampunan untuk mereka atau tidak minta keampunan untuk mereka, sekirannya kamu meminta keampunan untuk mereka sebanyak tujuh puluh kali, aku akan menambahnya tujuh puluh kali. Umar berkata: Abdullah itu orang munafik. Rasulullah s.a.w tetap menyembahyangi jenazah tersebut. Oleh sebab itulah Allah menurunkan ayat,Yang bermaksud: Dan janganlah kamu sembahyang jenazah ke atas orang munafik yang mati di antara mereka dan janganlah kamu berdiri di atas kuburnya.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 4413
Sekian Wassalam...
Yus Jambu Meninggal Dunia
-
Al-Fatihah – Yus Jambu Meninggal Dunia Kuala Lumpur: Pelawak terkenal,
Yussry Edoo, 39, atau Yus Jambu meninggal dunia dipercayai akibat sesak
nafas, kira-...
9 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan