KENALI SYEIKH ABDUL HALIM MAHMUD

Syeikh Abdul Halim Mahmud adalah Imam besar al-Azhar pada tahun 1973,lahir pada 12 Mei 1910,bersamaan 2 Jamadil Awal 1328 hijrah di desa Abou Ahmed, di kawasan Pentadbiran Bilbeis Sharqeya, 50 kilometer timur laut Kaherah, Mesir

Sifat dan kejahatan Yahudi dalam Al-Quran

“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.” [ Al-Maidah (5):82].

VIDEO KLIP DALAM KA'BAH

Di dalam Ka`bah terdapat 3 buah tiang yang dibuat daripada kayu, berwarna merah kekuningan. Menurut sejarah, tiang itu dipasang oleh Abdullah bin Zubair r.a.

VIDEO KLIP PERANG SINAI (Mesir) 1967-1973

Mimpi yang benar oleh mantan Syeikh Al-Azhar,Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud,mengenai bagaimana strategi melawan tentera Israel.

KISAH-KISAH DALAM AL-QURAN BUKTI MUKJIZAT

Al-Qur’an adalah Kalam Allah S.W.T. yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. sebagai risalah Tuhan Yang Maha Agung.

Sebab - Sebab Membawa Kelemahan Jiwa


SEBAB-SEBAB YANG MEMBAWA KEPADA KELEMAHAN JIWA

1.Sikap ibubapa yang tidak mengambil berat tentang pendidikan anak-anak sejak kecil

Tanpa disedari, keadaan tersebut membawa kepada penyerapan nilai-nilai yang negatif ke dalam jiwa anak-anak. Umpamanya, mengatakan bahawa:

“Kamu lebih baik dan mulia daripada orang lain. Kamu adalah daripada keturunan yang baik. Kamulah golongan yang berharta banyak jika dibandingkan dengan orang lain.”

Sentiasa memuji dan menyanjung mereka atas sebab-sebab tertentu ataupun tanpa sebab. Memenuhi tuntutan anak-anak, tidak kira samada mendatangkan manfaat ataupun tidak. Enggan mengenakan hukuman ataupun memberi tunjuk ajar sekiranya mereka melakukan kesilapan samada terhadap dirinya sendiri ataupun kepada orang lain. Sebaliknya dengan mudah membebaskan mereka, sedangkan mereka melakukan kesilapan. Perkara-perkara seumpama ini menjadikan mereka terbiasa dengan kesilapan.

2.Cara tarbiyyah yang terlalu keras, kasar dan berbentuk paksaan

Ini menjadikan anak-anak terperangkap dengan dirinya sendiri dan menjadikan jiwa mereka pasif. Akhirnya, mereka cuba untuk meneguhkan dirinya sendiri dan menjadi hero di hadapan orang lain. Mendakwa dirinya hebat dan handal malah seorang jaguh. Pada hakikatnya, semua itu adalah sangkaan yang meragukan dan palsu semata-mata. Dengan itu, leburlah keperibadian, tewas dengan diri sendiri dan tidak mampu untuk mempertahankan pandangan serta pegangannya di hadapan orang lain. Alangkah mudahnya tewas meskipun dalam pertarungan yang terlalu remeh.

3. Lemah dalam membina jiwa anak-anak dan suasana persekitaran yang tidak menggalakkan

Anak-anak tidak sempat menamatkan pengajian dan tidak mampu menguasai ilmu serta rapuhnya hubungan kekeluargaan dan lain-lain lagi. Dengan itu, anak-anak akan menjadikan suasana luaran sebagai alternatif bagi meneguhkan diri dan menampung segala kekurangan diri. Ini semua akan menjadikan mereka ta`asub pada pandangan peribadi dan menggesa orang lain supaya menerima pandangannya. Cuba menampilkan diri sebagai seorang yang mengetahui segala perkara tersirat. Golongan ini tidak jemu bercakap tentang perkara yang boleh membersihkan imej sendiri dan mengangkat martabatnya di sisi orang lain.

4.Bakat dan keupayaan tertentu yang tidak dipupuk sejak kecil dengan norma-norma kehidupan yang mengiktiraf bahawa segala anugerah tersebut adalah dari Allah


Sepatutnya mereka sentiasa bersyukur kepada Allah Ta`ala yang Maha Pencipta. Hal yang sedemikian perlu dititikberatkan, jika tidak, mereka akan membesar dengan rasa tinggi dari orang lain, perasaan membanding-bandingkan diri sesama manusia dan sentiasa berusaha untuk meyakinkan orang lain bahawa merekalah yang terbaik. Kadang kadang, bakat dan kebolehan sendiri menyebabkan kehancuran sekiranya ia tidak digunakan dengan bijaksana. Kisah Qarun boleh dijadikan pengajaran terbaik. Qarun yang telah Allah kurniakan segunung harta. Dikatakan kepadanya “Takutilah Allah dan bersyukurlah kepadaNya di atas harta yang telah dianugerahkan kepada engkau: Allah berfirman,yang bermaksud:

Qorun berkata aku memperoleh harta benda itu adalah dengan ilmu pengetahuan ku sendiri.

[Al Qasas: 78]

Kisah Qorun telah tersemat di dalam Al Quran. Firman Allah SWT,maksudnya:

“Sesungguhnya Qorun adalah salah seorang dari kaum Musa, kemudian ia dianiaya kepada bangsanya. Telah kami berikan kepadanya harta benda yang banyak, sehingga anak-anak kunci gudang-gudangnya amat berat dipikul ramai orang yang kuat. Ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau terlalu bersuka-ria, kerana Allah tidak mengasihi orang-orang yang sangat bersuka-ria.

Hendaklah kamu menuntut akhirat dengan kekayaan yang diberikan Allah kepada engkau dan janganlah engkau lupa bahagian nasib engkau di dunia dan berbuat baiklah kepada manusia seperti mana Allah telah berbuat baik kepada engkau dan janganlah engkau berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang berbuat bencana.”

[Al Qasas: 76-77]

Akhirnya Qorun menerima azab kemusnahan dari Allah. Allah berfirman,maksudnya:

Maka kami benamkan Qorun berserta rumah tangganya ke dalam bumi. Tiada siapa yang menolongnya selain daripada Allah, tetapi dia tidak mendapat pertolongan.

[Al Qasas: 81]

Orang–orang yang bercita-cita kelmarin untuk setempat dengan Qorun berkata: Ajaib, seolah-olah Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkannya. Jikalau Allah tidak memberi kurnia kepada kami nescaya Allah membenamkan kami pula. Ajaib, kerana sesungguhnya tiada menang orang-orang kafir.

[Al Qasas: 82]

Kadang-kadang taat setia dengan ajaran Islam, bersusah payah dalam beribadat, memperbanyakkan amalan sunat menyebabkan manusia merasakan dirinya lebih istimewa dari orang lain. Mereka menyangka dirinya mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah dengan amalan tersebut lalu memandang lekeh terhadap orang lain dan menghina orang yang melakukan maksiat. Iblis telah membuat tipu daya dengan ibadat mereka. Ketika mana Allah memerintahkan iblis agar sujud kepada Nabi Adam AS lalu iblis enggan: Allah Ta`la berfirman,yang bermaksud:

“Allah berfirman: Apakah yang melarang kamu tidak mahu tunduk, ketika Aku menyuruhmu. Sahut iblis Aku terlebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku dari api dan engkau jadikannya dari tanah.

[Al A’raf: 12]

Sebagai balasannya Allah telah mencabut segala rahmat daripadanya. Seorang ahli ibadat yang bernama Zulkhuaisoroh telah terpedaya dengan ibadatnya mendakwa di hadapan Rasulullah SAW: “Inilah bahagian amalan yang aku maksudkan untuk Allah.”

Berkata Ibnu Qaiyim: “Lihatlah kepada seorang yang banyak sujud dan beribadat, serta zuhud, terdapat pada dahi mereka tanda sujud iaitulah Zul Khuaisarah Al Tamimi Al Khariji. Dia adalah seorang pelampau yang mengingkari Nabi Muhammad SAW. Dia berpesan kepada para sahabatnya agar melakukan penghinaan terhadap orang-orang muslimin, sehingga sanggup menghunus pedang dan menghalalkan darah orang Islam.

Ayad Ibnu Himar RA seorang peminum arak yang sering mabuk, datang menemui Nabi SAW agar dikenakan hukuman hudud di atas kesalahannya. Kekuatan iman, keyakinan, kecintaan kepada Allah, sifat tawadhu` dan penyesalan dirinya yang tinggi menyebabkan Rasulullah SAW melarang para sahabat dari mencela beliau. Jelaslah dari sini, mereka yang banyak melakukan maksiat kepada Allah tetapi akhirnya bertaubat adalah lebih selamat berbanding dengan orang yang banyak beribadat namun akhirnya melakukan perkara yang dimurkai Allah Ta`ala.

Ibnu Qaiyim berkata: “Pendosa yang mencela diri dengan dosa-dosanya adalah lebih dicintai oleh Allah daripada orang yang melakukan ketaatan kepada Allah bertujuan menunjuk-nunjuk. Sesungguhnya kamu tidur dan bangun dalam keadaan menyesal lebih baik daripada orang yang bertahajud di malam hari dan bangun dalam keadaan ujub.” Orang yang ujub tidak diangkat amalan mereka.

Berkata seorang ulamak sufi Ibnu `Ataillah dalam kitabnya:

“Mungkin Allah membuka pintu ketaatan tetapi ditutup pintu penerimaan (kabul). Sebagaimana adakalanya ditakdirkan engkau berbuat dosa tetapi menjadi sebab yang mendekatkan diri kepada Allah. Maksiat yang melahirhan rasa tercela dan penyesalan adalah lebih baik di sisi Allah daripada ketaatan yang membawa kepada rasa sombong, ujub dan takabbur.” (الحكم العطائية)

5.Tidak ada sifat saling nasihat menasihati sesama manusia

Nasihat merupakan suatu perkara yang amat pahit untuk diterima. Lantaran itu, ramai yang enggan memberi nasihat dan bermuka-muka kerana bimbang orang yang dinasihati akan berubah hati terhadapnya dan menimbulkan kemarahan. Sentimen ini, boleh mencetuskan anggapan pada sesetengah pihak bahawa kesilapan adalah kebenaran maka mereka yang bersalah terus bergelumang dengan kesalahannya.

Sebaliknya kita dapati sikap suka memuji dan mengampu berleluasa di kalangan manusia pada tahap yang tidak diterima akal, terutamanya apabila orang yang dipuji itu adalah di kalangan mereka yang mempunyai pangkat dan kuasa. Orang akan berlumba-lumba untuk memujinya samada pujian sebenar ataupun palsu. Ianya tercetus lantaran sifat tamak dan mengidamkan apa yang terdapat pada orang yang dipuji samada kemegahan, harta, kenaikan pangkat dan sebagainya.

Kadang-kadang, perkara yang menjadi pendorong bagi sesetengah manusia suka memuji adalah kerana menagih kasih sayang daripada orang yang dipuji lantas menyanjung mereka. Sesetengah orang mendakwa bahawa perkara yang mendorong seseorang mengasihi saudaranya yang lain ialah dengan memuji-mujinya secara terang-terangan agar bertambah lagi kasih sayangnya. Benar, bertambahnya kasih-sayang dan kemesraan tetapi bukan kerana Allah. Cinta yang hakiki ialah cinta kerana Allah dan mendekatkan diri kepadaNya (taqarrub). Akan tetapi cinta sebegini menjauhkan hamba dari Allah SWT. Ungkapan pujian walaupun ringan tetapi membawa kesan yang membinasakan orang yang mendengar, sepertimana yang akan dijelaskan selepas ini.

6.Tidak menitikberatkan pembinaan dalaman

Peringkat usia tiga puluhan dihabiskan tanpa sebarang usaha untuk menyempurnakan segala kekurangan yang ada, lantas menyebabkan gejala lemah jiwa sebati dalam diri dan keperibadiannya. Mendidik anak anak di waktu kecil umpama mengukir di atas batu. Sepertimana yang telah kita ketahui dalam kisah Ashabul Ukhdud, kita melihat apa yang diminta oleh tukang sihir daripada Raja.

Dari Suhaib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ada seorang Raja sebelum zaman kamu yang memiliki seorang tukang sihir apabila tukang sihirnya tua, dia berkata kepada si Raja: “Sesungguhnya aku telah tua, utuskan kepadaku seorang budak agar aku boleh mengajarkannya ilmu sihir. Maka Raja tersebut mengutuskan seorang budak kepadanya untuk diajarkan sihir...”

(Riwayat Muslim)

Tukang sihir itu telah meminta seorang budak untuk diajar sihir kerana ia mengetahui bahawa umur muda adalah amat sesuai sekali untuk menerima, menghafal dan menguasai ilmu. Sepertimana pokok mudah dibentuk pada peringkat awal dan menjadi susah setelah sempurna pertumbuhannya.

Demikian juga manusia, alangkah mudahnya dididik sewaktu kecil dan amat sukar sekali setelah dewasa.

7.Tidak memuhasabah diri secara berterusan. Berpuas hati dengan amal ibadat tanpa melihat kepada percubaan hawa nafsu untuk menguasai amalannya

Apabila seseorang itu mampu menilik diri dan amalan lahiriah, sebaliknya mengabaikan amalan hati seperti ikhlas, membenarkan Allah, bertawakal kepada Allah dan mengembalikan diri kepada-Nya; takut akan berlakunya riya`, takbbur, ‘ujub terpedaya dan lain lain lagi yang berkaitan dengan kecacatan amal maka sifat tercela tersebut bermaharajalela dalam diri tanpa disedari lantas dia menyangka bahawa dia sudah beruntung. Merasa dirinya tergolong di kalangan orang-orang yang soleh dan ahli syurga sedangkan itu bukanlah ciri-ciri orang soleh yang sebenar. Hakikat ciri-ciri orang yang soleh seperti mana yang disifatkan oleh Al Quran,maksudnya:

“Dan orang-orang yang telah memberikan apa–apa yang telah diberikannya (sedekah, zakat dan sebagainya) sedang hati mereka itu takut kerena mereka akan kembali kepada Tuhannya.”

[Al Mu’minun: 60]

8.Menonjol dan menampilkan diri tanpa persediaan dan pembentukan awal
 

Mereka yang tampil kehadapan dan terdedah kepada kemasyhuran sebelum sampai waktunya akan mudah tercicir dalam banyak perkara. Sepertimana yang disebut oleh Imam As-Syafie:

“Apabila terkehadapan orang muda yang belum mantap ilmunya hilanglah darinya ilmu yang banyak.”

Ini akan membantutkan usaha mencari ilmu, membentuk diri, mendidik jiwa dan menghidupkan hati. Sesetengah manusia apabila disuluh dengan cahaya kemasyhuran sedangkan dia masih belum ada persediaan diri yang mantap maka samalah keadaannya seperti orang yang menghampiri cahaya dan mendapati dirinya terlalu besar sedang itu hanyalah bayang-bayang, sedangkan dirinya tetap tidak berubah.

Bayang-bayang telah banyak memperdaya manusia. Mereka menyangka dirinya amat besar dan melihat orang lain tidak sepertinya di segi kehebatan. Gerak hati itu dizahirkan pada tingkahlaku mereka dan menggunakan segenap upaya untuk membenarkan kepalsuannya. Mengelakkan diri dari kelihatan jahil dan berhajat kepada ilmu pengetahuan. Mereka menyangkakan dirinya adalah di kalangan orang yang berilmu dan meletakkan dirinya sebaris dengan saf ulama` sedangkan dia tidak pernah bersusah payah untuk mengkaji, menghafal, belajar dan mengikuti jejak langkah penuntut ilmu. Mereka telah terpedaya dengan bayang-bayang kemegahan, dan populariti. Apabila ditanya sebarang persoalan maka ia akan menjawab membuta tuli untuk menyembunyikan kejahilan diri sendiri.

Apabila pendapatnya ditolak dia akan merasa marah dan apabila berhujah ataupun berdialog dia akan terus melenting jika disanggah. Apabila diberi nasihat dan tunjuk ajar ia enggan menerimanya. Mereka melihat dirinya di atas permukaan cermin cembung yang menampakkan dirinya kelihatan lebih besar. Mengandaikan orang lain lebih sesat sedangkan pada hakikatnya dialah yang lebih sesat.

Orang yang sebegini pada hakikatnya membuka pekung di dadanya sendiri, memandu diri sendiri kearah kebinasaan. Tidak mengunakan kesempatan yang ada untuk membentuk diri. Lambat laun, secara tiba-tiba sahaja mendapati dirinya telah dilingkungi manusia sambil menuding jari padanya. Terperangkap dengan rencah kehidupan dunia dan tidak lagi punya waktu untuk memelihara hati, membersihkan jiwa atau membajai akal fikiran dengan cahaya ilmu.(Syarah Hikam Al Athaillah: Mohd. Said Ramadhan Al Buthi)

Wallahu’lam....
www.hasnulhadiahmad.blogspot.com

Mengapa Perlunya MUJAHIDAH?


MENGAPA PERLUNYA MUJAHIDAH?

Dekad ini menyaksikan peratus penghuni dunia dikuasai oleh kaum hawa, rata-rata negara memberikan fakta bahawa bilangan golongan wanita mengatasi kaum lelaki, nidbah ini menunjukkan meremampu mencorak masa depan negara. Sehingga ke saat ini, sebahagian besar hidup wanita masih lagi dilalaikan dengan kecenderungan ke arah perhiasan yang berlebihan dan cita-cita hidup yang remeh-temeh. Marilah kita sama-sama merenungi beberapa keadaan yang menimpa wanita hari ini:

1.Pembunuhan Kanak-Kanak


Kalau di zaman firauan anak-anak lelaki telah dibunuh. Dibunuh kerana takut anak-anak itu akan menggugat kerajaan firauan, yang membunuhnya pula adalah pegawai-peagawai firaun bukannya ibu atau bapa kanak-kanak tersebut, malah pembunuhan tersebut adalah di sebalik ratapan ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Di zaman jahiliyah pula, kanak-kanak perempuan di bunuh oleh bapa-bapa mereka sendiri, kanak-kanak tersebut ditanam di dalam lubang yang digalikan. Anehnya pada zaman ini, kanak-kanak tersebut dibunuh pula oleh ibu yang melahirkannya sendiri, tidak lagi tertentu kepada kanak-kanak lelaki mahupun perempuan. Lebih mengaibkan lagi apabila mayat-mayat tersebut dicampakkan ke dalam lubang tandas, semak-samun, ataupul longkang.

2.Murtad

Sensitiviti kepada isu kemurtadan begitu hambar sekali dalam masyarakat Islam. Dewasa ini sering didedahkan terdapat individu-individu yang murtad dan memohon keluar daripada Islam. Apa yang pasti hampir keseluruhan kes ini melibatkan wanita-wanita Islam. Keadaan ini jelas menunjukkan begitu rapuh sekali tahap keimanan kebanyakan wanita Islam abad ini.

3.Senjata Musuh Untuk Meruntuhkan Islam


Abdul Wadud Yusuf dalam bukunya (قادة الغرب يقولون دمروا الاسلام وأبيدوا أهله) mendedahkan salah satu teknik barat untuk meruntuhkan Islam ialah dengan merosakkan wanita Islam, pesongkan mereka daripada agama Islam, menggunakan mereka untuk merosakkan pemuda-pemuda Islam. Oleh itu wanita harus berhati-hati dengan perjuangan menuntut hak persamaan antara lelaki dan perempuan, kebebasan berpakaian dan seumpamanya.

Ini hanyalah beberapa contoh tentang realiti wanita dekad ini, gerakan menyelamatkan keadaan ini perlu diperkembangkan. Golongan ini memerlukan bimbingan yang berterusan daripada mujahidah-mujahidah. Mereka perlu bangkit daripada kelalaian semasa untuk memikul tugas dan amanah ini. Jika sekiranya wanita-wanita kristian sanggup menjelajah ke medan peperangan memberi semangat dan bantuan, jika wanita-wanita yahudi boleh bertungkus-lumus bergerak merosakkan identiti dan kepatuhan nilai rabbani insan muslim, jika wanita-wanita komunis sanggup meredah dan bermukim dalam hutan belantara demi mempertahankan idealogi mereka, mengapa wanita Islam tidak mampu untuk bertindak sama, masih tidak mampu walaupun sekadar untuk mengikuti usrah, tamrin, program, dan acara dakwah.

Kegawatan ini tidak akan mampu di atasi melainkan dengan kelahiran mujahidah. Sudah sampai ketikanya untuk wanita-wanita Islam beramai-ramai menyarung selendang mujahidah demi perjuangan suci. Hanya mujahidin dan mujahidah yang mampu untuk berdiri tegak dalam perjuangan kebenaran ini. Kerana mereka adalah golongan yang bersungguh pada mencari keredhaan Allah s.w.t lalu kesungguhan dan keikhlasan mereka akan menyebabkan Allah s.w.t menunjukkan jalan perjuangan ini kepada mereka. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Ankabut ayat 69,yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

Tiada alasan mahupun halangan yang akan dapat diberikan oleh mereka yang benar-benar mengikhlaskan diri unttuk tujuan ini. Lihatlah Asiah sekalipun ditakdirkan bersuamikan firaun, mujahidah ini tetap thabat di atas jalan perjuangan. Tidak ramai yang mengetahui kisah yang dihadapi oleh mujahidah ini dalam menangggung siksaan daripada suaminya sendiri. Beliau senyum sewaktu sedang diazab oleh firaun sehingga firaun mengatakan “lihatlah bagaimana bodohnya isteriku itu, ia diazab tetapi ia ketawa”. (rujuk Muhktasar Ibnu Kathir juzuk 3)

Tidak dinafikan bahawa sejak risalah tauhid in diturunkan, sejarah merekodkan sari tauladan daripada tokoh-tokoh mujahidah ini. Sejarah Islam tidak melupakan jasa Khadijah, Aisyah, Umu Salamah, Sumayyah, Asma’, dan seumpamanya. Kita juga tidak melupakan tokoh-tokoh mujahidah zaman ini walaupun sejarah dunia cuba melindungkan kehebatan mereka. Kita mengenali perjuangan seumpama Isabella dan Mariam Jamilah. Kita kagumi mujahidah-mujahidah seumpama Zainab al-Ghazali, Ummu Usamah, Aminah Ali, Amal Ashmawi, Aminah Qutub, Ummu Muaz, dan seumpamanya dalam berhadapan kezaliman regim Jamal Abdul Nasir. Semoga Allah s.w.t mengurniakan ganjaran yang sewajarnya kepada tokoh-tokoh tersebut.

Namun perjuangan Islam tidak terhenti kepada perjuangan mereka ini sahaja. Mereka hanyalah sekadar mata rantai kepada penerusan perjuangan ini. Ummah memerlukan mujahidah-mujahidah pengganti dan penyambung perjuangan mereka, malah ummah memerlukan bilangan mujahidah yang lebih ramai daripada yang sedia ada. Rebutlah perniagaan yang amat menguntungkan ini.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Soff ayat 10 hingga 13,yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10). Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).(11). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar.(12). Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.(13) .”

PERANAN MUJAHIDAH


Firman Allah s.w.t didalam surah at-Taubat ayat 71,yang bermaksud:


“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Jelas di sini tentang wujudnya peranan mujahidah dalam medan dakwah, namun semestinya tugas mereka agak berbeza dalam perkara-perkaa tertentu yang lebih menjurus kepada kesesuaian masing-masing. Yang pasti Islam meletakkan mujahidin dan mujahidah adalah saling melengkapi antara satu sama lain dalam jalan dakwah ini. Umumnya peranan mujahidah dapat disimpulkan kepada tiga kategori umum:

Pertama: Mujahidah Sebagai Isteri

Sebagai Syaqiq Arrijal, mujahidah adalah pelengkap kepada perjuangan mujahidin. Mereka bertangungjawab menguruskan keharmonian rumahtangga, Mereka bertangungjawab membentuk suasana mawadah warahmah dalam rumah tangga mereka. Banyak bukti yang menunjukkan disebalik kejayaan tokoh-tokoh dakwah dunia Islam adanya pernanan disebalik tabir yang dimainkan oleh mujahidah . Sebagimana kita tatapi betapa besarnya pernanan Khadijah di awal fajar dakwah Islam yang di bawa oleh suaminya Rasulullah s.a.w, begitulah juga yang kita temui pada tokoh-tokoh dakwah dekad ini dan itulah juga yang kita harapkan pada masa mendatang demi kesinambungan dakwah Islam ini. Sekali lagi cuba kita hayati kehidupan keluarga al-Hudhaibi;

Diceritakan oleh Muhammad Abdul Hakim bahawa adiknya Aminah yang datang dari kampung telah menumpang dirumah keluarga al-Hudhaibi selama 7 hari, 3 hari sewaktu Hudhaibi berada di rumah dan bakinya ketika ketiadaan beliau. Sewaktu aku membawa adikku Aminah pulang, beliau bertanya padakku dengan penuh takjub:

"Abang! Dari kejadian manakah datangnya isteri Hudhaibi itu? Adakah dia dari kejadian malaikat sehingga tiada langsung padanya sifat manusia dan wanita biasa?"

"Kenapakah wahai Aminah? Apakah sebabnya engkau bertanya sebegini?"

"Abdul Hakim! Aku begitu hairan dan kagum melihat sikap dan akhlaknya terhadap suaminya, selama tiga hari pertama ketika suaminya ada di rumah, beliau begitu serius dalam melahirkan rasa kasih sayang dan gembira dalam hati suami. Tidak memandang suaminya kepadanya pada waktu dhuha dalam keadaan dia berpakaian yang sama dengan waktu subuh, tidak waktu asar sebagaimana waktu zuhur. Beliau akan memakai pakaian yang cantik sewaktu setiap kali menyambut kepulangan suaminya ke rumah. Mereka tidak ubah seperti pasangan pengantin di hari-hari awal perkahwinan. Lebih menghairankan lagi sewaktu Hudhaibi bermusafir beliau tidak akan menukar pakaian yang dipakainya sewaktu melepaskan Hudhaibi pergi sehingga sepanjang hari-hari ketiadaan Hudhaibi dan tidak mendekati air melainkan untuk wudhu’ dan solat."

"Kejadian ini juga telah mengkagumkan aku kerana wanita tersebut telah menjangkau usia 50-an. Rasa ingin tahu tersebut menyebabkan aku pergi bertanya rahsia kepada pendakwah besar tersebut, Ustaz Hudhaibi menjawabnya dengan ringkas sahaja “umur perkahwinan kami telah mencecah 40 tahun, alhamdulilah tidak pernah wujud kekeruhan dalam hubungan kami walaupun 40 saat”. Dia seorang penyabar, redha, dan Qurratu A`yun." (sedutan daripada buku Akhawatul Muslimat)

Suami salah seorang mujahidah telah ditahan dan telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Ketika di dalam tahanan, suaminya mengutuskan surat kepadanya agar ia membuat pilihan sama ada terus menjadi isteri tetapi hanya pada nama sahaja ataupun bertindak mendapatkan khulu’ (mendapatkan cerai melalui undang-undang). Mujahidah itu tersebut membuat jawapan lebih kurang berikut:

“Apakah serendah itu anggapanmu terhadap perkongsian hidup yang telah terjalin atas dasar persaudaraan di jalan Allah s.w.t yang penuh keikhlasan ini? Tidakkah engkau rela aku menjadi kongsimu dan menerima pahala perjuangan di kala mana pahala perjuangan mu berlebihan di hari akhirat nanti? Aku bersumpah bahaea aku hanya mati sahajalah yang dapat memisahkan perkongsiaan hidup ini”. Sesudah 20 tahun, keluarlah suaminya itu kepada isterinya yang setia. Beliau mendapati rumahtangganya dalam keadaan aman, anak-anak lelakinya sudah ada yang bergelar siswazah dan anak perempuannya hampir di ambang perkahwinan.(sedutan daripada buku Akhawatul Muslimat)

Kedua: Mujahidah Sebagai Ibu


Ibu adalah penyumbang besar kepada pembinaan generasi masa depan, merekalah guru pertama, di tangan merekalah terletaknya warna corakkan untuk pembinaan anak-anak mereka. Mereka perlu mentarbiyah anak-anak mereka dalam tiga bentuk, tarbiyah fizikal, tarbiyah akal, dan tarbiyah iman. Tarbiyah yang baik akan melahirkan anak-anak yang soleh penegak kebenaran.

Banyak sekali kisah-kisah teladan dalam menunjukkan peri pentingnya perjuangan golongan ibu ini. Bagaimana imam haramain yang sewaktu kanak-kanak termakan benda yang tasyabuh, lalu ibunya berusaha mengeluarkan kembali daripada mulutnya. Imam Syafie sewaktu terketuk pintunya dengan kuat kerana terlalu gembira ingin memberitahu ibunya bahawa beliau mendapat surat dokongan daripada gabenor untuk belajar dengan imam malik, ibunya tidak membuka pintu rumah, sebaliknya berkata: 


Pergilah kamu belajar adab dan susila terlebih dahulu agar kamu bersopan sewaktu mengetuk pintu. Syeikh Abdul Kadir al-Jailani yang dididik oleh ibunya supaya tidak bercakap bohong, sehingga wang bekalannya yang disembunyikan dalam jahitan oleh ibunya diberitahu olehnya apabila ditanya oleh perompak.

Masih adakah lagi ibu seperti Asma’ binti Abu Bakar tatkala anaknya berdepan dalam keadaan genting, beliau memberi kata-kata peransanga kepada anaknya Abdullah untuk terus berjihad dengan kata-katanya yang membanggakan: matilah kamu dalam keadaan mulia, atau hidup sebagai deorang yang kuat, jangan engkaku rela hidupmu dalam keadaan yang hina kerana mati itu suatu yang pasti”. Semangat daripada ungkapan ini telah membawa Abdullah mati sebagai seorang syuhada’.

Ketiga: Mujahidah Sebagai Anggota Masyarakat

Medan ini merupakan satu medan yang luas, yang memerlukan sumbangan tenaga dan masa yang lebih. Dalam medan ini mereka perlu bekerjasama dengan mujahidin untuk memikul tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar.

Mereka juga perlu menggabungkan diri mereka dalam gerakan kebenaran. Zaman di mana mujahidah bergerak secara bersendirian dan tanpa berharakah dan berjemaah telah berlalu. Petensi dan daya perjuangan yang ada pada golongan wanita perlu digembelingkan sehingga mencetus arus tenaga yang kuat untuk mencorakkan sejarah.
Agama Islam tidak berpada melihat wanita hanya sekadar bersembahyang san berpuasa sahaja, tetapi wanita Islam perlulah menjadi wanita berperanan. Tiap wanita Islam perlu menjadi mujahidah, wanita harakah yang sentiasa bersedia meyahut cabaran dan penggilan demi masa depan Islam dan cita-cita Islam. Demi perjuangan ini mujahidah perlu:

-Menjadikan dirinya sebagai tenaga menyeru menusia menyembah dan mematuhi peraturan Allah s.w.t. Mencegah mereka daripada tunduk kepada sebarang idealisma yang bercanggah dengan ketauhidan kepada Allah s.w.t.

-Mereka perlu membimbing individu masyarakat dalam melaksanakan ibadat kepada Allah s.w.t dan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat. Mereka perlu aktif dalam gerakan dakwah kepada masyarakat dalam membina suasana meujtamak muslim. Mereka perlu bekerja keras untuk menghidupkan aktiviti-aktiviti gerakan dakeah seumpama usrah, tamrin, dan sebagainya. Mereka juga perlu berkacimpung dalam bidang penulisan esei-esei pengetahuan dan bimbingan dakwah.

-Mereka perlu membina peribadi muslimah mithali sebagai model ikutan kepada individu wanita-wanita lain. Mereka juga perlu menghidupkan kembali generasi al-Quran yang pernah dilahirkan oleh madrasah Rasulullah s.a.w. Mereka perlu mengelakkam perselisihan faham, buruk sangka, dan seumpamanya sebaliknya membina sikap toleransi, kasih sayang, dan berbaik sangka sesama sendiri.

PERSEDIAAN MUJAHIDAH.

Firman Allah s.w.t di dalam surah at-Taubah ayat 122,yang bermaksud:

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Atas kesedaran dan keinsafan tanggungjawab yang perlu dipikul ini, para mujahidah zaman ini perlu meningkatkan penguasaan mereka dalam ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan agama Islam sebagai pengetahuan asas kepada mereka. Mereka juga perlu melatih diri untuk berorganisasi sebagai wasilah kepada dakwah yang bakal dipikul kelak. Di samping itu mujahidah juga perlu mengikuti perkembangan semasa bagi memudahkan mereka mengambil pendekatan dalam dakwah.


Wallahu'alam....
www.hasnulhadiahmad.blogspot.com

"wajib" Dalam Apa Jua Keadaan




Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:

“Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:” Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Riwayat al-Bukhari


Huraian

1. Sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam bahawa solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan sebagaimana resminya setiap hutang itu wajib dibayar. Maka apabila sedar tentang kesilapan masa lalu, seorang muslim itu hendaklah segera bertaubat dan mengqadha’ solatnya yang tertinggal itu.

2. Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.

3. Solat merupakan tiang agama.Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna ia telah menegakkan agamanya. Manakala orang yang meninggalkannya bermakna ia telah meruntuhkan agamanya.

4. Bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan telah melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam.


Wallahu'alam....

Catatan Yang Berkaitan:

KEWAJIPAN SOLAT

SOLAT FARDHU BERJAMAAH

Pahlawan Islam "Shalahuddin Al-Ayyubi"



Pahlawan Islam

Shalahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub dilahirkan di Takrit Irak pada tahun 532 Hijrah /1138 Masihi dan wafat pada tahun 589 H/1193 M di Damsyik. Beliau adalah pengasas Daulat Al-Ayyubiyah dan bergelar Sultan Shalahuddin. Seorang pahlawan Islam yang paling gagah berani dalam perang Salib dan berhasil merebut kembali Baitul Maqdis dari tangan kaum Salib Kristian.

Latar Belakang

Jerussalem merupakan kota Suci bagi ketiga-tiga agama samawi yakni Islam, Yahudi dan Kristian. Di dalam kota inilah letaknya Masjid Al-Aqsa yang dibangun oleh Nabi Sulaiman dan menjadi Kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Baitullah di Makkah. Ketika Nabi Muhammad Isra’, singgah dan solat di masjid ini sebelum Mi’raj ke langit. Nabi Isa as. juga dilahirkan di Baitullaham berdekatan kota Jerussalam ini.

Di masa pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab (13-23 H/634-644 M) Jerussalam dapat direbut oleh kaum Muslimin dalam suatu penyerahan kuasa secara damai. Khalifah Umar sendiri datang ke Jerussalem untuk menerima penyerahan kota Suci itu atas desakan dan persetujuan Uskup Agung Sophronius.

Berabad abad lamanya kota itu berada di bawah pentadbiran Islam, tapi penduduknya bebas memeluk agama dan melaksanakan ajaran agamanya masing-masing tanpa ada gangguan. Orang-orang Kristian dari seluruh dunia juga bebas datang untuk mengerjakan haji di kota Suci itu dan mengerjakan upacara keagamaannya. Orang-orang Kristian dari Eropah datang mengerjakan haji dalam jumlah rombongan yang besar dengan membawa obor dan pedang seperti tentera. Sebahagian dari mereka mempermainkan pedang dengan dikelilingi pasukan gendang dan seruling dan diiringkan pula oleh pasukan bersenjata lengkap.

Sebelum Jerussalem ditadbir Kerajaan Seljuk pada tahun 1070, upacara seperti itu dibiarkan saja oleh umat Islam, kerana dasar toleransi agama. Akan tetapi apabila Kerajaan Seljuk memerintah, upacara seperti itu tidak dibernarkan, dengan alasan keselamatan. Mungkin kerana upacara tersebut semakin berbahaya. Lebih-lebih lagi kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian dalam upacara itu sering menyebabkan pergaduhan dan huruhara. Disebutkan bahawa pada tahun 1064 ketua Uskup memimpin pasukan seramai 7000 orang jemaah haji yang terdiri dari kumpulan Baron-baron dan para pahlawan telah menyerang orang-orang Arab dan orang-orang Turki.

Itulah yang membimbangkan Kerajaan Seljuk. Jadi larangan itu demi keselamatan Jemaah haji Kristian itu sendiri. Malangnya, tindakan Seljuk itu menjadi salah anggapan oleh orang-orang Eropah. Ketua-ketua agama mereka telah berkempin bahawa kebebasan agamanya telah dicabuli oleh orang-orang Islam dan menyeru agar Tanah Suci itu dibebaskan dari genggaman umat Islam.

Patriach Ermite adalah paderi yang paling lantang dan bertungkus lumus mengapi-apikan kemarahan umat Kristian. Dia asalnya seorang tentera, tapi kemudian menjadi paderi, berwatak kepala angin dan cepat marah. Dalam usahanya untuk menarik simpati umat Kristian, Ermite telah berkeliling Eropah dengan mengenderai seekor kaldai sambil memikul kayu Salib besar, berkaki ayam dan berpakaian compang camping. Dia telah berpidato di hadapan orang ramai sama ada di dalam gereja, di jalan-jalan raya atau di pasar-pasar. Dia menceritakan sama ada benar atau bohong kisah kunjungannya ke Baitul Maqdis.

Katanya, dia melihat pencerobohan kesucian ke atas kubur Nabi Isa oleh Kerajaan Turki Seljuk. Diceritakan bahawa jemaah haji Kristian telah dihina, dizalimi dan dinista oleh orang-orang Islam di Jerussalem. Serentak dengan itu, dia menggalakkan orang ramai agar bangkit menyertai perang untuk membebaskan Jerussalem dari tangan orang Islam. Hasutan Ermite berhasil dengan menggalakkan. Paus Urbanus II mengumumkan ampunan seluruh dosa bagi yang bersedia dengan suka rela mengikuti Perang Suci itu, sekalipun sebelumnya dia merupakan seorang perompak, pembunuh, pencuri dan sebagainya. Maka keluarlah ribuan umat Kristian untuk mengikuti perang dengan memikul senjata untuk menyertai perang Suci. Mereka yang ingin mengikuti perang ini diperintahkan agar meletakkan tanda Salib di badannya, oleh kerana itulah perang ini disebut Perang Salib.

Paus Urbanus menetapkan tarikh 15 Ogos 1095 bagi pemberangkatan tentera Salib menuju Timur Tengah, tapi kalangan awam sudah tidak sabar menunggu lebih lama lagi setelah dijanjikan dengan berbagai kebebasan, kemewahan dan habuan. Mereka mendesak Paderi Patriach Ermite agar berangkat memimpin mereka. Maka Ermite pun berangkat dengan 60,000 orang pasukan, kemudian disusul oleh kaum tani dari Jerman seramai 20.000, datang lagi 200,000 orang menjadikan jumlah keseluruhannya 300,000 orang lelaki dan perempuan. Sepanjang perjalanan, mereka di izinkan merompak, memperkosa, berzina dan mabuk-mabuk. Setiap penduduk negeri yang dilaluinya, selalu mengalu-alukan dan memberikan bantuan seperlunya.

Akan tetapi sesampainya di Hongaria dan Bulgaria, sambutan sangat dingin, menyebabkan pasukan Salib yang sudah kekurangan makanan ini marah dan merampas harta benda penduduk. Penduduk di dua negeri ini tidak tinggal diam. Walau pun mereka sama-sama beragama Kristian, mereka tidak senang dan bertindak balas. Terjadilah pertempuran sengit dan pembunuhan yang mengerikan. Dari 300,000 orang pasukan Salib itu hanya 7000 sahaja yang selamat sampai di Semenanjung Thracia di bawah pimpinan sang Rahib.

Apabila pasukan Salib itu telah mendarat di pantai Asia kecil, pasukan kaum Muslimin yang di pimpin oleh Sultan Kalij Arselan telah menyambutnya dengan hayunan pedang. Maka terjadilah pertempuran sengit antara kaum Salib dengan pasukan Islam yang berakhir dengan hancur binasanya seluruh pasukan Salib itu.

Kaum Salib Mengganas

Setelah kaum Salib yang dipimpin oleh para Rahib yang tidak tahu strategi perang itu musnah sama sekali, muncullah pasukan Salib yang dipimpin oleh anak-anak Raja Godfrey dari Lorraine Perancis, Bohemund dari Normandy dan Raymond dari Toulouse. Mereka berkumpul di Konstantinopel dengan kekuatan 150,000 askar, kemudian menyeberang selat Bosfur dan melanggar wliayah Islam bagaikan air bah. Pasukan kaum Muslimin yang hanya berkekuatan 50,000 orang bertahan mati-matian di bawah pimpinan Sultan Kalij Arselan.

Satu persatu kota dan Benteng kaum Muslimin jatuh ke tangan kaum Salib, memaksa Kalij Arselan berundur dari satu benteng ke benteng yang lain sambil menyusun kekuatan dan taktik baru. Bala bantuan kaum Salib datang mencurah-curah dari negara-negara Eropah. Sedangkan Kalij Arselan tidak dapat mengharapkan bantuan dari wilayah-wilayah Islam yang lain, kerana mereka sibuk dengan kemelut dalaman masing-masing.

Setelah berlaku pertempuran sekian lama, akhirnya kaum Salib dapat mara dan mengepung Baitul Maqdis, tapi penduduk kota Suci itu tidak mahu menyerah kalah begitu saja. Mereka telah berjuang dengan jiwa raga mempertahankan kota Suci itu selama satu bulan. Akhirnya pada 15 Julai 1099, Baitul Maqdis jatuh ke tangan pasukan Salib, tercapailah cita-cita mereka.

Berlakulah keganasan luar biasa yang belum pernah terjadi dalam sejarah umat manusia. Kaum kafir Kristian itu telah menyembelih penduduk awam Islam lelaki, perempuan dan kanak-kanak dengan sangat ganasnya. Mereka juga membantai orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian yang enggan bergabung dengan kaum Salib. Keganasan kaum Salib Kristian yang sangat melampau itu telah dikutuk dan diperkatakan oleh para saksi dan penulis sejarah yang terdiri dari berbagai agama dan bangsa.

Seorang ahli sejarah Perancis, Michaud berkata: “Pada saat penaklukan Jerussalem oleh orang Kristian tahun 1099, orang-orang Islam dibantai di jalan-jalan dan di rumah-rumah. Jerussalem tidak punya tempat lagi bagi orang-orang yang kalah itu. Beberapa orang cuba mengelak dari kematian dengan cara menghendap-hendap dari benteng, yang lain berkerumun di istana dan berbagai menara untuk mencari perlindungan terutama di masjid-masjid. Namun mereka tetap tidak dapat menyembunyikan diri dari pengejaran orang-orang Kristian itu.

Tentera Salib yang menjadi tuan di Masjid Umar, di mana orang-orang Islam cuba mempertahankan diri selama beberapa lama menambahkan lagi adegan-adegan yang mengerikan yang menodai penaklukan Titus. Tentera infanteri dan kaveleri lari tunggang langgang di antara para buruan. Di tengah huru-hara yang mengerikan itu yang terdengar hanya rintihan dan jeritan kematian. Orang-orang yang menang itu memijak-mijak tumpukan mayat ketika mereka lari mengejar orang yang cuba menyelamatkan diri dengan sia-sia.
 

Raymond d’Agiles, yang menyaksikan peristiwa itu dengan mata kepalanya sendiri mengatakan: “Di bawah serambi masjid yang melengkung itu, genangan darah dalamnya mencecah lutut dan mencapai tali kekang kuda.”

Aksi pembantaian hanya berhenti beberapa saat saja, yakni ketika pasukan Salib itu berkumpul untuk menyatakan kesyukuran di atas kemenangan mereka. Tapi sebaik saja upacara itu selesai, pembantaian diteruskan dengan lebih ganas lagi.

Seterusnya Michaud berkata: “Semua yang tertangkap yang disisakan dari pembantaian pertama, semua yang telah diselamatkan untuk mendapatkan upeti, dibantai dengan kejam. Orang-orang Islam itu dipaksa terjun dari puncak menara dan bumbung-bumbung rumah, mereka dibakar hidup -hidup , diheret dari tempat persembunyian bawah tanah, diheret ke hadapan umum dan dikurbankan di tiang gantungan.

Air mata wanita, tangisan kanak-kanak, begitu juga pemandangan dari tempat Yesus Kristus memberikan ampun kepada para algojonya, sama sekali tidak dapat meredhakan nafsu membunuh orang-orang yang menang itu. Penyembelihan itu berlangsung selama seminggu. Beberapa orang yang berhasil melarikan diri, dimusnahkan atau dikurangkan bilangannya dengan perhambaan atau kerja paksa yang mengerikan.”

Gustav Le Bon telah mensifatkan penyembelihan kaum Salib Kristian sebagaimana kata-katanya: “Kaum Salib kita yang “bertakwa” itu tidak memadai dengan melakukan berbagai bentuk kezaliman, kerosakan dan penganiayaan, mereka kemudian mengadakan suatu mesyuarat yang memutuskan supaya dibunuh saja semua penduduk Baitul Maqdis yang terdiri dari kaum Muslimin dan bangsa Yahudi serta orang-orang Kristian yang tidak memberikan pertolongan kepada mereka yang jumlah mencapai 60,000 orang. Orang-orang itu telah dibunuh semua dalam masa 8 hari saja termasuk perempuan, kanak-kanak dan orang tua, tidak seorang pun yang terkecuali.

Ahli sejarah Kristian yang lain, Mill, mengatakan: “Ketika itu diputuskan bahawa rasa kasihan tidak boleh diperlihatkan terhadap kaum Muslimin. Orang-orang yang kalah itu diheret ke tempat-tempat umum dan dibunuh. Semua kaum wanita yang sedang menyusu, anak-anak gadis dan anak-anak lelaki dibantai dengan kejam. Tanah padang, jalan-jalan, bahkan tempat-tempat yang tidak berpenghuni di Jerusssalem ditaburi oleh mayat-mayat wanita dan lelaki, dan tubuh kanak-kanak yang koyak-koyak. Tidak ada hati yang lebur dalam keharuan atau yang tergerak untuk berbuat kebajikan melihat peristiwa mengerikan itu.”

Kemunculan Panglima Shalahuddin

Jatuhnya kota Suci Baitul Maqdis ke tangan kaum Salib telah mengejutkan para pemimpin Islam. Mereka tidak menyangka kota Suci yang telah dikuasainya selama lebih 500 tahun itu boleh terlepas dalam sekelip mata. Mereka sedar akan kesilapan mereka kerana berpecah belah. Para ulama telah berbincang dengan para Sultan, Emir dan Khalifah agar mengambil berat dalam perkara ini.

Usaha mereka berhasil. Setiap penguasa negara Islam itu bersedia bergabung tenaga untuk merampas balik kota Suci tersebut. Di antara pemimpin yang paling gigih dalam usaha menghalau tentera Salib itu ialah Imamuddin Zanki dan diteruskan oleh anaknya Emir Nuruddin Zanki dengan dibantu oleh panglima Asasuddin Syirkuh.

Setelah hampir empat puluh tahun kaum Salib menduduki Baitul Maqdis, Shalahuddin Al-Ayyubi baru lahir ke dunia, yakni pada tahun 1138 Masihi. Keluarga Shalahuddin taat beragama dan berjiwa pahlawan. Ayahnya, Najmuddin Ayyub adalah seorang yang termasyhur dan beliau pulalah yang memberikan pendidikan awal kepada Shalahuddin.

Selain itu, Shalahuddin juga mendapat pendidikan dari bapa saudaranya Asasuddin Syirkuh seorang negarawan dan panglima perang Syria yang telah berhasil mengalahkan tentera Salib sama ada di Syria ataupun di Mesir. Dalam setiap peperangan yang dipimpin oleh panglima Asasuddin, Shalahuddin sentiasa ikut sebagai tentera pejuang sekalipun usianya masih muda.

Pada tahun 549 H/1154 M, panglima Asasuddin Syirkuh memimpin tenteranya merebut dan menguasai Damsyik. Shalahuddin yang ketika itu baru berusia 16 tahun turut serta sebagai pejuang. Pada tahun 558 H/1163 Masihi, panglima Asasuddin membawa Shalahuddin Al-Ayyubi yang ketika itu berusia 25 tahun untuk menundukkan Daulat Fatimiyah di Mesir yang diperintah oleh Aliran Syiah Ismailiyah yang semakin lemah.Usahanya berhasil. Khalifah Daulat Fatimiyah terakhir Adhid Lidinillah dipaksa oleh Asasuddin Syirkuh untuk menandatangani perjanjian. Akan tetapi, Wazir besar Shawar merasa cemburu melihat Syirkuh semakin popular di kalangan istana dan rakyat.

Dengan senyap-senyap dia pergi ke Baitul Maqdis dan meminta bantuan dari pasukan Salib untuk menghalau Syirkuh daripada berkuasa di Mesir. Pasukan Salib yang dipimpin oleh King Almeric dari Jerussalem menerima baik jemputan itu. Maka terjadilah pertempuran antara pasukan Asasuddin dengan King Almeric yang berakhir dengan kekalahan Asasuddin. Setelah menerima syarat-syarat damai dari kaum Salib, panglima Asasuddin dan Shalahuddin dibenarkan balik ke Damsyik.

Kerjasama Wazir besar Shawar dengan orang kafir itu telah menimbulkan kemarahan Emir Nuruddin Zanki dan para pemimpin Islam lainnya termasuk Baghdad. Lalu dipersiapkannya tentera yang besar yang tetap dipimpin oleh panglima Syirkuh dan Shalahuddin Al-Ayyubi untuk menghukum si pengkhianat Shawar. King Almeric terburu-buru menyiapkan pasukannya untuk melindungi Wazir Shawar setelah mendengar kemaraan pasukan Islam. Akan tetapi Panglima Syirkuh kali ini bertindak lebih pantas dan berhasil membinasakan pasukan King Almeric dan menghalaunya dari bumi Mesir dengan aib sekali.

Panglima Shirkuh dan Shalahuddin terus mara ke ibu kota Kaherah dan mendapat tentangan dari pasukan Wazir Shawar. Akan tetapi pasukan Shawar hanya dapat bertahan sebentar saja, dia sendiri melarikan diri dan bersembunyi. Khalifah Al-Adhid Lidinillah terpaksa menerima dan menyambut kedatangan panglima Syirkuh buat kali kedua.
 

Suatu hari panglima Shalahuddin Al-Ayyubi berziarah ke kuburan seorang wali Allah di Mesir, ternyata Wazir Besar Shawar dijumpai bersembunyi di situ. Shalahuddin segera menangkap Shawar, dibawa ke istana dan kemudian dihukum bunuh.

Khalifah Al-Adhid melantik panglima Asasuddin Syirkuh menjadi Wazir Besar menggantikan Shawar. Wazir Baru itu segera melakukan perbaikan dan pembersihan pada setiap institusi kerajaan secara berperingkat. Sementara anak saudaranya, panglima Shalahuddin Al-Ayyubi diperintahkan membawa pasukannya mengadakan pembersihan di kota-kota sepanjang sungai Nil sehingga Assuan di sebelah utara dan bandar-bandar lain termasuk bandar perdagangan Iskandariah.

Menutup Daulat Fatimiyah

Wazir Besar Syirkuh tidak lama memegang jawatannya, kerana beliau wafat pada tahun 565 H/1169 M. Khalifah Al-Adhid melantik panglima Shalahuddin Al-Ayyubi menjadi Wazir Besar menggantikan Syirkuh dengan mendapat persetujuan pembesar-pembesar Kurdi dan Turki. Walaupun berkhidmat di bawah Khalifah Daulat Fatimiah, Shalahuddin tetap menganggap Emir Nuruddin Zanki sebagai ketuanya.

Nuruddin Zanki berulang kali mendesak Shahalahuddin agar menangkap Khalifah Al-Adhid dan mengakhiri kekuasaan Daulat Fatimiah untuk seterusnya diserahkan semula kepada Daulat Abbasiah di Baghdad. Akan tetapi Shalahuddin tidak mahu bertindak terburu-buru, beliau memperhatikan keadaan sekelilingnya sehingga musuh-musuh dalam selimut betul-betul lumpuh.

Barulah pada tahun 567 H/1171 Masihi, Shalahuddin mengumumkan penutupan Daulat Fatimiah dan kekuasaan diserahkan semula kepada Daulat Abbasiah. Maka doa untuk Khalifah Al-Adhid pada khutbah Jumaat hari itu telah ditukar kepada doa untuk Khalifah Al-Mustadhi dari Daulat Abbasiah.

Ketika pengumuman peralihan kuasa itu dibuat, Khalifah Al-Adhid sedang sakit kuat, sehingga beliau tidak mengetahui perubahan besar yang berlaku di dalam negerinya dan tidak mendengar bahawa Khatib Jumaat sudah tidak mendoakan dirinya lagi. Sehari selepas pengumuman itu, Khalifah Al-Adhid wafat dan dikebumikan sebagaimana kedudukan sebelumnya, yakni sebagai Khalifah.

Dengan demikian berakhirlah kekuasaan Daulat Fatimyah yang dikuasai oleh kaum Syi’ah selama 270 tahun. Keadaan ini sememangnya telah lama ditunggu-tunggu oleh golongan Ahlussunnah di seluruh negara Islam lebih-lebih lagi di Mesir sendiri. Apalagi setelah Wazir Besar Shawar berkomplot dengan kaum Salib musuh Islam. Pengembalian kekuasaan kepada golongan Sunni itu telah disambut meriah di seluruh wilayah-wilayah Islam, lebih-lebih di Baghdad dan Syiria atas restu Khalifah Al-Mustadhi dan Emir Nuruddin Zanki.

Mereka sangat berterima kasih kepada Panglima Shalahuddin Al-Ayyubi yang dengan kebijaksanaan dan kepintarannya telah menukar suasana itu secara aman dan damai. Serentak dengan itu pula, Wazir Besar Shalahuddin Al-Ayyubi telah merasmikan Universiti Al-Azhar yang selama ini dikenal sebagai pusat pengajian Syiah kepada pusat pengajian Ahlussunnah Wal Jamaah. Semoga Allah membalas jasa-jasa Shalahuddin.

Menyatupadukan Kuasa-Kuasa Islam

Walaupun sangat pintar dan bijak mengatur strategi dan berani di medan tempur, Shalahuddin berhati lembut, tidak mahu menipu atasan demi kekuasaan dunia. Beliau tetap setia pada atasannya, tidak mahu merampas kuasa untuk kepentingan peribadi. Kerana apa yang dikerjakannya selama ini hanyalah mencari peluang untuk menghalau tentera Salib dari bumi Jerussalem. Untuk tujuan ini, beliau berusaha menyatu padukan wilayah-wilyah Islam terlebih dahulu, kemudian menghapuskan para pengkhianat agama dan negara agar peristiwa Wazir Besar Shawar tidak berulang lagi.

Di Mesir, beliau telah berkuasa penuh, tapi masih tetap taat setia pada kepimpinan Nuruddin Zanki dan Khalifah di Baghdad. Tahun 1173 M, Emir Nuruddin Zanki wafat dan digantikan oleh puteranya Ismail yang ketika itu baru berusia 11 tahun dan bergelar Mulk al Shalih. Para ulama dan pembesar menginginkan agar Emir Salahudin mengambil alih kuasa kerana tidak suka kepada Mulk al-Shalih keran selalu cuai melaksanakan tanggungjawabnya dan suka bersenang-senang. Akan tetapi Shalahuddin tetap taat setia dan mendoakan Mulk al Saleh dalam setiap khutbah Jumaat, bahkan mengabadikannya pada mata wang syiling.

Apabila Damsyik terdedah pada serangan kaum Salib, barulah Shalahudin menggerakkan pasukannya ke Syiria untuk mempertahankan kota itu daripada jatuh. Tidak lama kemudian Ismail wafat, maka Shalahuddin menyatukan Syria dengan Mesir dan menubuhkan Emirat Al-Ayyubiyah dengan beliau sendiri sebagai Emirnya yang pertama. Tiada berapa lama kemudian, Sultan Shalahuddin dapat menggabungkan negeri-negeri An-Nubah, Sudan, Yaman dan Hijaz ke dalam kekuasaannya yang besar. Negara di Afirka yang telah diduduki oleh askar Salib dari Normandy, juga telah dapat direbutnya dalam masa yang singkat. Dengan ini kekuasaan Shalahuddin telah cukup besar dan kekuatan tenteranya cukup ramai untuk mengusir tentera kafir Kristian yang menduduki Baitul Maqdis selama berpuluh tahun.

Sifatnya yang lemah lembut, zuhud, wara’ dan sederhana membuat kaum Muslimin di bawah kekuasaannya sangat mencintainya. Demikian juga para ulama sentiasa mendoakannya agar cita-cita sucinya untuk merampas semula Tanah Suci berhasil dengan segera.

Perjuangan Merebut Baitul Maqdis

Setelah merasa kuat, Sultan Shalahuddin menumpukan perhatiannya untuk memusnahkan tentera Salib yang menduduki Baitul Maqdis dan merebut kota Suci itu semula. Banyak rintangan dan problem yang dialami oleh Sultan sebelum maksudnya tercapai. Siasah yang mula-mula dijalankannya adalah mengajak tentera Salib untuk berdamai. Pada lahirnya, kaum Salib memandang bahawa Shalahuddin telah menyerah kalah, lalu mereka menerima perdamaian ini dengan sombong. Sultan sudah menjangka bahawa orang-orang kafir Kristian itu akan mengkhianati perjanjian, maka ini akan menjadi alasan bagi beliau untuk melancarkan serangan. Untuk ini, beliau telah membuat persiapan secukupnya.

Ternyata memang betul, baru sebentar perjanjian ditandatangani, kaum Salib telah mengadakan pelanggaran. Maka Sultan Shalahuddin, segera bergerak melancarkan serangan, tapi kali ini masih gagal dan beliau sendiri hampir kena tawan. Beliau kembali ke markasnya dan menyusun kekuatan yang lebih besar.

Suatu kejadian yang mengejutkan Sultan dalam suasana perdamaian adalah tindakan seorang panglima Salib Count Rainald de Chatillon yang bergerak dengan pasukannya untuk menyerang kota Suci Makkah dan Madinah. Akan tetapi pasukan ini hancur binasa digempur mujahid Islam di laut Merah dan Count Rainald dan sisa pasukannya balik ke Jerussalem. Dalam perjalanan, mereka telah berjumpa dengan satu iring-iringan kafilah kaum Muslimin yang didalamnya terdapat seorang saudara perempuan Sultan Shalahuddin. Tanpa berfikir panjang, Count dan kuncu-kuncunya menyerang kafilah tersebut dan menawan mereka termasuk saudara perempuan kepada Shalahuddin.
 

Dengan angkuh Count berkata: “Apakah Muhammad, Nabi mereka itu mampu datang untuk menyelamatkan mereka?”

Seorang anggota kafilah yang dapat meloloskan diri terus lari dan melapor kepada Sultan apa yang telah terjadi. Sultan sangat marah terhadap pencabulan gencatan senjata itu dan mengirim perutusan ke Jerussalem agar semua tawanan dibebaskan. Tapi mereka tidak memberikan jawapan. Ekoran kejadian ini, Sultan keluar membawa pasukannya untuk menghukum kaum Salib yang sering mengkhianati janji itu. Terjadilah pertempuran yang sangat besar di gunung Hittin sehingga dikenal dengan Perang Hittin.

Dalam pertempuran ini, Shalahuddin menang besar. Pasukan musuh yang berjumlah 45,000 orang hancur binasa dan hanya tinggal beberapa ribu saja yang sebagian besarnya menjadi tawanan termasuk Count Rainald de Chatillon sendiri. Semuanya diangkut ke Damaskus. Count Rainald yang telah menawan saudara perempuan Sultan dan mempersendakan Nabi Muhammad itu digiring ke hadapan beliau.
 

“Nah, bagaimana jadinya yang telah nampak oleh engkau sekarang? Apakah saya tidak cukup menjadi pengganti Nabi Besar Muhammad untuk melakukan pembalasan terhadap berbagai penghinaan engkau itu?” tanya Sultan Shalahuddin.

Shalahuddin mengajak Count agar masuk Islam, tapi dia tidak mahu. Maka dia pun dihukum bunuh kerana telah menghina Nabi Muhammad.

Kembali Ke Pangkuan Kaum Muslimin

Setelah melalui berbagai peperangan dan menaklukkan berbagai benteng dan kota, sampailah Sultan Shalahuddin pada matlamat utamanya iaitu merebut Baitul Maqdis. Kini beliau mengepung Jerussalem selama empat puluh hari membuat penduduk di dalam kota itu tidak dapat berbuat apa-apa dan kekurangan keperluan asas. Waktu itu Jerussalem dipenuhi dengan kaum pelarian dan orang-orang yang selamat dalam perang Hittin. Tentera pertahanannya sendiri tidak kurang dari 60,000 orang.

Pada mulanya Sultan menyerukan seruan agar kota Suci itu diserahkan secara damai. Beliau tidak ingin bertindak seperti yang dilakukan oleh Godfrey dan orang-orangnya pada tahun 1099 untuk membalas dendam. Akan tetapi pihak Kristian telah menolak tawaran baik dari Sultan, bahkan mereka mengangkat Komandan Perang untuk mempertahankan kota itu. Kerana mereka menolak seruan, Sultan Shalahuddin pun bersumpah akan membunuh semua orang Kristian di dalam kota itu sebagai membalas dendam ke atas peristiwa 90 tahun yang lalu. Mulailah pasukan kaum Muslimin melancarkan serangan ke atas kota itu dengan anak panah dan manjanik.

Kaum Salib membalas serangan itu dari dalam benteng. Setelah berlangsung serangan selama empat belas hari, kaum Salib melihat bahawa pintu benteng hampir musnah oleh serangan kaum Muslimin. Para pemimpin kaum Salib mulai merasa takut melihat kegigihan dan kekuatan pasukan Muslim yang hanya tinggal menunggu masa untuk melanggar masuk. Beberapa pemimpin Kristian telah keluar menemui Sultan Shalahuddin menyatakan hasratnya untuk menyerahkan kota Suci secara aman dan minta agar nyawa mereka diselamatkan.

Akan tetapi Sultan menolak sambil berkata: “Aku tidak akan menaklukkan kota ini keculai dengan kekerasan sebagaimana kamu dahulu menaklukinya dengan kekerasan. Aku tidak akan membiarkan seorang Kristian pun melainkan akan kubunuh sebagaimana engkau membunuh semua kaum Muslimin di dalam kota ini dahulu.”
 

Setelah usaha diplomatik mereka tidak berhasil, Datuk Bandar Jerussalem sendiri datang menghadap Sultan dengan merendah diri dan minta dikasihani, memujuk dan merayu dengan segala cara. Sultan Shalahuddin tidak menjawabnya.

Akhirnya ketua Kristian itu berkata: “Jika tuan tidak mahu berdamai dengan kami, kami akan balik dan membunuh semua tahanan (terdiri dari kaum Muslimin seramai 4000 orang) yang ada pada kami. Kami juga akan membunuh anak cucu kami dan perempuan-perempuan kami. Setelah itu kami akan binasakan rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang indah-indah, semua harta dan perhiasan yang ada pada kami akan dibakar. Kami juga akan memusnahkan Kubah Shahra’, kami akan hancurkan semua yang ada sehingga tidak ada apa-apa yang boleh dimanfaatkan lagi. Selepas itu, kami akan keluar untuk berperang mati-matian, kerana sudah tidak ada apa-apa lagi yang kami harapkan selepas ini. Tidak seorang pun boleh membunuh kami sehingga sebilangan orang-orang tuan terbunuh terlebih dahulu. Nah, jika demikian keadaannya, kebaikan apalagi yang tuan boleh harapkan?”

Setelah mendengar kata-kata nekat dan ugutan itu, Sultan Shalahuddin menjadi lembut dan kasihan dan bersedia untuk memberikan keamanan. Beliau meminta nasihat para ulama yang mendampinginya mengenai sumpah berat yang telah diucapkannya. Para ulama mengatakan bahawa beliau mesti menebus sumpahnya dengan membayar Kifarat sebagaimana yang telah disyariatkan.

Maka berlangsunglah penyerahan kota secara aman dengan syarat setiap penduduk mesti membayar wang tebusan. Bagi lelaki wajib membayar sepuluh dinar, perempuan lima dinar dan kanak-kanak dua dinar sahaja. Barangsiapa yang tidak mampu membayar tebusan, akan menjadi tawanan kaum Muslimin dan berkedudukan sebagai hamba. Semua rumah, senjata dan alat-alat peperangan lainnya mesti ditinggalkan untuk kaum Muslimin. Mereka boleh pergi ke mana-mana tempat yang aman untuk mereka. Mereka diberi tempo selama empat puluh hari untuk memenuhi syarat-syaratnya, dan Barangsiapa yang tidak sanggup menunaikannya sehinnga lewat dari waktu itu, ia akan menjadi tawanan. Ternyata ada 16,000 orang Kristian yang tidak sanggup membayar wang tebusan. Semua mereka ditahan sebagai hamba.

Maka pada hari Jumaat 27 Rajab 583 Hijrah, Sultan Shalahuddin bersama kaum Muslimin memasuki Baitul Maqdis. Mereka melaungkan “Allahu Akbar” dan bersyukur kehadirat Allah s.w.t. Air mata kegembiraan menitis di setiap pipi kaum Muslimin sebaik saja memasuki kota itu. Para ulama dan solehin datang mengucapkan tahniah kepada Sultan Shalahuddin di atas perjuangannya yang telah berhasil. Apalagi tarikh tersebut bersamaan dengan tarikh Isra’ Nabi S.A.W dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Pada hari Jumaat tersebut, kaum Muslimin tidak sempat melaksankan solat Jumaat di Masjidil Aqsa kerana sempitnya waktu. Mereka terpaksa membersihkan Masjid Suci itu dari babi, kayu-kayu salib, gambar-gambar rahib dan patung-patung yang dipertuhan oleh kaum Kristian. Barulah pada Jumaat berikutnya mereka melaksanakan solat Jumaat di Masjidil Aqsa buat pertama kalinya dalam masa 92 tahun. Kadi Muhyiddin bin Muhammad bin Ali bin Zaki telah bertindak selaku khatib atas izin Sultan Shalahuddin.

Kejatuhan Jerussalem ke tangan kaum Muslimin telah membuat Eropah marah. Mereka melancarkan kutipan yang disebut “Saladin tithe”, yakni derma wajib untuk melawan Shalahuddin yang hasilnya digunakan untuk membiayai perang Salib. Dengan angkatan perang yang besar, beberapa orang raja Eropah berangkat untuk merebut kota Suci itu semula. Maka terjadilah perang Salib ketiga yang sangat sengit. Namun demikian, Shalahuddin masih dapat mempertahankan Jerussalem sehingga perang tamat. Setahun selepas perang Salib ke tiga itu, Sultan Shalahuddin pulang kerahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya, amin.

Peribadi Seorang Panglima

Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi terbilang sebagai pahlawan dan Panglima Islam yang besar. Pada beliau terkumpul sifat-sifat berani, wara’, zuhud, khusyu’, pemurah, pemaaf, tegas dan lain-lain sifat terpuji. Para ulama dan penulis sejarah telah memberikan kepujian yang melangit. Sifat pemurah dan pemaafnya diakui oleh lawan mahupun kawan.
 

Seorang penulis sejarah mengatakan: “Hari kematiannya merupakan kehilangan besar bagi agama Islam dan kaum Muslimin, kerana mereka tidak pernah menderita semenjak kehilangan keempat-empat Khalifah yang pertama (Khulafaurrasyidin). Istana, kerajaan dan dunia diliputi oleh wajah-wajah yang tertunduk, seluruh kota terbenam dalam dukacita, dan rakyat mengikuti keranda jenazahnya dengan tangisan dan ratapan.”

Sultan Shalahuddin adalah seorang pahlawan yang menghabiskan waktunya dengan bekerja keras siang dan malam untuk Islam. Hidup nya sangat sederhana. Minumnya hanya air kosong, makanannya sederhana, pakaiannya dari jenis yang kasar. Beliau sentiasa menjaga waktu-waktu solat dan mengerjakannya secara berjamaah. Dikatakan bahawa beliau sepanjang hayatnya tidak pernah terlepas dari mengerjakan solat jamaah, bahkan ketika sakit yang membawa pada ajalnya, beliau masih tetap mengerjakan solat berjamaah. Sebaik saja imam masuk berdiri di tempatnya, beliau sudah siap di dalam saf. Beliau suka mendengarkan bacaan Al-Quran, Hadis dan ilmu pengetahuan. Dalam bidang Hadis, beliau memang mendengarkannya secara teratur, sehingga beliau boleh mengenal jenis-jenis hadis. Hatinya sangat lembut dan pemurah, sering menangis apabila mendengarkan hadis.

Di dalam buku The Historians’ History of the World disebutkan sifat-sifat Shalahuddin sebagai berikut: “Keberanian dan keberhasilan Sultan Shalahuddin itu terjelma seluruhnya pada perkembangan keperibadian yang luar biasa. Sama seperti halnya dengan Emir Imamuddin Zanki dan Emir Nuruddin Zanki, beliau juga merupakan seorang Muslim yang taat. Sudah menjadi kebiasaan bagi Sultan Shalahuddin membacakan Kitab Suci Al-Quran kepada pasukannya menjelang pertempuran berlangsung. Beliau juga sangat disiplin mengqada setiap puasanya yang tertinggal dan tidak pernah lalai mengerjakan solat lima waktu sampai pada akhir hayatnya. Minumannya tidak lain dari air kosong saja, memakai pakaian yang terbuat dari bulu yang kasar, dan mengizinkan dirinya untuk dipanggil ke depan pengadilan. Beliau mengajar sendiri anak-anaknya mengenai agama Islam.......” Seluruh kaum Muslimin yang menyaksikan kewafatannya menitiskan air mata apabila Sultan yang mengepalai negara yang terbentang luas dari Asia hingga ke Afrika itu hanya meninggalkan warisan 1 dinar dan 36 dirham. Tidak meninggalkan emas, tidak punya tanah atau kebun. Padahal berkhidmat pada kerajaan berpuluh tahun dan memegang jawatan sebagai panglima perang dan Menteri Besar sebelum menubuhkan Emirat Ayyubiyah.

Kain yang dibuat kafannya adalah betul-betul dari warisan beliau yang jelas-jelas halal dan sangat sederhana. Anak beliau yang bernama Fadhal telah masuk ke liang lahad meletakkan jenazah ayahnya. Dikatakan bahawa beliau dikebumikan bersama-sama pedangnya yang dipergunakan dalam setiap peperangan agar dapat menjadi saksi dan dijadikannya tongkat kelak pada hari kiamat. Rahimahullahu anh.

Ketika buku ini ditulis, Baitul Maqdis sedang berada di dalam kekuasaan golongan 'Bintang Enam' dengan negaranya yang dipaksakan. Jika sekiranya ada kepala negara yang bersifat seperti Sultan Shalahuddin di Timur Tengah sana, insya Allah Baitul Maqdis dapat direbut semula oleh kaum Muslimin.

Wallahu'alam....

Dipetik Dari Buku :

Kisah 85 Kekasih Allah (Kisah Pejuang Islam) Darul Nu’man.
Oleh : Hj Ahmad Muhd Abd Ghaffar

Kisah 70 Tahun Berbakti Kepada Orang Tua


HIKMAH BERBAKTI KEPADA KEDUA IBUBAPA

Pada suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada Allah supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi pantai yang di nyatakan di dalam wahyu. Baginda di iringi oleh kaum jin, manusia dan binatang.

Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum lagi menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin tersalah tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut. Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia melaporkan kepada Nabi Sulaiman. Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik. Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk ke dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.

Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut, setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu bertanya "Dari manakan mereka ini dan bagaimana mereka datang?". Pemuda itu merasa hairan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah kepadanya.

Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta. Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan memaklumkan bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada Allah. Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan.

Doa kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut .

Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan Allah. Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat itu memaklumkan bahawa dia diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah sehingga hari ini.

Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tetapi ia mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak berubah malah sentiasa muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini". Nabi Sulaiman bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman pun memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat asalnya.

Setelah kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya dan betapa seksanya orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya". Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ke tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.

Renungan

Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”

(Riwayat al-Hakim)

Pengajaran dari hadis tersebut:

i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

“Sesiapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah habuannya dan Allah akan memanjangkan (pula) umurnya.” (Hadis riwayat Abu Ya’la, at-Thabrani, as-Syaibani dan al-Hakim)


Wallahu'alam....

Kesempurnaan Iman


Daripada Abi Hurairah ra berkata,bahawa Rasululah s.a.w telah bersabda:Sebahagian daripada baiknya keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak baik baginya.

(Riwayat Al-Tirmizi)


99 Langkah Menuju Kesempurnaan Iman

1. Bersyukur apabila mendapat nikmat.

2. Sabar apabila mendapat kesulitan

3. Tawakal apabila mempunyai rencana/program

4. Ikhlas dalam segala amal perbuatan

5. Jangan membiarkan hati terus dalam kesedihan

6. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan

7. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan

8. Jangan gelisah dengan kekayaan orang

9. Jangan hasad dan iri hati atas kejayaan orang lain

10. Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan

11. Jangan tamak kepada harta

12. Jangan terlalu bersemangat dengan sesuatu kedudukan

13. Jangan hancur karana kezaliman

14. Jangan goyah karana fitnah

15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri

16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram

17. Jangan sakiti ayah dan ibu

18. Jangan usir orang yang meminta-minta

19. Jangan sakiti anak yatim

20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar

21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil

22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid)

23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyuk

24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid

25. Biasakan solat malam

26. Perbanyak zikir dan doa' kepada Allah

27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat

28. Sayangi dan santuni fakir miskin

29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah

30. Jangan marah berlebih-lebihan

31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan

32. Bersatulah karana Allah dan berpisahlah karana Allah

33. Berlatihlah konsentrasi fikiran

34. Apabila janji telah mungkiri mintalah maaf kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi

35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan

36. Jangan percaya ramalan manusia

37. Jangan terlampau takut miskin

38. Hormatilah setiap orang

39. Jangan terlampau takut kepada manusia

40. Jangan sombong, takabur dan besar kepala

41. Berlakulah adil dalam segala urusan

42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah

43. Bersihkan rumah daripada patung-patung berhala

44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran

45. Perbanyak silaturrahim

46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam

47. Jangan banyak bercakap

48. Beristeri dan bersuami apabila cukup syarat

49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu

50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur

51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit batin

52. Sediakan waktu untuk bersama dengan keluarga

53. Makanlah secukupnya tidak kekurangan dan tidak berlebihan

54. Hormatilah kepada guru dan ulama

55. Banyakan berselawat keatas Nabi s.a.w

56. Cintai keluarga Nabi s.a.w

57. Jangan terlalu banyak hutang

58. Jangan terlampau mudah berjanji

59. Selalu ingat saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan
sementara

60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti bersembang pada perkara yang tidak berguna

61. Bergaullah dengan orang-orang soleh

62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar

63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu

64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita

65. Jangan berdendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan

66. Jangan membenci seseorang karana fahaman dan pendirian

67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita

68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan

69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan

70. Jangan melukai hati orang lain

71. Jangan biasakan bercakap bohong

72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapat kerugian

73. Jagalah amanah dengan penuh tanggungjawab

74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan

75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita

76. Jangan membuka aib orang lain

77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berjaya daripada kita

78. Ambillah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana

79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan

80. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya

81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama,bangsa dan negara

82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain

83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara

84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa

85. Hargai prestasi dan pemberian orang

86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan

87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang berkaitan tidak menyenangkan

88. Sediakan waktu untuk bersenam sesuai dengan berlandaskan agama dan keadaan diri
kita

89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fisikal atau mental kita menjadi terganggu

90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana

91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan
jasa kita

92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata
sesuatu yang menyebabkan orang lain terhina

93. Jangan cepat percaya kepada berita tidak baik yang berkaitan teman kita,sebelum dipastikan kebenarannya

94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban

95. Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak
berlebihan

96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri

97. Waspadalah setiap ujian, cubaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan
kehidupan

98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan
melahirkan kerosakan

99. Jangan berjaya di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang


Wallahu'alam....

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...