Sembahyang malam itu memang sukar dikerjakan. Tetapi kesannya amat baik dalam menjernihkan hati seseorang. Ia dapat memupuk kecintaan kepada Allah dan meningkatkan kerohanian dengan semangat dan keikhlasan.
Salah satu dari cara yang telah dilakukan oleh Rasulullah dalam membentuk diri dan sahabat beliau pada tahap-tahap awal ialah sembahyang malam.
KEUTAMAAN QIAMULAIL
a) Dalil Al-Quran
Allah menyanjung dan memuji hamba-hambanya yang bangun bersembahyang pada waktu malam dengan firmaNya,yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (Syurga) dan dimata-mata air. Sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh tuhan mereka. Sesungguhnyaa mereka sebelum itu didunia adalah orang-orang yang berbuat baik.”
[Al-Dzariyat: 15-16]
Firman Alah lagi,yang bermaksud:
"Mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam. Dan diakhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)".
[Al-Dzariyat: 17-18]
Allah telahpun memerintahkan junjungan besar kita Nabi Muhammad agar mengerjakannya. Kiranya beliau akan mendapat tempat yang tinggi dihari kiamat kelak.
Dalam surah Al-Isra’ ayat : 79, Allah berfirman,maksudnya:
“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagi mu, mudah-mudahan Tuhan mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
[al-Isra’: 79]
Hamba-hamba Allah yang soleh yang dipuji oleh Allah sering dikaitkan dengan ketekunan mereka mengerjakan sembahyang malam. Dan hamba-hamba yang baik dari tuhan yang maha penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.
Allah Ta'ala berfirman,maksudnya:
“Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka”.
[Al-Furqan : 64]
“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami, mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, sedang mereka tidak menyombongkan diri.”
[Sajjadah: 15]
Firman Allah lagi yang bermaksud:
“Lamboang mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui ada yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.”
[al-Sajdah: 16-17]
Allah menempelak orang-orang kafir dengan firmanNya yang bermaksud:
“(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat diwaktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?. Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran”.
[al-Zumar : 9]
b) Dalil Hadis
Rasulullah telah meninggalkan pesanannya kepada pejuang Islam khasnya dan umat Islam amnya agar melaksanakan amalan ini. Beliau telah meninggalkan banyak yang menerangkan keutamaan sembahyang malam dan betapa faedahnya amat besar dalam membentuk peribadi seseorang.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda:
“Jika seseorang itu tidur maka syaitan menyimpulkan dibelakang kepalanya dengan tiga simpulan. Tiap simpulan itu ia kuatkan dengan bisikan ‘tidurlah malam mu masih panjang lagi’. Jika ia terjaga dan mengingat Allah maka terbukalah satu simpulan. Apabila ia berwudhu’ terbukalah satu simpulan lagi. Apabila ia sembahyang maka terhurailah simpulan itu semuanya. Maka iapun cergas diwaktu pagi dan baik hati. Sekiranya ia tidak melakukan sembahyang tersebut nescaya ia akan menjadi orang yang busuk hati dan pemalas”.
[Riwayat Nasaii]
Abu Hurairah meriwayatkan lagi sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadhan, puasa bulan Allah, iaitu bulan Muharram. Sebaik-baik sembahyang selepas fardhu ialah sembahyang malam”.
[Riwayat Muslim, Abu Daud, Attهrmizi, Arrasai dan Ibnu Khuzaimah]
Abdullah bin Salam r.w menceritakan:
Sewaktu Rasulullah mula-mula sampai di Madinah maka ramai bergegas keluar menyambut ketibaan beliau. Antara orang banyak itu, aku pun ikut memerhati. Apabila aku amat-amati wajah beliau dengan teliti maka yakinlah aku bahawa wajahnya bukan wajah pendusta. Perkataannya yang mula-mula ku dengar ialah:
“Wahai saudara-saudara sebarkanlah salam (kesejahteraan), berilah makan (para fakir, berhajat dan orang-orang amnya). Hubungkan silaturrahim (persaudaraan), dan sembahyanglah malam sewaktu orang tidur lena, kelak kamu masuk syurga dengan sejahtera”.
[Riwayat al-Tirmizi]
Dari Abdullah bin Amru r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Di dalam syurga ada suatu tempat penginapan yang keindahannya luarnya boleh dilihat dari dalam dan keindahan dalamnya boleh dilihat dari luarnya. Seorang Badwi lantas bertanya: Untuk siapakah bilik itu wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah SAW bagi orang yang baik tutur kata (nya), yang memberi makan (pemurah), yang selalu berpuasa dan bersembahyang malam ketika orang lain tidur”
[Riwayat Tirmizi]
Abu Hurairah pernah menyatakan kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasuilullah s.a.w. bila aku melihat engkau, hatiku tenteram dan riang. Cubalah ceritakan segala-galanya kepadaku?… Rasulullah SAW pun berkata: “Segala sesuatu dijadikan dari air.“ Aku bertanya lagi. Ceritakanlah kepadaku, perbuatan yang jika aku lakukan akan masuk syurga. Jawab Rasulullah SAW.
“Berilah makan, sebarkanlah salam, sambungkan silaturrahim dan sembahyanglah malam dikala orang lain tidur, kelak engkau akan masuk syurga dengan sejahtera”.
Dari Asma Binti Yazid menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Dihari kiamat kelak, manusia dihimpunkan pada suatu tempat. Kemudian (Malaikat) menyeru dan bertanya. Manakah orang-orang yang tidak betah lambungannya ditempat tidur (kerana mengingati Allah)? Maka tampillah segolongan kecil sahaja dari mereka, lalu dimasukkan ke dalam syurga tanpa perhitungan. Kemudian manusia-manusia lain dikerah untuk diperhitungkan (amalan masing-masing).
[Riwayat al-Baihaqi]
Dari Abdullah Bin Amr Ibnul ‘Aash bahawaa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sembahyang yang amat disukai oleh Allah ialah sembahyang Nabi Daud. Puasa yang paling disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud. Ia tidur separuh malam. Ia bersembahyang sepertiganya, dan tidur pula seperenamnya. Beliau puasa sehari dan buka pada hari berikutnya (puasa berselang hari)”.
[Riwayat Bukhari]
Jabir mengatakan bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Pada malam hari ada suatu saat jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah akan memakbulkan doanya. Hal ini ada pada tiap malam. "
[Riwayat Muslim]
SEMBAHYANG MALAM AMALAN ORANG SOLEH
Dari Umamah Al Bahili dari Rasulullah SAW:
“Hendaklah kamu melazimkan (Qiamulaill) sembahyang malam. Sebab itu adalah amalan orang-orang saleh sebelum kamu. Ia menghampirkan kamu dengan Tuhan, menebus keburukan (kamu) dan mencegah dari melakukan dosa.”
[Riwayat Al-Tirmizi]
Dalam riwayat Salman Al Farisi ditambah lagi dengan faedah lain iaitu:
“Ia dapat menghilang penyakit dari dalam tubuh”.
[Al-Tabarani]
SEMBAHYANG MALAM SUMBER RAHMAT
Dari Abi Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Allah merahmati orang yang bangun pada malam dan mengejutkan isterinya untuk sembahyang. Jika isterinya payah sedar ia merenjiskan air diwajahnya. Dan Allah merahmati isteri yang bangun waktu malam bersembahyang dan mengejutkan suaminya (agar beribadah). Jika suaminya enggan (liat) untuk bangun maka ia merenjiskan air diwajahnya ”
[Riwayat Abu Daud]
MENDAPAT MARTABAT ZAKIRIN ZAKIRAT
Abu Hurairah dan Abu Said meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:
“Jika seorang suami mengejutkan isteri (Keluarganya) diwaktu malam dan bersembahyang (walau dua rakaat mereka ditulis dalam golongan ‘Zakirin dan Zakirat’).”
[Riwayat Abu Daud]
Dalam hadis lain Rasulullah SAW menjelaskan bahawa:
“Keutamaan sembahyang malam dari sembahyang siang adalah seperti keutamaan bersedekah secara senyap-senyap dari bersedekah terang-terang.”
[Riwayat Tabarani]
Berkata Samrah Bin Jundub:
Rasulullah SAW menyuruh kita sembahyang malam, baik sedikit atau banyak dan supaya ditamatkan sembahyang tersebut dengan “witir”.
[Riwayat Tabarani dan Bazzar]
AMALKAN WALAUPUN SEDIKIT
Iyaas Bin Mu’awiyah Al Muzni meriwayatkan bahawa Rasulullaah SAW bersabda:
“Tidak boleh tidak harus dikerjakan sembahyang malam meskipun (masanya) sekadar memerah susu seekor kambing. Dan (waktu selepas sembahyang Isya’ itu dikira sebagai (waktu) malam”.
[Riwayat Tabarani]
Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah SAW menyuruh dan menggalakkan umatnya sembahyang malam, hinggakan beliau pernah bersabda:
“Hendaklah kamu (melazimkan sembahyang malam walaupun (sekadar) satu rakaat.”
[Riwayat Tabarani]
BEROLEH KEMULIAAN
Sahi Bin Saad r.w. menerangkan (pada suatu ketika) Jibril datang menemui Rasulullah SAW sambil; mengingatkan beliau:
“wahai Muhammad, hiduplah menurut sekehendak hatimumu namun engkau pasti mati. Berbuatlah (apa sahaja) sekehendak hati mu. Sesungguhnya (segala) perbuatan mu akan dibalas. Cintailah siapa sahaja yang anda mahu, namun engkau pasti berpisah juga dengannya. Ketahuilah bahawa kemuliaan seorang mukmin itu ialah dengan bersembahyang. Manakala kehormatan (harga) dirinya ialah dengan tidak meminta-minta pada orang lain.”
[Riwayat Tabarani]
Dari Ibnu Abbas:
“Semulia-mulia umatku ialah Hamalatul al-Quran dan orang-orang yang melazimkan diri dengan sembahyang malam”.
Orang yang sembahyang malam ini maksudnya ialah yang beribadah dengan tahajjud, zikir dan istighfar. Manakala Hamalatul Quran pula ialah orang-orang yang hafal Quran, menurut suruhannya, mengelak atau meninggalkan larangannya. Tidak membaca al-Quran ditempat-tempat yang menjatuhkan martabatnya disamping mereka menunjukkan contoh tauladan yang baik.
Amru Bin ‘Abasah pernah mendengar sabda Rasulullah SAW bahawa:
“Masa yang seseorang hamba Allah itu paling hampir denganNya ialah diwaktu larut malam. Maka seandainya engkau mampu ikut serta menjadi orang yang mengingati Allah ketika itu maka jadilah (seperti mereka)”.
TANDA MENJADI KEKASIH ALLAH
Abu Dardar’ meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:
“Tiga orang, Allah kasihkan kepada mereka, Allah gemar/gembira dan beristibsyar dengan mereka. Orang yang pasukannya hampir kalah tetapi terus berperang (menggadaikan) nyawanya demi Allah SWT. Tekadnya ialah samada ia terkorban (syahid) atau dimenangkan oleh Allah dan diselamatkan oleh-Nya. Sehingga Allah berkata: “Lihatlah kalian kepada hamba Ku ini, demikian sabarnya dia demi Aku.”
Orang yang punya isteri yang rupawan, tilam yang empuk nyaman namun ia bangun sembahyang malam. Allah sampai berkata Demikian sekali ia sanggup meninggalkan nafsu syahwatnya dan mengingati Aku, padahal jika ia mahu ia boleh terus tidur.
Dan orang yang dalam perjalanan bersama teman-teman. Mereka berjaga (kerana perjalanan), kemudian mereka tidur, namun ia bangun bersembahyang di larut malam dengan payah atau mudah.
KE ARAH MENGAMALKANNYA
Tidur Dalam Thaharah (Suci)
Jika kita ingin mengerjakan sembahyang malam maka seeloknya kita tidur dalam keadaan suci bersih. Kebersihan diri mengundang para Malaikat ikut bersama kita.
Ingatlah Ibnu Umar pernah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang tidur dalam keadaan bersih, maka Malaikat ikut tidur diselimuinya. Tiap ia terjaga Malaikat tersebut mendoakan Ya Allah ampunkanlah dosa hamba-Mu si polan. Sesungguhnya ia tidur dalam thaharah.”
[Riwayat Ibnu Hibban]
Muaz bin Jabal r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
“Allah pasti memakbulkan orang yang tidur dalam kebersihan kemudian terjaga dan memohon kepada Allah kurnia kebaikan di dunia dan di akhirat.”
Mengikut Ibnu Abbas Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Bersihkanlah tubuh badan ini nescaya Allah akan mensucikan kamu. Sesungguhnya jika seseorang hamba (Allah) tidur dalam keadaan bersih nescaya tidurnya diselimuti Malaikat. Tiap kali ia berguling (ke kiri atau ke kanan) Malaikat tersebut berdoa: Ya Allah, ampunkanlah hamba Mu ini kerana ia tidur dalam keadaan bersih.”
[Riwayat Thabrani]
Abi Umamah mengatakan beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang merebahkan diri di tempat tidurnya dalam keadaan bersih dan mengingati Allah sehingga ia mengantuk (dan tertidur) maka apa saja yang ia minta dari kebaikan dunia dan akhirat bila ia terjaga maka (pasti) dikabulkan oleh Allah.”
[Riwayat Al-Tirmizi]
Waktu Qiamullail
Para fuqaha menjelaskan waktunya ialah di awal malam atau di pertengahan malam dan di penghujungnya asalkan selepas solat Isya’, iaitu sesudah bangun tidur walaupun sebentar.
Waktu yang afdal ialah sepertiga yang terakhir malam.
Abu Hurairah meriwayatkan sabda Nabi SAW:
“Tuhan kita Azzawajalla tiap malam turun ke langit dunia apabila telah tinggal sepertiga terakhir daripada malam. Kemudian Allah berkata: “Siapakah yang berbuat dosa kepada Ku untuk Ku perkenankan, siapakah pula yang meminta kepada-Ku supaya Aku berikan permohonannya dan (adakah pula ) siapa yang memohon ampun kepada-Ku agar Aku ampunkan dosanya.”
[Riwayat Jama’ah: Teks daripada Bukhari]
Tuntutan dan Adab Qiamullail
a) Niat:
Jika seseorang hendak bangun sembahyang malam maka ia hendaklah berniat untuk berbuat demikian sebelum tidur. Jika ia terjaga dan bangun itu adalah rahmat Allah. Jika ia tidak terjaga maka Allah akan tuliskan pahala seolah-olah ia mengerjakannya.
Abu Darda’ meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang merebahkan diri ditilamnya dengan niat bangun malam untuk mengerjaklan sembahyang kemudian ia tertidur sampai pagi maka dituliskan untuknya pahala apa yang ia niatkan. Manakala tertidur itu ialah sedekah Tuhan kepadanya.
[Riwayat Nasa’i dan Ibnu Majah]
b) Bacaan apabila terbangun tidur:
Setelah ia bangun dari tidur sunat ia berdoa dengan doa ma’thur berikut :
Tidak ada Tuhanyang benar-benar disembah kecuali Engkau, Maha Suci Engkau (wahai Allah). Ampunkanlah dosaku dan limpahkan kepada ku rahmat Mu. Ya Allah, tambahilah ilmuku jangan Engkau takdirkan hatiku sesat setelah Engkau kurniakan dengan hidayah Mu. Kurniakanlah bagiku rahmat dari sisi Mu. Sesunguhnya Engkau amat Pemurah dengan kurnia.
Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah kami (seperti) mati dan kepadanyalah (semua) akan kembali (untuk perhitungan).
Kemudian bacalah 10 ayat terakhir dari Surah A-li ‘Imran: (Rujuk Al-Quran)
Maknanya:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;190 (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.191 Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;192 Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;193 Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji".194 Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)".195 Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).196 (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.197 Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).198 Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.199 Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).200
[Ali Imran: 190 – 200]
c) Dua Rakaat Pembukaan
Disunatkan memulakan Qiamullail itu dengan dua rakaat yang ringan. Kemudian bersembahyanglah sebagaimana khusyu’ dan panjang yang boleh.
Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW jika sembahyang beliau memulakan sembahyang dengan dua rakaat yang ringan.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Jika sesiapa diantara kamu bangun untuk sembahyang malam maka sulungkanlah dengan dua rakaat yang ringan”
d) Kadar Kelebihan Sembahyang Juga Mengikut Kadar Bacaan
Abdullah Bin Amru meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang (Qiamulaill) sembahyang dengan membaca sepuluh ayat maka ia tidak ditulis sebagai orang yang (hidup) lalai. Barangsiapa yang membaca seratus ayat ditulis sebagai orang yang Mukhbitin. Dan barangsiapa yang berdiri membaca seribu ayat, maka ia ditulis sebagai orang yang Muqanthirin (yakni orang yang mendapat pahala ber Qinthar-Qinthar" (1)
[Riwayat Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah]
e) Kaifiat Sembahyang
Kaifiatnya seperti sembahyang biasa juga, Cuma niatnya:
Sahaja aku sembahyang tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala.
Selepas membaca fatihah bacalah kadar yang termampu dari ayat-ayat al-Quran.
Perbanyakkan doa dan pinta dikala sujud.
f) Bilangan Rakaatnya
Sekurang-kurang qiamulaill satu rakaat, adapun lebihnya tidaklah ada berhad. Siapa mahu boleh sembahyang dua rakaat, dan siapa mahu boleh lebih dari itu.
g) Kadar Yang Afdhal
Ialah sebelas atau tiga belas dengan witir.
Ummul Mu’minin Aisyah meriwayatkan:
“Bahawa Rasulullah SAW baik dalam (bulan) Ramadhan mahupun bukan dalam bulan Ramadhan tidak pernah sembahyang lebih dari sebelas rakaat. Beliau bersembahyang empat rakaat dan usah ditanya tentang khusyuk dan lamanya. Kemudian beliau sembahyang empat rakaat lagi (seperti itu juga lama dan khusyuknya). Kemudian beliau sembahyang tiga rakaat.”
[Riwayat Bukhari]
h) Sunat Diakhiri Dengan Sembahyang Witir
Saidina Ali mengatakan sembahyang itu tidak wajib seperti sembahyang fardhu tetapi ia adalah sunnah Rasulullah SAW. Beliau bersabda:
“Allah itu witir (ganjil) dan sukakan witir maka (sembahyang) witirlah kalian wahai pengikut Al-Quran.”
Khadijah mengatakan pada suatu hari Rasulullah SAW menemui kami dan berkata:
"Allah telah mengurniakan dengan sembahyang yang lebih baik dari kemerahan daging masak (kilauan nikmat) iaitu sembahyang witir. Allah menentukan masa sesudah sembahyang Isya’ sampai terbit fajar."
[Riwayat abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi]
Ibnu Umar r.a. mendengar Rasulullah bersabda :
“Barangsiapa sembahyang Dhuha, puasa tiga hari dalam sebulan dan tidak meninggalkan sembahyang witir baik dalam perjalanan mahupun ketika tidak dalam perjalanan maka dituliskan baginya pahala orang yang syahid.”
[Riwayat Thabarani]
Satu perkara yaang harus diingat ialah barangsiapa yang telah mengerjakan witir penamat, kemudian ia mahu lagi selepas itu bersembahyang maka ia bolehlah sembahyang tetapi tidak mengulangi witir.
Kerana Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada dua witir pada satu malam”.
[Riwayat Tirmizi]
i) Jangan Terlalu Mempersukar Diri
Jika kita bersembahyang malam janganlah sampai memayahkan diri dengan berlebihan. Sembahyang sekadar yaang termampu kerana Allah tidak jemu sehingga kita sendiri menjadi jemu.
Jika sudah tidak mampu lagi untuk melakukannya maka tidurlah dahulu.
Rasulullah SAW mengingatkan demikian itu mengikut sebuah hadis riwayat Muslim:
“Anas berkata: Pada suatu masa Rasulullah masuk masjid dan melihat seutas tali teruntai antara dua tiang. “Apa ini? Tanya Rasulullah SAW. Sahabat menjawab: Itu kepunyaan Zainab wahai Rasulullah. Untuk menolongnya kuat bangun sembahyang bila tidak bertenaga lagi”. Tanggalkan! Perintah Rasulullah SAW. “ Sesiapa yang sembahyang buatlah setakat mampunya. Kalau ia telah lemah atau letih hendaklah ia baring”.
[Riwayat Nasaii]
j) Berterusan
Jika telah mula mengerjakan sembahyang malam maka hendaklah Istiqamah dalam melakukannya (berterusan). berterusan melaksanakannya walaupun sedikit.
Aisyah meriwayatkan bahawa ketika Rasulullah ditanya: amal yang manakah lebih disukai oleh Allah? Jawab beliau,
“Amal yang beterusan walaupun sedikit”.
[Riwayat Muslim]
k) Mengajak Isteri Atau Keluarga Mengerjakannya
Sepertimana yang pernah diterangkan dalam hadis terdahulu bahawa sunat mengejutkan isteri atau suami untuk mengerjakannya.
Ummu Salamah meriwayatkan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW terjaga. Beliau lantas berkata:
“Subhanallah, apalah fitnah yang turun pada malam ini, apalah kurnia yang datang, siapalah yang akan membangunkan orang rumahnya. Ya Tuhan, kiranya ada orang berpakaian didunia ini tetapi bogel pada hari kiamat (kelak)”.
Saidina Ali meriwayatkan bahawa pada suatu malam Rasulullah menjagakan beliau dengan fatimah. Rasulullah SAW bertanya:
“ Kamu tidak mahu sembahyangkah?” Aku pun menjawab (kata Saidina Ali). Nyawa kami ditangan Allah, kalau ia mahu ia bangunkan kami. Rasulullah pun pergi mendengar jawapanku yang demikian itu. Kemudian aku mendengar beliau menepuk pehanya seraya berkata : Manusia memang banyak dalihnya.
[Riwayat Bukhari]
l) Qiamulaill Dengan Banyak Membaca Al-Quran
Disamping sembahyang, qiamulaill bolehlah memperbanyakkan membaca Al-Quran, mengamati ajarannya dengan khusyuk dan tawadhu’. Al-Quran itulah sumber hidayah, sumber nur menerangi kegelapan hidup ini,keutamaan membaca al-Quraan;
Dari Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda :
Ibnu Masud berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa yang membaca satu huruf dari Kitab Allah (Alquran ), ia akan mendapatkan satu kebaikan yang nilainya sama dengan sepuluh kali ganjaran (pahala). Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf."
[Riwayat Tirmidzi]
Wallahu'alam....
0 ulasan:
Catat Ulasan