Sebab - Sebab Membawa Kelemahan Jiwa


SEBAB-SEBAB YANG MEMBAWA KEPADA KELEMAHAN JIWA

1.Sikap ibubapa yang tidak mengambil berat tentang pendidikan anak-anak sejak kecil

Tanpa disedari, keadaan tersebut membawa kepada penyerapan nilai-nilai yang negatif ke dalam jiwa anak-anak. Umpamanya, mengatakan bahawa:

“Kamu lebih baik dan mulia daripada orang lain. Kamu adalah daripada keturunan yang baik. Kamulah golongan yang berharta banyak jika dibandingkan dengan orang lain.”

Sentiasa memuji dan menyanjung mereka atas sebab-sebab tertentu ataupun tanpa sebab. Memenuhi tuntutan anak-anak, tidak kira samada mendatangkan manfaat ataupun tidak. Enggan mengenakan hukuman ataupun memberi tunjuk ajar sekiranya mereka melakukan kesilapan samada terhadap dirinya sendiri ataupun kepada orang lain. Sebaliknya dengan mudah membebaskan mereka, sedangkan mereka melakukan kesilapan. Perkara-perkara seumpama ini menjadikan mereka terbiasa dengan kesilapan.

2.Cara tarbiyyah yang terlalu keras, kasar dan berbentuk paksaan

Ini menjadikan anak-anak terperangkap dengan dirinya sendiri dan menjadikan jiwa mereka pasif. Akhirnya, mereka cuba untuk meneguhkan dirinya sendiri dan menjadi hero di hadapan orang lain. Mendakwa dirinya hebat dan handal malah seorang jaguh. Pada hakikatnya, semua itu adalah sangkaan yang meragukan dan palsu semata-mata. Dengan itu, leburlah keperibadian, tewas dengan diri sendiri dan tidak mampu untuk mempertahankan pandangan serta pegangannya di hadapan orang lain. Alangkah mudahnya tewas meskipun dalam pertarungan yang terlalu remeh.

3. Lemah dalam membina jiwa anak-anak dan suasana persekitaran yang tidak menggalakkan

Anak-anak tidak sempat menamatkan pengajian dan tidak mampu menguasai ilmu serta rapuhnya hubungan kekeluargaan dan lain-lain lagi. Dengan itu, anak-anak akan menjadikan suasana luaran sebagai alternatif bagi meneguhkan diri dan menampung segala kekurangan diri. Ini semua akan menjadikan mereka ta`asub pada pandangan peribadi dan menggesa orang lain supaya menerima pandangannya. Cuba menampilkan diri sebagai seorang yang mengetahui segala perkara tersirat. Golongan ini tidak jemu bercakap tentang perkara yang boleh membersihkan imej sendiri dan mengangkat martabatnya di sisi orang lain.

4.Bakat dan keupayaan tertentu yang tidak dipupuk sejak kecil dengan norma-norma kehidupan yang mengiktiraf bahawa segala anugerah tersebut adalah dari Allah


Sepatutnya mereka sentiasa bersyukur kepada Allah Ta`ala yang Maha Pencipta. Hal yang sedemikian perlu dititikberatkan, jika tidak, mereka akan membesar dengan rasa tinggi dari orang lain, perasaan membanding-bandingkan diri sesama manusia dan sentiasa berusaha untuk meyakinkan orang lain bahawa merekalah yang terbaik. Kadang kadang, bakat dan kebolehan sendiri menyebabkan kehancuran sekiranya ia tidak digunakan dengan bijaksana. Kisah Qarun boleh dijadikan pengajaran terbaik. Qarun yang telah Allah kurniakan segunung harta. Dikatakan kepadanya “Takutilah Allah dan bersyukurlah kepadaNya di atas harta yang telah dianugerahkan kepada engkau: Allah berfirman,yang bermaksud:

Qorun berkata aku memperoleh harta benda itu adalah dengan ilmu pengetahuan ku sendiri.

[Al Qasas: 78]

Kisah Qorun telah tersemat di dalam Al Quran. Firman Allah SWT,maksudnya:

“Sesungguhnya Qorun adalah salah seorang dari kaum Musa, kemudian ia dianiaya kepada bangsanya. Telah kami berikan kepadanya harta benda yang banyak, sehingga anak-anak kunci gudang-gudangnya amat berat dipikul ramai orang yang kuat. Ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau terlalu bersuka-ria, kerana Allah tidak mengasihi orang-orang yang sangat bersuka-ria.

Hendaklah kamu menuntut akhirat dengan kekayaan yang diberikan Allah kepada engkau dan janganlah engkau lupa bahagian nasib engkau di dunia dan berbuat baiklah kepada manusia seperti mana Allah telah berbuat baik kepada engkau dan janganlah engkau berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang berbuat bencana.”

[Al Qasas: 76-77]

Akhirnya Qorun menerima azab kemusnahan dari Allah. Allah berfirman,maksudnya:

Maka kami benamkan Qorun berserta rumah tangganya ke dalam bumi. Tiada siapa yang menolongnya selain daripada Allah, tetapi dia tidak mendapat pertolongan.

[Al Qasas: 81]

Orang–orang yang bercita-cita kelmarin untuk setempat dengan Qorun berkata: Ajaib, seolah-olah Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkannya. Jikalau Allah tidak memberi kurnia kepada kami nescaya Allah membenamkan kami pula. Ajaib, kerana sesungguhnya tiada menang orang-orang kafir.

[Al Qasas: 82]

Kadang-kadang taat setia dengan ajaran Islam, bersusah payah dalam beribadat, memperbanyakkan amalan sunat menyebabkan manusia merasakan dirinya lebih istimewa dari orang lain. Mereka menyangka dirinya mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah dengan amalan tersebut lalu memandang lekeh terhadap orang lain dan menghina orang yang melakukan maksiat. Iblis telah membuat tipu daya dengan ibadat mereka. Ketika mana Allah memerintahkan iblis agar sujud kepada Nabi Adam AS lalu iblis enggan: Allah Ta`la berfirman,yang bermaksud:

“Allah berfirman: Apakah yang melarang kamu tidak mahu tunduk, ketika Aku menyuruhmu. Sahut iblis Aku terlebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku dari api dan engkau jadikannya dari tanah.

[Al A’raf: 12]

Sebagai balasannya Allah telah mencabut segala rahmat daripadanya. Seorang ahli ibadat yang bernama Zulkhuaisoroh telah terpedaya dengan ibadatnya mendakwa di hadapan Rasulullah SAW: “Inilah bahagian amalan yang aku maksudkan untuk Allah.”

Berkata Ibnu Qaiyim: “Lihatlah kepada seorang yang banyak sujud dan beribadat, serta zuhud, terdapat pada dahi mereka tanda sujud iaitulah Zul Khuaisarah Al Tamimi Al Khariji. Dia adalah seorang pelampau yang mengingkari Nabi Muhammad SAW. Dia berpesan kepada para sahabatnya agar melakukan penghinaan terhadap orang-orang muslimin, sehingga sanggup menghunus pedang dan menghalalkan darah orang Islam.

Ayad Ibnu Himar RA seorang peminum arak yang sering mabuk, datang menemui Nabi SAW agar dikenakan hukuman hudud di atas kesalahannya. Kekuatan iman, keyakinan, kecintaan kepada Allah, sifat tawadhu` dan penyesalan dirinya yang tinggi menyebabkan Rasulullah SAW melarang para sahabat dari mencela beliau. Jelaslah dari sini, mereka yang banyak melakukan maksiat kepada Allah tetapi akhirnya bertaubat adalah lebih selamat berbanding dengan orang yang banyak beribadat namun akhirnya melakukan perkara yang dimurkai Allah Ta`ala.

Ibnu Qaiyim berkata: “Pendosa yang mencela diri dengan dosa-dosanya adalah lebih dicintai oleh Allah daripada orang yang melakukan ketaatan kepada Allah bertujuan menunjuk-nunjuk. Sesungguhnya kamu tidur dan bangun dalam keadaan menyesal lebih baik daripada orang yang bertahajud di malam hari dan bangun dalam keadaan ujub.” Orang yang ujub tidak diangkat amalan mereka.

Berkata seorang ulamak sufi Ibnu `Ataillah dalam kitabnya:

“Mungkin Allah membuka pintu ketaatan tetapi ditutup pintu penerimaan (kabul). Sebagaimana adakalanya ditakdirkan engkau berbuat dosa tetapi menjadi sebab yang mendekatkan diri kepada Allah. Maksiat yang melahirhan rasa tercela dan penyesalan adalah lebih baik di sisi Allah daripada ketaatan yang membawa kepada rasa sombong, ujub dan takabbur.” (الحكم العطائية)

5.Tidak ada sifat saling nasihat menasihati sesama manusia

Nasihat merupakan suatu perkara yang amat pahit untuk diterima. Lantaran itu, ramai yang enggan memberi nasihat dan bermuka-muka kerana bimbang orang yang dinasihati akan berubah hati terhadapnya dan menimbulkan kemarahan. Sentimen ini, boleh mencetuskan anggapan pada sesetengah pihak bahawa kesilapan adalah kebenaran maka mereka yang bersalah terus bergelumang dengan kesalahannya.

Sebaliknya kita dapati sikap suka memuji dan mengampu berleluasa di kalangan manusia pada tahap yang tidak diterima akal, terutamanya apabila orang yang dipuji itu adalah di kalangan mereka yang mempunyai pangkat dan kuasa. Orang akan berlumba-lumba untuk memujinya samada pujian sebenar ataupun palsu. Ianya tercetus lantaran sifat tamak dan mengidamkan apa yang terdapat pada orang yang dipuji samada kemegahan, harta, kenaikan pangkat dan sebagainya.

Kadang-kadang, perkara yang menjadi pendorong bagi sesetengah manusia suka memuji adalah kerana menagih kasih sayang daripada orang yang dipuji lantas menyanjung mereka. Sesetengah orang mendakwa bahawa perkara yang mendorong seseorang mengasihi saudaranya yang lain ialah dengan memuji-mujinya secara terang-terangan agar bertambah lagi kasih sayangnya. Benar, bertambahnya kasih-sayang dan kemesraan tetapi bukan kerana Allah. Cinta yang hakiki ialah cinta kerana Allah dan mendekatkan diri kepadaNya (taqarrub). Akan tetapi cinta sebegini menjauhkan hamba dari Allah SWT. Ungkapan pujian walaupun ringan tetapi membawa kesan yang membinasakan orang yang mendengar, sepertimana yang akan dijelaskan selepas ini.

6.Tidak menitikberatkan pembinaan dalaman

Peringkat usia tiga puluhan dihabiskan tanpa sebarang usaha untuk menyempurnakan segala kekurangan yang ada, lantas menyebabkan gejala lemah jiwa sebati dalam diri dan keperibadiannya. Mendidik anak anak di waktu kecil umpama mengukir di atas batu. Sepertimana yang telah kita ketahui dalam kisah Ashabul Ukhdud, kita melihat apa yang diminta oleh tukang sihir daripada Raja.

Dari Suhaib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ada seorang Raja sebelum zaman kamu yang memiliki seorang tukang sihir apabila tukang sihirnya tua, dia berkata kepada si Raja: “Sesungguhnya aku telah tua, utuskan kepadaku seorang budak agar aku boleh mengajarkannya ilmu sihir. Maka Raja tersebut mengutuskan seorang budak kepadanya untuk diajarkan sihir...”

(Riwayat Muslim)

Tukang sihir itu telah meminta seorang budak untuk diajar sihir kerana ia mengetahui bahawa umur muda adalah amat sesuai sekali untuk menerima, menghafal dan menguasai ilmu. Sepertimana pokok mudah dibentuk pada peringkat awal dan menjadi susah setelah sempurna pertumbuhannya.

Demikian juga manusia, alangkah mudahnya dididik sewaktu kecil dan amat sukar sekali setelah dewasa.

7.Tidak memuhasabah diri secara berterusan. Berpuas hati dengan amal ibadat tanpa melihat kepada percubaan hawa nafsu untuk menguasai amalannya

Apabila seseorang itu mampu menilik diri dan amalan lahiriah, sebaliknya mengabaikan amalan hati seperti ikhlas, membenarkan Allah, bertawakal kepada Allah dan mengembalikan diri kepada-Nya; takut akan berlakunya riya`, takbbur, ‘ujub terpedaya dan lain lain lagi yang berkaitan dengan kecacatan amal maka sifat tercela tersebut bermaharajalela dalam diri tanpa disedari lantas dia menyangka bahawa dia sudah beruntung. Merasa dirinya tergolong di kalangan orang-orang yang soleh dan ahli syurga sedangkan itu bukanlah ciri-ciri orang soleh yang sebenar. Hakikat ciri-ciri orang yang soleh seperti mana yang disifatkan oleh Al Quran,maksudnya:

“Dan orang-orang yang telah memberikan apa–apa yang telah diberikannya (sedekah, zakat dan sebagainya) sedang hati mereka itu takut kerena mereka akan kembali kepada Tuhannya.”

[Al Mu’minun: 60]

8.Menonjol dan menampilkan diri tanpa persediaan dan pembentukan awal
 

Mereka yang tampil kehadapan dan terdedah kepada kemasyhuran sebelum sampai waktunya akan mudah tercicir dalam banyak perkara. Sepertimana yang disebut oleh Imam As-Syafie:

“Apabila terkehadapan orang muda yang belum mantap ilmunya hilanglah darinya ilmu yang banyak.”

Ini akan membantutkan usaha mencari ilmu, membentuk diri, mendidik jiwa dan menghidupkan hati. Sesetengah manusia apabila disuluh dengan cahaya kemasyhuran sedangkan dia masih belum ada persediaan diri yang mantap maka samalah keadaannya seperti orang yang menghampiri cahaya dan mendapati dirinya terlalu besar sedang itu hanyalah bayang-bayang, sedangkan dirinya tetap tidak berubah.

Bayang-bayang telah banyak memperdaya manusia. Mereka menyangka dirinya amat besar dan melihat orang lain tidak sepertinya di segi kehebatan. Gerak hati itu dizahirkan pada tingkahlaku mereka dan menggunakan segenap upaya untuk membenarkan kepalsuannya. Mengelakkan diri dari kelihatan jahil dan berhajat kepada ilmu pengetahuan. Mereka menyangkakan dirinya adalah di kalangan orang yang berilmu dan meletakkan dirinya sebaris dengan saf ulama` sedangkan dia tidak pernah bersusah payah untuk mengkaji, menghafal, belajar dan mengikuti jejak langkah penuntut ilmu. Mereka telah terpedaya dengan bayang-bayang kemegahan, dan populariti. Apabila ditanya sebarang persoalan maka ia akan menjawab membuta tuli untuk menyembunyikan kejahilan diri sendiri.

Apabila pendapatnya ditolak dia akan merasa marah dan apabila berhujah ataupun berdialog dia akan terus melenting jika disanggah. Apabila diberi nasihat dan tunjuk ajar ia enggan menerimanya. Mereka melihat dirinya di atas permukaan cermin cembung yang menampakkan dirinya kelihatan lebih besar. Mengandaikan orang lain lebih sesat sedangkan pada hakikatnya dialah yang lebih sesat.

Orang yang sebegini pada hakikatnya membuka pekung di dadanya sendiri, memandu diri sendiri kearah kebinasaan. Tidak mengunakan kesempatan yang ada untuk membentuk diri. Lambat laun, secara tiba-tiba sahaja mendapati dirinya telah dilingkungi manusia sambil menuding jari padanya. Terperangkap dengan rencah kehidupan dunia dan tidak lagi punya waktu untuk memelihara hati, membersihkan jiwa atau membajai akal fikiran dengan cahaya ilmu.(Syarah Hikam Al Athaillah: Mohd. Said Ramadhan Al Buthi)

Wallahu’lam....
www.hasnulhadiahmad.blogspot.com

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...