KENALI SYEIKH ABDUL HALIM MAHMUD

Syeikh Abdul Halim Mahmud adalah Imam besar al-Azhar pada tahun 1973,lahir pada 12 Mei 1910,bersamaan 2 Jamadil Awal 1328 hijrah di desa Abou Ahmed, di kawasan Pentadbiran Bilbeis Sharqeya, 50 kilometer timur laut Kaherah, Mesir

Sifat dan kejahatan Yahudi dalam Al-Quran

“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.” [ Al-Maidah (5):82].

VIDEO KLIP DALAM KA'BAH

Di dalam Ka`bah terdapat 3 buah tiang yang dibuat daripada kayu, berwarna merah kekuningan. Menurut sejarah, tiang itu dipasang oleh Abdullah bin Zubair r.a.

VIDEO KLIP PERANG SINAI (Mesir) 1967-1973

Mimpi yang benar oleh mantan Syeikh Al-Azhar,Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud,mengenai bagaimana strategi melawan tentera Israel.

KISAH-KISAH DALAM AL-QURAN BUKTI MUKJIZAT

Al-Qur’an adalah Kalam Allah S.W.T. yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. sebagai risalah Tuhan Yang Maha Agung.

Kerajaan Semut

Muqaddimah: Surah An-Naml (Semut):

Surat an-Naml terdiri daripada 93 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyyah dan diturunkan sesudah surah Asy Syu'araa'.

Dinamai dengan "An Naml", kerana pada ayat 18 dan 19 terdapat perkataan "An Naml" (semut), di mana raja semut mengatakan kepada anak buahnya agar masuk ke sarang masing-masing, supaya jangan terpijak oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tenteranya yang akan lalu di tempat itu. Mendengar perintah raja semut kepada anak buahnya itu, Nabi Sulaiman tersenyum dan ta'jub atas keteraturan kerajaan semut itu dan beliau mengucapkan syukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa yang telah melimpahkan ni'mat kepadanya, berupa kerajaan, kekayaan, memahami ucapan-ucapan binatang, mempunyai tentera yang terdiri daripada jin, manusia, burung dan sebagainya. Nabi Sulaiman a.s. yang telah diberi Allah ni'mat yang besar itu tidak berasa takbur dan sombong, dan sebagai seorang hamba Allah mohon agar Allah memasukkannya ke dalam golongan orang-orang yang soleh.

Allah Subhanahu Wata'ala menyebut binatang semut dalam surat ini agar manusia mengambil pelajaran dari kehidupan semut itu.

Semut adalah binatang yang hidup berkelompok di dalam tanah, membuat liang dan ruang yang bertingkat-tingkat sebagai rumah dan gudang tempat menyimpan makanan musim dingin. Kerapian dan kedisiplinan yang terdapat dalam kerajaan semut ini, dinyatakan Allah dalam ayat ini bagaimana rakyat semut mencari perlindungan segera agar jangan terpijak oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tenteranya, setelah menerima peringatan dari rajanya.

Secara tidak langsung Allah mengingatkan juga kepada manusia agar berusaha untuk mencukupi keperluan seharian, mementingkan kemaslahatan bersama dan sebagainya, rakyat semut mempunyai organisasi dan kerjasama yang sangat baik.

Dengan mengisahkan kisah Nabi Sulaiman a.s. dalam surah ini Allah mengisyaratkan hari kehadapan dan kebesaran nabi Muhammad s.a.w. Nabi Sulaiman a.s. sebagai nabi, rasul dan raja yang dianugerahi kekayaan yang melimpah ruah, begitu pula Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang nabi, rasul dan seorang ketua negara yang ummi' dan miskin akan berhasil membawa dan memimpin umatnya ke jalan Allah.

Rujukan:
Al-Quran dan Terjemahnya,
Mujamma' al-Malik Fahd Li Thiba'at al-Mush-haf,
Asy-Syarif Medinah Munawwarah, P.O. Box 6262,
Kerajaan Saudi Arabia.
Tahun 1419H.

Video Klip kerajaan semut di bawah tanah,Adalah
Kekuasaan Allah Ta'ala







Wallahu'alam....

Artikel "KERAJAAN SEMUT" yang tersiar di halaman hasnulhadiahmad.blogspot.com para pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat hasnulhadiahmad.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan.

PEMBANGUNAN AKHLAK UMMAH

KE ARAH MEMBANGUN AKHLAK UMMAT

Akhlak merangkum suatu sifat semulajadi yang dimiliki oleh seseorang,sifat yang diperolehi dalam diri melalui proses latihan,pendidikan,Agama dan sebagainya.akhlak juga mengandungi batiniah(dalaman) serta zahir yang direalisasi dalam bentuk kelakuan.

Al marhum Syaikh Said Hawwa dalam bukunya; "al Mustakhlas Fi Tazkiati al Anfus" menerangkan mekanisme tersebut sebagai Induk-Induk Tazkiah al Nafs atau Penyucian Diri.
Menurut beliau, tazkiyah al nafs atau boleh disebut sebagai pembangunan akhlak bermula dengan perlaksanaan induk-induk tazkiyah berikut;

Solat,zakat dan infak.Puasa,haji,membaca al qur'an,zikir,memikirkan penciptaan Allah,mengingati mati dan memendekkan angan-angan.Muraqabah,muhasabah,mujahadah dan mu'atabah.Jihad,amal makruf dan nahi anil mungkar,dedikasi dan bersifat tawadduk.Mengenali tipu daya syaitan terhadap manusia serta menangkis dan menutup laluannya.
Mengenal jenis-jenis penyakit hati serta mengetahui cara-cara merawatnya.

Beliau telah menghuraikan dalam buku tersebut dengan panjang lebar dan wajar sekali ditela'ah oleh setiap kalangan yang prihatin mengenai masalah ini.

Menurut Syaikh Abdul Rahman al Midani; akhlak manusia memang boleh berkembang dan boleh dibentuk dengan berbagai cara. Antara cara-cara tersebut ialah melalui:

1-Latihan Amali Dan Amalan-Amalan Menjernihkan Batin.

Pendidikan akhlak tidak hanya melalui indoktrinasi atau penjelasan mengenai nilai-nilai akhlak kepada masyarakat; di mana mereka boleh memilih dan menghargai nilai-nilai tersebut. Sebaliknya, pendidikan akhlak boleh dibuat berdasarkan latih tubi, perlaksanaan/penghayatan yang berterusan umpamanya. Walaupun di peringkat awal ia dilaksanakan kerana arahan atau tekanan dari luar, namun lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan tabiat. Manusia sememangnya berupaya memperolehi akhlak atau sifat yang mulia melalui pendekatan ini. Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya):

"Barang sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bersikap luhur, nescaya Allah menjadikannya seorang yang luhur. Barang sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bersifat mandiri ( tidak memerlukan pertolongan orang lain), nescaya Allah memberikannya sifat kemandirian. Barang siapa yang bersungguh-sungguh untuk bersabar, nescaya Allah akan jadikannya seorang yang penyabar."

Rasulullah bersabda lagi (bermaksud):

"Suruhlah anak kalian bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya ketika umur mereka (menjangkau) sepuluh tahun.

Seandainya sembahyang boleh dibiasakan sejak dari kecil , maka puasa, infak, zikir dan tilawatul Qur'an pun boleh diamalkan sejak dari kecil dan secara berterusan; sehingga menjadi amalan yang lazim dan budaya hidup. Amalan amalan ini pastinya lambat laun akan menjadi adat atau kebiasaan seseorang.

2- Meletakkan Diri Dalam Lingkungan Persekitaran Yang baik

Persekitaran sosial dan budaya kerap mempengaruhi manusia. Persekitaran tersebut merangkum tradisi, model tingkah-laku dan saranan serta rangsangan yang bersifat akhlak. Manusia memang sering terpengaruh kepada persekitarannya; dengan cara meniru serta mencontohi figure yang disanjungi oleh mereka. Kewujudan seseorang dalam lingkungan masyarakat yang baik serta soleh sudah tentu akan menyebabkan ia beriltizam dengan amalan dan etika yang dihayati oleh kumpulan tersebut. Ia akan berusaha melaksanakan sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya. Sebaliknya, perbuatan yang dianggap keji oleh lingkungannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya.

Dalam kontek menegaskan kesan lingkungan ini Allah SWT berfirman,yang bermaksud:

"Negara yang baik (makmur) akan menampilkan hasil mahsulnya ( yang baik dan sihat) dengan izin tuhannya, manakala negara yang buruk, tidak akan dapat menghasilkan kecuali pengeluaran yang buruk. Demikianlah Kami ajukan tanda-tanda kebesaran Kami kepada kaum yang bersyukur."

Surah al 'Araf, ayat 58

Masyarakat yang buruk ialah masyarakat yang tidak melaksanakan syariat Allah. Mereka menguatkuasakan peraturan dan undang-undang ciptaan manusia yang menyimpang dari jalan Allah yang lurus. Dengan demikian, warganya sudah pasti akan berkembang di dalam social interaction yang distructive dan tidak sihat. Mereka akan terpengaruh dengan gejala-gejala kejahatan yang berkembang pesat dalam masyarakat yang dilanda oleh fenomena dekadensi moral berkenaan.

3-Qudwah Hasanah.

Manusia juga dipengaruhi oleh idolanya. Idola tersebut kerap menjadi rol model dalam kehidupan mereka. Manusia yang berperanan menjadi rol model tersebut antara lain ialah tokoh politik, artis, seniman, atlit sukan, ibu bapa, guru dan sebagainya. Meskipun Rasulullah adalah qudwah yang paling ideal bagi umat Islam, namun penghayatan nilai-nilai yang dibawa oleh Rasulullah hendaklah dipaparkan oleh golongan idola berkenaan. Mereka sewajarnya sentiasa berusaha menunjukkan contoh dan teladan yang terpuji agar dapat ditiru oleh generasi muda. Penghayatan golongan idola tersebut terhadap nilai-nilai yang luhur dan utama pasti akan mengukuhkan keyakinan generasi baru bahawa keutamaan dan keluhuran memang sebenarnya boleh dilaksanakan. Ia bukan Utopia zaman dahulu kala atau idealisme khyalan belaka; tetapi malah ianya suatu realiti yang tentunya boleh dicontohi dan direalisasi oleh generasi masa kini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"sesungguhnya Rasulullah itu bagi kamu adalah contoh ikutan yang baik untuk mereka yang mengharapkan Allah, mengharapkan ( ganjaran ) hari akhirat dan mereka yang kerap mengingati Allah."

Surah al Ahzab, ayat 21

4- Tekanan Sosial Dari Masyarakat Islam.

Antara mekanisme yang digunakan oleh Islam dalam membentuk penganutnya serta memastikan mereka melaksanakan tata kelakuan berakhlak ialah wujudnya komuniti sosial yang komited dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam. Masyarakat Islam yang multazim ini mempunyai impak yang besar dan pengaruh yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan atau menurut nilai dan norma-norma akhlak. Mereka boleh melaksanakan tekanan moral yang berkesan untuk mendisplinkan golongan yang berkecenderungan untuk melakukan kejahatan. Manusia memang suka dipuji, dihormati dan disanjung. Manusia juga takut dikeji dan dicemuh oleh kumpulan di mana ia mempunyai sense of belonging kepada mereka. Faktor-faktor tersebut adalah anak kunci yang sedikit sebanyak menentukan tindak-tanduk seseorang. Masyarakat Islam yang aktif boleh berperanan menyuburkan semangat dan amalan hidup berakhlak. Ia juga boleh membendung trend-trend kufur dan maksiat dalam masyarakat melalui perlaksanaan amal mak'ruf dan nahi mungkar. Apabila masyarakat kehilangan keprihatinannya terhadap kewajipan menegakkan mak'ruf dan mencegah yang mungkar, maka bermulalah proses penghakisan moral, akhlak dan martabat umat berkenaan.

5- Kuasa Negara Islam melalui sistem keadilan dan galakkannya.

Tatanan akhlak dan nilai-nilainya tidak akan bermaya tanpa digandingi oleh kuasa atau autoriti yang menguatkuasakan nilai-nilai tersebut. Oleh kerana itu, antara tanggungjawab negara Islam ialah mewujudkan mekanisme dan jentera-jentera pentadbiran yang dapat beroperasi untuk memastikan ketertiban serta penghayatan kaedah-kaedah akhlak dalam masyarakat. Institusi hisbah, jabatan-jabatan penguatkuasa, polis adab, jabatan bimbingan dan nasihat, jentera pendidikan, jawatankuasa-jawatankuasa masyarakat boleh memastikan perlaksanaannya. Saidina Othman mengatakan: "Apa yang tidak dapat diubah oleh al-Qur'an, Allah mengubahnya dengan kekuasaan".

Jika negara tidak melaksanakan amanah ini kerana ia tidak berlandaskan sistem perlembagaan dan undang-undang Islam sudah pasti keadaan akhlak umat akan lebih parah dan malang.Melalui puluhan kementerian, badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan akhlak akan digugat dan dihakis. Amalan pemerintahan yang tidak adil menjanjikan kemusnahan bukan hanya dalam bidang akhlak tetapi juga dalam kepentingan yang lebih vital dan menentukan.

Selain dari apa yang telah dinyatakan di atas maka akhlak juga boleh dibentuk oleh media massa, sekolah, rakan sebaya, masjid atau surau dan sebagainya. Untuk lebih jelas ada baiknya kita terangkan satu persatu peranan tersebut :

6- Peranan Media Massa

Media massa merupakan satu mekanisme yang mempunyai pengaruh yang amat besar dan berkesan di dalam pembentukan keperibadian manusia. Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di dalam masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati budi, mentaliti dan syakhsiah umat khasnya yang beroperasi 24 jam. Media massa tersebut perlu bebas dari cengkaman faham sekularisme, budaya kormesial yang melampau, faham kebendaan dan dorongan untuk hidup secara mewah dan berpoya-poya. Media Massa hendaklah mempunyai asas falsafah dan dasar-dasar komunikasi yang selaras dengan nilai-nilai akhlak Islam. Para petugas media massa hendaklah meningkatkan rasa akauntabiliti, tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk memihak dan menegakkan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, kejujuran dan sebagainya.

Para pengguna media massa terutama golongan yang bertanggungjawab seperti ibubapa, guru, pemimpin politik dan pentadbir hendaklah lebih bijaksana dalam mengarah, membimbing, meningkatkan rasionaliti, kematangan dan kewaspadaan serta keupayaan memilih siaran yang lebih bermanfaat untuk ditontoni oleh anak-anak atau orang-orang yang di bawah jagaan mereka. Media massa juga sebenarnya boleh menjadi wahana "cultural domination dan imperialisme" melalui berbagai saluran teknologi maklumat yang canggih seperti internet, multimedia dan sebagainya.

7- Peranan Sekolah

Sekolah mempunyai fungsi yang tersendiri dalam mendidik generasi baru dengan akhlak Islam. Antara lain sekolah boleh :

a. Menggandakankeberkesanan institusi pendidikan, menambahkan produktivitinya, meningkatkan kewibawaannya di kalangan setiap anggotanya baik mereka itu pelajar atau petugas.

b. Memperbaiki suasana persekolahan, mendaulatkan undang-undang atau peraturan Islam khasnya yang berkaitan dengan persekolahan, memperbaiki hubungan antara sesama anggota sekolah atau institusi.

c. Memancangkan dengan teguh akan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik seperti ketaatan atas dasar kesedaran menghormati peraturan dan pihak yang berwewenang, menjaga perasaan orang lain, menjaga standard layanan dalam berinteraksi, berkorban untuk kepentingan ramai, bekerjasama, melakukan self criticism, mengawal diri, menghargai ilmu, menghormati ulama' dan sebagainya.

d. Membaiki prestasi persekolahan murid-murid dari segi kualiti dan kuantiti, mendidik mereka dari segi agama, akhlak dan sosial secara wajar dan sihat, mempersiapkan mereka agar dapat memikul tugas dan tanggungjawab yang bakal mereka hadapi; di samping melatih mereka menghukum atau menilai diri sendiri sebagai seorang yang berfikiran matang dan bebas.

Para pelajar di sekolah hendaklah dilatih supaya merendah diri dan memuliakan orang yang mereka bergaul dengan mereka. Mereka hendaklah digalakkan lebih suka memberi dari menerima. Dalam sanubari mereka patut dicambahkan keinsafan bahawa tangan yang memberi lebih utama dari tangan yang menerima. Disuburkan pula perasaan zuhud dalam hatinya dan di asoh agar tidak menjadi mata duitan.

Mereka harus juga diasuh supaya tidak meludah dalam majlis atau berkahak, tidak menguap besar di hadapan orang, tidak meletakkan kaki di atas sebelah kaki yang lain serta tidak membanyakkan cakap. Anak-anak harus digalakkan tidak banyak bercakap kecuali sekadar menjawab. Mereka harus dilatih pandai mendengar tuturan orang, lebih-lebih lagi jika orang yang bercakap itu lebih tua daripadanya.

Mereka mesti ditegah mengucapkan kata-kata kesat, atau bergaul dengan orang-orang yang celupar. Justru antara kaedah mendidik anak-anak ialah melindungi mereka dari rakan-rakan yang jahat. Selain dari itu elok juga selepas belajar mereka dibenarkan bermain-main untuk menyegarkan tubuh mereka setelah penat belajar. Mereka hendaklah diasuh supaya patuh kepada ibu bapa, guru dan menghurmati mereka.

Selain dari latihan serta disiplin seperti di atas, pelajar harus juga dilatih menghargai tugas dan tanggung jawab dengan cara yang bijak, lemah-lembut tanpa terburu-buru melaksanakan kekerasan atau pemaksaan melalui penderaan. Kepatuhan yang lahir dari keinsafan dan kesedaran batin biasanya lebih berkesan dan mantap. Bagi seorang pendidik menggunakan tindakkan menghukum biarlah terhadap perkara yang paling akhir dalam fikirannya; samada mereka golongan guru atau bapa. Bahkan apabila hukum hendak dikenakan kepada murid biarlah sekadar yang perlu sahaja.

Bimbingan dan nasihat yang lemah lembut tetapi tegas kadang-kadang lebih meninggalkan kesan dan tertancap dalam hati serta dipatuhi. Hukuman atau penderaan bukanlah langkah utama yang merupakan satu-satunya penyelesaian. Penderaan adalah langkah terakhir apabila contoh yang baik, nasihat dan hubungan kasih sayang antara anak dan bapa atau guru tidak mampan lagi untuk digunakan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud :

"Suruhlah anak-anak kamu menunaikan salat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (kerana enggan sembahyang) apabila umur mereka sepuluh tahun".

(Hadith ditakhrijkan oleh Abu Daud).

Demikianlah dalam Islam pembelajaran tidak dimulai dengan rotan atau hukuman. Malah di dahului oleh berbagai cara dan pendekatan untuk memupuk kebiasaan dan akhlak yang terpuji seperti melatih bersembahyang dengan menggunakan kecenderungan meniru yang menjadi pembawaan kanak-kanak dan dengan rasa yang penuh kasih sayang dari orang dewasa. Misalnya dengan memaparkan contoh, nasihat, perkataan yang baik, teguran yang lemah lembut tetapi tegas dan sebagainya. Sekiranya cara-cara tersebut gagal barulah dikenakan sedikit kekerasan yang bertujuan mendidik bukan yang menimbulkan kecacatan fizikal dan sebagainya.

Rasulullah telah mendidik anak perempuan dan cucu baginda. Baginda tidak pernah memukul mereka. Baginda telah berjaya mendidik dengan perasaan kasih sayang tetapi tegas. Baginda membimbing mereka dengan menunjukkan teladan yang baik

Pendidikan akhlak Islam di sekolah juga menekankan tentang perlunya proses pembelajaran di laksanakan dalam suasana yang menyenangkan sejajar dengan tahap kematangan murid serta selaras dengan persekitaran budaya yang melatari kehidupan mereka. Ini bertepatan sekali dengan firman ALlah,yang bermaksud :

"ALlah tidak mempersukarkan kamu dalam beragama "

(Surah al-Haj : ayat 78)

Firman Allah lagi,yang bermaksud:

"Dengan rahmat ALlah kepadamu itu maka engkau berlemah lembut menghadapi mereka. Seandainya hatimu keras dan (sikapmu) kasar nescaya mereka bubar dari sekelilingmu.

(Surah Ali Imran : ayat 159)

Rasulullah s.a.w menerangkan:

Ilmu itu (diperolehi) dengan belajar , sikap hilm (sabar) dengan melatih diri bersifat sabar.Carilah ilmu dan carilah di samping ilmu sifat tenang dan hilm.Berlemah-lembutlah kepada orang yang kamu ajar dan orang yang kamu belajar daripada mereka (ilmu pengetahuan). Janganlah kamu menjadi ulama' yang bongkak/kasar nanti sifat jahil kamu mengatasi (sikap baik) kamu.

Saidina 'Umar berkata :

Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALlah nescaya tidak diturutnya kemahuannya.Siapa yang takut kepada ALlah nescaya ia tidak bertindak sesuka hati. Kalaulah tidak hari kiamat nescaya kamu akan lihat lain dari apa yang kamu lihat sekarang.

Satu hakikat pembelajaran yang lumrah di sekolah ialah murid kerap dipengaruhii oleh sifat, kebiasaan dan akhlak guru. Sekiranya guru mempunyai akhlak yang baik murid ikut terpengaruh dengan akhlak ini. Demikianlah sebaliknya. Pandangan negatif murid bukan setakat terhad kepada guru tetapi juga mungkin menjangkau kepada pelajaran, kepada sekolah dan seterusnya kepada sistem persekolahan keseluruhannya.

Displin sekolah hendaklah dilaksanakan dengan semangat kerjasama. Guru besar, nazir, guru, murid malah ibubapa hendaklah sama-sama berperanan. Ini bermakna harus ada penerimaan dan permuafakatan tentang polisi dan cara-cara merealisasikannya seboleh-bolehnya dari semua pihak agar masing-masing melindungi dan mempertahankannyanya.

Usaha mengatasi masalah di sekolah hendaklah dengan menghapuskan sebab-sebab pokok atau punca dari mana datangnya permasalahan itu. Ini termasuk menghapuskan suasana yang membantu atau menyokong salah laku dari murid . Di samping itu juga penyelesaian boleh di usahakan dengan mengambil langkah pencegahan dan mengujudkan suasana yang lebih positif. Ini di dasarkan kepada prinsip "mencegah lebih baik dari merawat".

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh sekolah dalam membangun akhlak ialah dengan mengadakan kempen menyedarkan murid tentang keperluan menghormati disiplin sekolah, menerangkan tentang mengapa suatu disiplin itu dibuat dan memperbanyakkan aktiviti sekolah dengan mempelbagaikannya, menggunakan atau memenuhi masa lapang murid, menghubung-kaitkan sukatan pelajaran dengan keperluan diri dan masyarakat mereka dan langkah-langkah yang lain.

8- Peranan rakan sebaya

Antara agen sosial yang berpengaruh di dalam membentuk sikap dan akhlak individu ialah rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan kelompok rujukan bagi remaja di dalam tingkah laku mereka. Perasaan "sense of belonging" kepada kumpulan adalah suatu yang lumrah. Remaja akan mengubahsuai dan mengadaptasikan nilai-nilai rakan sebayanya untuk mendapat penerimaan dan pengakuran mereka. Remaja memang menyedari adanya jurang generasi antara mereka dengan kumpulan dewasa dan mereka sering berhadapan masalah dalam mewujudkan hubungan dengan generasi yang lebih tua.

Oleh kerana itu golongan remaja umpamanya sering merujuk rakan sebaya dan kelompok sosial tertentu untuk mendapat bimbingan ke arah menyelesaikan masalah mereka. Kesilapan di dalam memilih kelompok rakan setara samada bersahabat dengan penagih dadah, kutu lepak, gangster atau kumpulan samseng, bohsia dan sebagainya pasti akan mengakibatkan kemusnahan akhlak golongan remaja dan dewasa .Rasulullah SAW bersabda: " Bagaimanakah nanti keadaan kamu jika kaum wanita kamu melampaui batas, pemuda kamu bersikap liar dan kamu meninggalkan jihad. Sahabat bertanya: Adakah keadaan begitu akan berlaku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Demi Allah yang nyawa aku di tangannya, yang lebih buruk dari itu akan berlaku . Bagaimanakah nanti keadaan kamu jika kamu meninggalkan amar ma'ruf dan nahy anil mungkar. Sahabat bertanya: Adakah keadaan begitu akan berlaku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Demi Allah yang nyawa aku di tangannya, yang lebih buruk dari itu akan berlaku. Bagaimanakah nanti keadaan kamu jika kamu menanggapi yang ma'ruf itu sebagai mungkar dan yang mungkar itu sebagai ma'ruf. Sahabat bertanya: Adakah keadaan begitu akan berlaku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Demi Allah yang nyawa aku di tangannya, yang lebih buruk dari itu akan berlaku. Bagaimanakah nanti keadaan kamu jika kamu melakukan yang mungkar dan meninggalkan yang ma'ruf dan menanggapi yang ma'ruf itu sebagai mungkar dan yang mungkar itu sebagai ma'ruf. Sahabat bertanya: Adakah keadaan begitu akan berlaku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Demi Allah yang nyawa aku di tangannya, yang lebih buruk dari itu akan berlaku. Bagaimanakah nanti keadaan kamu jika kamu menyuruh yang mungkar dan mencegah yang ma'ruf. Sahabat bertanya: Adakah keadaan begitu akan berlaku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Demi Allah yang nyawa aku di tangannya, yang lebih buruk dari itu akan berlaku. Allah berfirman: "Aku akan turunkan fitnah konflik kepada mereka sehingga orang yang paling sabar di kalangan mereka kebingungan".

9- Peranan rumah ibadah

Antara rumah ibadat yang paling penting dalam Islam ialah masjid. Di sinilah umat Islam sering berkumpul untuk menyembah Allah secara berjama'ah. Sebab itulah di mana sahaja dalam negara umat Islam; bahkan di kota-kota besar dunia kedapatan bangunan masjid yang berbagai bentuk dan rupa. Ada yang kecil dan ada pula yang besar. Masjid sentiasa menjadi lambang kemegahan umat dan pemerintah Islam. Sebagai tempat ibadah masjid mempunyai peranan dan pengaruh yang besar dalam meneruskan penghayatan nilai-nilai akhlak dalam masyarakat Islam. Kelangsungan budaya, cara hidup dan syiar Islam lumrahnya diperkukuhkan oleh institusi ini. sebab itu perkara yang pertama dilakukan oleh Rasulullah SAW. ketika baginda berhijrah ke Madinah al Munauwarah ialah membina Masjid Quba' dan Masjid Nabawi.

Ilmu yang dipelajari di masjid pada masa dahulu bersepadu dengan nilai tauhid, ruh Islam dan akhlak . Ia mengimbaukan ketakwaan dan mengukuhkan ubudiah manusia kepada Allah . Ilmu yang dipelajar membawa berkat dan meningkatkan ciri khasyatullah atau takut kepada Allah. Sebab itu lahir para ulama dan ilmuan yang jujur, soleh dan dedikasi. Apabila semangat dan imbauan seperti ini sudah tiada lagi ilmu disalut dengan semangat kebendaan dan keserakahan manusia. Sebab itu muncullah ilmuan-ilmuan sekular yang amat benci kepada Islam dan ajaran Allah itu sendiri .

Ada berbagai bentuk kegiatan keilmuan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh dijalankan di dalam atau dipekarangan masjid untuk tujuan mengukuhkan akhlak dan syakhsiyah umat . Antaranya ialah:

Kelas Fardu Ain,Kelas Tajuid & Qiraat,Kelas Bimbingan Remaja,Kelas Bahasa Arab,Ceramah Berkala,Seminar Motivasi dan Pembentukan Syakhsiah,Kursus Rumahtangga Bahagia,Kursus Pengurusan Jenazah,Madrasah atau Sistem Pengajian Formal,Kursus Dakwah dan Imamah,Acara Tadarus al-Quran,Khemah Ibadan & Qiamullail,Kursus Pengurusan Masjid,Kegiatan Amr Ma'ruf& Nahi Munkar,Seminar Pengurusan Sumber Masjid,Kempin Memakmurkan Masjid,Membentuk organisasi Belia Masjid(Rakan Masjid) dan seumpamanya.


tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak umat adalah suatu tanggongjawab besar. Ia tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusian yang tinggi. Ia harus bermula dengan melahirkan para pemimpin umat yang berakhlak, beriman dan bertakwa. Pemimpin yang mempunyai iltizam yang tidak berbelah bagi kepada set-set nilai akhlak Islam. Mereka tentulah manusia yang mempunyai keruhanian yang amat tinggi, amalan-amalan ruhaniah yang ma'thur dari Rasulullah s.a.w . Mereka mewarisi ciri perjuangan Rasulullah yang diutus untuk membangun akhlak ummat Islam.

Allah Ta'ala berfirman,yang bermaksud:

"Siapa yang ingkar dari menurut peringatanKu ia akan hidup menderita . Kelak Aku akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam kaadaan buta .."

(Surah Taha : 124)


Wallahu'alam....

Artikel "PEMBANGUNAN AKHLAK UMMAH" yang tersiar di halaman hasnulhadiahmad.blogspot.com para pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat hasnulhadiahmad.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan.

Salahuddin Al-Ayyubi


Salahuddin al-Ayyubi (Arab: صلاح الدين الأيوبي / Ṣalāḥ al-Dīn al-Ayyubīy‎, bahasa Kurdi:
سه‌لاحه ‌دينێ ئه ‌يووبى / Silhedînê Eyûbî, Parsi: صلاح الدین ایوبی, Turki: Selahaddin Eyyubi) atau nama sebenarnya Yusuf bin Ayyub (1137 -1193) mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurdis di Mesir dan Syria. Di Barat beliau dikenali sebagai Saladin. Dia juga terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib.

Kebangkitan

Salahuddin dilahirkan di dalam sebuah keluarga Kurdish di Tikrit dan dihantar ke Damsyik untuk menghabiskan pelajarannya. Ayahnya, Najm ad-Din Ayyub, ialah gabenor wilayah Baalbek. Selama 10 tahun Salahuddin tinggal di Damsyik di kawasan istana milik Nur ad-Din.

Salahuddin menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya, Shirkuh yang juga ketika itu merupakan panglima kepada Nur al-Din dan sering mewakili Nur al-Din dalam kempennya menentang Kerajaan Fatimiyyah di Mesir sekitar tahun 1160. Salahuddin kemudiannya mewarisi tugas menentang Kerajaan Fatimiyyah (akhirnya tumpas) daripada bapa saudaranya dan dilantik menjadi panglima pada tahun 1169. Di sana, dia mengambil alih tugas sukar mempertahankan Mesir daripada diserang tentera Salib dibawah Kerajaan Latin Baitulmuqaddis pimpinan Almaric I. Kemampuan Salahuddin diragui pada peringkat awal perlantikkannya sebagai panglima. Tiada sesiapa yang menyangka beliau dapat bertahan lama ekoran terdapat banyak perubahan dalam kerajaan dalam tahun sebelumnya seperti perebutan kuasa oleh gabenor-gabenor yang sedia ada dalam mendapat perhatian khalifah. Sebagai seorang ketua tentera asing dari Syria, Salahuddin tiada kuasa ke atas askar-askar Mesir yang terdiri daripada golongan Syiah yang ketika itu dipimpin oleh Khalifah Al-Adid.

Apabila khalifah itu meninggal dunia pada bulan September 1171, Salahuddin mengarahkan para imam mengumumkan nama Khalifah Al-Mustadi (Khalifah Abbasiyyah di Baghdad) semasa solat Jumaat. Sekarang, walaupun Salahuddin yang memerintah Mesir tetapi hanya sebagai wakil Nur ad-Din. Selepas dilantik menjadi pemimpin Mesir, Salahuddin melakukan perubahan terhadap ekonomi Mesir, menyusun semula angkatan tentera, dan menuruti nasihat ayahnya supaya mengelak daripada sebarang konflik dengan Nur ad-Din. Beliau menunggu sehingga Nur ad-Din meninggal dunia sebelum memulakan beberapa siri kempen ketenteraan. Pada awalnya terhadap beberapa kerajaan-kerajaan Muslim yang kecil kemudian ke atas tentera Salib. Dengan kewafatan Nur ad-Din pada tahun 1174, beliau menjadi Sultan Mesir. Beliau kemudian mengisytiharkan kemerdekaan daripada kerajaan Seljuk dan mengasaskan Kerajaan Ayubbiyyah. Beliau turut mengembalikan ajaran Sunah Waljamaah di Mesir.

Menentang tentera Salib

Dalam dua peristiwa berbeza iaitu pada tahun 1171 dan 1173, Salahuddin berundur setelah satu siri serangan oleh tentera Salib. Salahuddin berharap bahawa kerajaan Salib ini tidak diganggu selagi beliau tidak menguasai Syria. Nur ad-Din dan Salahuddin hampir-hampir berperang akibat daripada peristiwa tetapi dengan wafatnya Nur ad-Din pada 1174, perang ini dapat dielakkan. Waris Nur ad-Din iaitu as-Salih Ismail al-Malik hanya seorang kanak-kanak ketika dilantik bagi menggantikan ayahnya. Walau bagaimanapun dia meninggal dunia pada tahun 1181.

Sejurus selepas Nur ad-Din meninggal dunia, Salahuddin berarak ke Damsyik, dan setibanya beliau di sana, dia diberi sambutan sambutan yang meriah. Dia mengukuhkan kedudukannya dengan mengahwini balu Nur ad-Din. Walaupun Salahuddin tidak memerintah Aleppo dan Mosul (dua bandar yang pernah dikuasai Nur ad-Din), beliau dapat menggunakan pengaruhnya dan menguasai kedua bandar itu pada tahun 1176 (Aleppo) dan 1186 (Mosul).

Sementara Salahuddin Al-Ayubbi menumpukan perhatiannya ke atas wilayah-wilayah di Syria, negeri-negeri Salib dibiarkan bebas, walaupun begitu beliau sering mencatatkan kemenangan ke atas tentera Salib di mana saja kedua-dua belah pihak bertempur. Beliau bagaimanapun tumpas dalam Perang Montgisard yang berlaku pada 25 November, 1177. Dia ditewaskan oleh gabungan tentera Baldwin IV dari Baitulmuqaddis, Raynald dari Chatillon dan Kesatria Templar.

Keamanan di antara Salahuddin dan negeri-negeri Salib tercapai pada 1178. Salahuddin meneruskan serangannya pada 1179 selepas daripada kekalahannya dalam Perang Montsigard, dan dalam serangannya ke atas sebuah kubu kuat tentera Salib beliau berjaya menumpaskan tentera Salib. Walau bagaimanapun, tentera Salib terus menyerang orang-orang Muslim. Raynald dari Chatillon mengganggu laluan perdagangan dan haji orang Islam dengan kapal-kapal laut di Laut Merah. Raynald juga mengancam menyerang kota suci Islam yakni Kota Mekah dan Madinah menjadikannya orang paling dibenci dalam dunia Islam. Sebagai tindak balas, Salahuddin Al-Ayubbi menyerang Kerak, sebuah kubu Raynald pada tahun 1183 dan 1184. Raynald kemudian menyerang dan membunuh kabilah yang dalam perjalanan untuk menunaikan haji pada tahun 1185.

Dalam bulan Julai tahun 1187, Salahuddin menyerang negeri-negeri Salib. Pada 4 Julai 1187, beliau bertempur dalam Pertempuran Hattin menentang gabungan kuasa Guy dari Lusignan (sebutan gi bukan guy), raja negeri-negeri Salib, dan Raymond III dari Tripoli. Tentera Salib yang letih dan dahagakan air mudah ditumpaskan oleh tentera Salahuddin. Kekalahan tentera Salib ini membei tamparan yang besar buat mereka dan menjadi satu titik perubahan dalam sejarah Perang Salib. Salahuddin berjaya menangkap Raynald dan beliau sendiri memancung kepala Raynald akibat kesalahannya. Raja Guy juga berjaya ditangkap tetapi beliau tidak dipancung.

Timur Tengah, c. 1190. Empayar Salahuddin Al-Ayubbi dan wilayah kuasaannya ditunjukkan dalam warna merah; wilayah yang berjaya ditawan daripada tentera Salib dalam warna merah jambu. Warna hijau muda menandakan wilayah yang masih dikuasai tentera Salib.

Selepas tamatnya Perang Hattin, Salahuddin berjaya merampas kembali hampir keseluruhan kota-kota yang dikuasai tentera Salib. Beliau berjaya menawan semula Baitulmuqaddis (Jerusalem) pada 2 Oktober tahun 1187 selepas hampir 88 tahun kota itu dikuasai tentera Salib, Kecuali bandar Tyre tidak ditawan Salahuddin. Salahuddin membenarkan tentera dan masyarakat Kristian pergi ke sana. Kota itu sekarang diperintah oleh Conrad dari Montferrat. Dia mengukuhkan pertahanan Tyre dan berjaya menahan dua kepungan yang dilakukan oleh Salahuddin.

Pada tahun 1188, Salahuddin membebaskan Guy dari Lusignan dan menghantar beliau kembali kepada isterinya iaitu Sibylla dari Baitulmuqaddis.

Perang Hattin dan kejayaan tentera Islam menawan semula Baitulmuqaddis mengakibatkan terjadinya Perang Salib Ketiga yang dibiayai di England melalui cukai khas yang dikenali sebagai "Cukai Salahuddin". Tentera Salib ini berjaya menawan semula Acre, dan tentera Salahuddin bertempur dengan tentera Raja Richard I dari England digelar dengan THE LION HEART (Richard Si Hati Singa) dalam Perang Arsuf pada 7 September 1191. Kedua-dua belah pemimpin baik Salahuddin mahupun Richard amat menghormati antara satu sama lain. Mereka juga pernah bercadang untuk berdamai dengan mengahwinkan adik perempuan Richard, Joan dari England kepada adik lelaki Salahuddin, Al-Adil, dengan kota Baitulmuqaddis menjadi hantarannya. Rundingan ini gagal ekoran kebimbangan berhubung hal-hal agama di kedua-dua belah pihak.

Kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan dalam Perjanjian Ramla pada tahun 1192 yang mana kota Baitulmuqaddis akan terus berada dalam tangan orang Islam tetapi dibuka kepada penganut-penganut Kristian. Perjanjian itu menjadikan negeri-negeri salib hanyalah gugusan kecil di sepanjang pesisir pantai Tyre hingga ke Jaffa.

Salahuddin Al-Ayubbi wafat pada 4 Mac 1193 di Kota Damsyik tidak lama selepas pemergian Raja Richard. Apabila mereka membuka peti simpanan Salahuddin untuk membiayai upacara pengebumiannya, mereka mendapati ia tidak cukup (diriwayatkan Salahuddin hanya meninggalkan sekeping wang emas dan empat wang perak semasa kematiannya.

Ada juga riwayat yang menyebut wang itu henyalah wang 5 Dinar) . Salahuddin telah memberikan hampir kesemua hartanya kepada rakyat-rakyatnya yang miskin. Makamnya yang terletak di Masjid Ummaiyyah merupakan tumpuan tarikan pelancong yang terkenal. Makamnya adalah antara makam yang sering dikunjungi umat Islam di seluruh dunia.

Sungguhpun menerima tentangan hebat dari masyarakat Kristian Eropah, Salahuddin mendapat reputasi besar di Eropah sebagai seorang kesatria yang berjaya, sehinggakan wujudnya pada abad ke-14 sastera epik mengenai kejayaannya, dan Dante meletakkannya di kalangan roh baik dalam Limbo. Salahuddin muncul sebagai sebuah watak dalam karya tulisan Sir Walter Scott iaitu The Talisman (1825). Walaupun disebalik peristiwa penyembelihan orang-orang Islam termasuklah wanita dan kanak-kanak semasa tentera Salib menawan Baitulmuqaddis pada tahun 1099, Salahuddin memberi jaminan keselamatan perjalanan dan nyawa kepada semua masyarakat Kristian Katolik dan juga kepada tentera salib Kristian yang kalah (masyarakat Greek Ortodoks dilayan dengan lebih baik kerana mereka menentang tentera Salib).

Satu pandangan menarik tentang Salah al-Din dan dunia yang didiaminya dapat dibaca dalam novel Buku Salahuddin Al-Ayubbi (London: Verso, 1998) karya Tariq Ali.

Walaupun berbeza kepercayaan, Salahuddin Al-Ayubbi amat dihormati di kalangan para bangsawan Kristian terutamanya Raja Richard. Raja Richard pernah memuji Salahuddin sebagai seorang putera agung dan merupakan pemimpin paling hebat dalam dunia Islam. Salahuddin juga memuji Richard dengan berkata bahawa beliau lebih rela Baitulmuqaddis jatuh ke tangan Richard daripada jatuh ke tangan orang lain. Selepas perjanjian damai ditandatangani, Richard dan Salahuddin bertukar-tukar hadiah di antara satu sama lain sebagai lambang kehormatan. Walau bagaimanapun kedua-dua pemimpin ini tidak pernah bersua muka.

Makam Salahuddin al-Ayyubi









Makam Salahuddin Al-Ayubbi berdekatan dengan Masjid Ummaiyyah, Damsyik, Syria.Salahuddin Al-Ayubbi dikebumikan di sebuah makam yang terletak di taman sebelah luar Masjid Ummaiyyah di Damsyik, Syria. Maharaja Wilhelm II dari Jerman mendermakan batu marmar baru kepada makam tersebut. Jenazah Salahuddin bagaimanapun tidak ditempatkan di situ. Sebaliknya makam itu mempunyai dua kubur iaitu satu kubur kosong diperbuat daripada marmar dan satu kubur mengandungi jenazah Salahuddin yang diperbuat daripada kayu.




Wallahu'alam....


Oleh: Mohd Faizal Mohd Nan


Artikel "SALAHUDDIN AL-AYYUBI" yang tersiar di halaman hasnulhadiahmad.blogspot.com para pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat hasnulhadiahmad.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan,hendaklah memohon keizinan terlebih dahulu.

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...