KENALI SYEIKH ABDUL HALIM MAHMUD

Syeikh Abdul Halim Mahmud adalah Imam besar al-Azhar pada tahun 1973,lahir pada 12 Mei 1910,bersamaan 2 Jamadil Awal 1328 hijrah di desa Abou Ahmed, di kawasan Pentadbiran Bilbeis Sharqeya, 50 kilometer timur laut Kaherah, Mesir

Sifat dan kejahatan Yahudi dalam Al-Quran

“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.” [ Al-Maidah (5):82].

VIDEO KLIP DALAM KA'BAH

Di dalam Ka`bah terdapat 3 buah tiang yang dibuat daripada kayu, berwarna merah kekuningan. Menurut sejarah, tiang itu dipasang oleh Abdullah bin Zubair r.a.

VIDEO KLIP PERANG SINAI (Mesir) 1967-1973

Mimpi yang benar oleh mantan Syeikh Al-Azhar,Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud,mengenai bagaimana strategi melawan tentera Israel.

KISAH-KISAH DALAM AL-QURAN BUKTI MUKJIZAT

Al-Qur’an adalah Kalam Allah S.W.T. yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. sebagai risalah Tuhan Yang Maha Agung.

Memaparkan catatan dengan label Ibadah Puasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ibadah Puasa. Papar semua catatan

10 Keistimewaan Orang Yang Berpuasa

Sayyid Muhammad bin Alwi Al Maliki mengatakan orang yang berpuasa mempunyai 10 keutamaan yang diberikan Allah, di antaranya ialah:

Pertama, Allah memberikan keistimewaan kepada umat yang berpuasa dengan menyediakan satu pintu khusus di surga yang dinamai Al Rayyan. Pintu surga Al Rayyan ini hanya disediakan bagi umat yang berpuasa.

Kata Nabi dalam satu haditsnya, pintu Rayyan hanya diperuntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadhan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. (HR. Ahmad dan Bukhari-Muslim).

Kedua, Allah telah mengfungsikan puasa umat Nabi Muhammad saw sebagai benteng yang kukuh dari siksa api neraka sekaligus tirai penghalang dari godaan hawa nafsu.Dalam hal ini Rasul bersabda, “Puasa (Ramadhan) merupakan perisai dan benteng yang kukuh dari siksa api neraka.” (HR. Ahmad dan Al Baihaqi).

Ketiga, Allah memberikan keistimewaan kepada ahli puasa dengan menjadikan bau mulutnya itu lebih harum dari minyak misik( haruman kasturi). Sehingga Rasul bertutur demikian, “Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih semerbak di sisi Allah dari bau minyak misik.”

Keempat, Allah memberikan dua kebahagiaan bagi ahli puasa yaitu bahagia saat berbuka dan pada saat bertemu dengan Allah kelak. Orang yang berpuasa dalam santapan bukanya meluapkan rasa syukurnya dimana bersyukur termasuk salah satu ibadah dan zikir. Syukur yang terungkap dalam kebahagiaan kerana telah diberi kemampuan oleh Allah untuk menyempurnakan puasa di hari tersebut sekaligus berbahagia atas janji pahala yang besar dari-Nya. “Orang yang berpuasa mempunyai dua kebahagiaan. iaitu berbahagia dikala berbuka dan dikala bertemu Allah,” kata Rasul dalam hadits riwayat imam Muslim.

Kelima, puasa telah dijadikan oleh Allah sebagai medan untuk menjaga kesihatan dan sembuh dari pelbagai penyakit. “Berpuasalah kalian, nescaya kalian akan sihat.” (HR. Ibnu Sunni dan Abu Nu`aim).

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Qs. Al Baqarah: 183).

Keenam, keutamaan berikutnya yang Allah berikan kepada ahli puasa adalah dengan menjauhkan wajahnya dari siksa api neraka. Matanya tak akan sampai melihat marak api neraka dalam bentuk apapun juga. Rasulullah S.A.W. berkata demikian, “Barangsiapa berpuasa satu hari demi di jalan Allah, dijauhkan wajahnya dari api neraka sebanyak (jarak) tujuh puluh musim.” (HR. Ahmad, Bukhari-Muslim, dan Nasa`i).

Ketujuh, dalam Al Quran Allah berfirman yang bermaksud: “(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).” (Qs. At Taubah: 112).

Firman Allah Ta'ala lagi:

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (Az-Zumar: 10)

Kata Al Maliki, orang-orang yang bersabarlah maksudnya adalah orang yang berpuasa sebab puasa adalah nama lain dari sabar. Di saat berpuasalah, orang-orang yang bersabar (dalam beribadah puasa) memperoleh ganjaran dan pahala yang tak terhitung banyaknya dari zat Yang Maha Pemberi, Allah s.w.t.

Kelapan, di saat puasa inilah Allah memberi keistemewaan dengan menjadikan segala aktiviti orang yang berpuasa sebagai ibadah dan ketaatan kepada-Nya. Kerananya, orang yang berpuasa dan ia meninggalkan ucapan yang tidak berguna (diam) adalah ibadah serta tidurnya dengan bertujuan agar kuat dalam melaksanakan ketaatan di jalan-Nya jugalah ibadah.

Dalam satu hadits riwayat Ibnu Mundih dinyatakan, “Diamnya orang yang berpuasa adalah tasbih, tidurnya merupakan ibadah, dan doanya akan dikabulkan, serta perbuatannya akan dilipat gandakan (pahalanya).”

Kesembilan, di antara cara yang Allah kenakan dalam memuliakan orang yang berpuasa, bahawa Allah menjadikan orang yang memberi makan berbuka puasa pahalanya sama dengan orang yang berpuasa itu sendiri meskipun,walaupun dengan sepotong roti atau seteguk air.

Dalam satu riwayat Nabi bersamda: seseorang yang memberi makan orang yang puasa dari hasil yang halal, akan dimintakan ampunan oleh malaikat pada malam-malam Ramadhan…… meskipun hanya seteguk air. (Hr. Abu Ya`la).

Kesepuluh, orang yang berbuka puasa dengan berjamaah demi melihat keagungan puasa, maka para malaikat akan berselawat (memintakan ampunan) baginya.



Wallahu'alam....

Kelebihan Bulan Ramadhan


1) Kamu akan di naungi Ramadhan. (bagi yg telah meninggal dunia terlepas dari seksa kubur
2) Bulan penuh keberatan.
3) Di malamnya ada lebih baik drpd 1000 bulan.
4) Amal sunat sama dengan solat fardhu.
5) Manakala solat fardhu mendpt 70 kali ganda.
6) Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga.
7) Bulan menambah rezeki.
8) Memberi buka banyak pahala.
9) Bulan keampunan - doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa; juga doa pada sepertiga malam.
10) 10 hari pertama adalah mulanya rahmat, 10 hari pertengahan - pengampunan, 10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka

* Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.

(Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi)

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.

(Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.

(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).

( Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi)

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.

(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Penerangan Hadis

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

7. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

8. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

9. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

10. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Biografi

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2.
Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani

3.
Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.


Wallahu'alam....

PUASA BAGI ORANG-ORANG YANG TAKWA

Mencapai martabat orang-orang yang bertaqwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah: 183)

Di antara huraian atau maksud “Supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa” ialah: Orang-orang yang beriman dilarang makan dan minum dan dilarang bersetubuh ketika berpuasa, ialah kerana terdapat hikmah dan faedah yang besar dalam larangan itu. Yang pertama ialah latihan mengendalikan diri. Kalau di sepanjang waktu umat Islam dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa makanan yang halalpun dilarang. Orang yang beriman akan dapat menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia meyakini bahawa Allah sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik iradat serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang nafsunya. Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat faraj (kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi kebinatangan. Tetapi apabila dapat dikendalikan khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya ke tingkat ketaqwaan.

Mudah-mudahan kelebihan puasa sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Allah ‘azzawajalla berkata: “Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Daripada maksud hadis di atas diharapkan akan mendorong seseorang itu untuk menghidupkan Ramadhan supaya tercapai pula keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”

(Hadis riwayat Bukhari)


Wallahu'alam....

MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan-kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan-kewajipan bathiniyahnya. Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan bathiniyah puasa itu antara lain seperti berikut:

1) Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

2) Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria.

3) Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya:

Tafsirnya: “Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.”

(Surah Al-Ma’idah: 42)

4) Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).

5) Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah dan melawan syahwat, kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam-ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya.

Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibuang, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka dia terlindung daripada kerajaan langit.

6) Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Oleh kerana itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat-syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara-perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang-orang yang taqwa sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah: 183)


Wallahu'alam....

KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADAN

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan di dalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan saja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dengan apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup.

Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”

(Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Adapun kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar shadiq hingga terbenam matahari, bahkan hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi peringatan dalam hal ini sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga.”

(Ditakhrijkan oleh Ibnu Majah)


• Ketibaannya Ramadan menyeru umat islam di seluruh pelusuk dunia serentak mengerjakan puasa dalam satu masa tertentu. Kesatuan hati dan niat tulus ikhlas ini dilakukan semata-mata untuk mengabdikan terhadap Allah SWT.

• Dengan diwajibkan berpuasa, semua golongan islam, kaya, miskin, berada dan tidak berada terpaksa menempuh ujian yang sama. Dengan berpuasa menimbulkan keinsafan dan perasaan bertimbang rasa serta kasih-mengasihi sesama umat islam.

• Amalan berpuasa melahirkan jiwa insan yang selalu taat kepada Allah, jesteru itu akan lahir pula ketenangan jiwa dan ketakwaan.

• Dari segi kesihatan, perut yang melalui proses berpuas dapat dibersihkan, sekalli gus beberapa penyakit yang terdapat di dalam tubuh badan manusia dapat diatasi.

• Puasa itu disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai separuh daripada kesabaran.

• Orang yang berpuasa lebih disayangi Allah SWT, selamat daripad api neraka dan menghapuskan dosa-dosa kecil.

• Kedatangan Ramadan ada keistimewaannya kerana dianjurkan ibadah solat tarawih, disamping itu diwajibkan juga zakat fitrah (badan) keatas golongan yang mampu sebagai satu kewajipan membantu insan muslim yang lain, khususnya mereka yang daif.

• Diriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW :


من صام رمضان ايمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه

Maksudnya : “ sesiapa berpuas Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

• Ketibaan Ramadan menandakan terbukanya pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan.

• Malam Nuzul al-Quran (17 Ramadan ) merupakan saat penting al-Quran diturunkan dari langit ke dunia untuk menjadi pedoman manusia hingga akhir zaman.

• Terdapat Lailatul Qadar iaitu satu malam padanya terdapat saat keberkatan menyamai 1000 bulan (83 tahun 3 bulan) ganjaran pahalanya daripada Allah SWT.


Wallahu'alam....

Tujuh Jenis Puasa Sunat Amalan Rasulullah SAW

Puasa enam hari pada Syawal - Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan kemudian meneruskannya dengan enam hari pada bulan Syawal, akan mendapat ganjaran seolah-olah dia berpuasa setahun. (Riwayat Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Ibn Majah). Ibnu Qudamah menyebut dalam kitabnya, Mughni riwayat Said dari Sauban r.a, berkata sabda Rasul SAW: “Sesiapa berpuasa Ramadan sebulan bersamaan sepuluh bulan dan puasa enam hari pada Syawal, maka sempurnalah setahun”. Ini bermakna satu kebajikan digandakan sepuluh dan enam hari dengan ganjaran enam puluh hari, Demikianlah dua belas bulan, iaitu setahun. (Mughni 3/173). Imam Nawawi ketika mengulas hadis di atas berkata, “Ini adalah bukti jelas bagi Imam Syafie, Imam Ahmad dan Daud menjadi alasan menggalakkan kita berpuasa enam hari dalam bulan Syawal”. (Syarah Muslim 8/56). Ulama berbeza pendapat mengenai puasa berturut-turut atau sebaliknya. Pengarang kitab Al Hidayah dan lain-lain menyarankan supaya dilakukan berturut-turut. Namun, Imam Abu Hanifah dan sebahagian daripada ulama mazhab Syafie antaranya Abu Yusuf dan lain-lain mengatakan bahawa dipisahkan adalah lebih baik dan disunatkan kerana dapat membezakan dengan puasa penganut Kristian dan juga dapat meraikan kaum keluarga. (Maarif Sunan Syarah Tarmizi 6/121).

Puasa Muharam - Dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas Ramadan ialah puasa bulan Muharam dan sebaik-baik solat selepas solat lima waktu ialah solat malam. (Muslim 1/474). Waktu yang terbaik ialah pada 9 dan 10 hari bulan. Ia berlaku sepanjang Muharam dan 10 Muharam mempunyai hak khusus tersendiri.

Puasa Hari-Hari Putih - Iaitu pada 13,14 dan 15 setiap bulan Islam. Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan dengan tiga perkara: Puasa tiga hari setiap bulan, dua rakaat solat Duha dan solat witir sebelum tidur (Hadis Bukhari). Syekh Ruyani berpendapat bahawa berpuasa tiga hari setiap bulan adalah sunat dan lebih afdal jika bertepatan dengan hari-hari putih (13,14 dan 15 setiap bulan Islam). Ia dinamakan hari-hari putih kerana keceriaan malamnya dengan pancaran bulan penuh. (AlMughni 3/177) Dari Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah pada setiap bulan, tiga hari kerana satu kebajikan digandakan sepuluh kali ganda. Yang demikian itu seumpama kita berpuasa setahun. (Hadis Bukhari, Muslim). Dalam riwayat lain sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sesiapa berpuasa Ramadan bersama tiga hari setiap bulan akan mendapat pertolongan pada hari yang sangat dahaga ia hari Mahsyar.

Puasa hari Arafah pada 9 Zulhijjah - Dari Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa hari Arafah. Jawab Baginda: “Pengampunan dosa bagi tahun lalu dan tahun akan datang. (Hadis Muslim 1/473). Bagi berwukuf di Arafah pula kebanyakan ulama sepakat mengatakan bahawa mereka sunat berbuka puasa. Imam Hanafi dan Maliki berpendapat adalah makruh bagi jemaah haji yang berpuasa pada hari wukuf dan hari tarwiyah (8 Zulhijjah). Imam Hambali pula berpendapat bahawa sunat berpuasa bagi jemaah haji jika mereka berwukuf pada waktu malam dan makruh bagi mereka yang wukuf siang hari. Bagi Mazhab Syafie pula bagi penduduk Makkah yang berwukuf pada siang hari, berpuasa adalah tidak digalakkan dan harus bagi yang berwukuf di sebelah malam. (Fiqh 4 Mazhab 1/505). Adapun puasa Arafah sudah diketahui umum bagi semua yang mengerjakan haji atau sebaliknya. (Fath 4/237).

Puasa hari Asyura (10 Muharam) - Dari Abdullah Bin Abbas ra bahawa ketika Rasulullah SAW sampai ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi bertanya, “Apakah gerangan hari ini sehingga kamu berpuasa?“. Maka mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang besar di mana Musa diselamatkan dari kaumnya, tenggelamnya Firaun dan kaumnya. Musa berpuasa kerana mensyukuri dan kami berpuasa”. Selepas mendengar itu Nabi SAW pun bersabda, “Kami lebih utama berpuasa dari kamu dan Nabi SAW berpuasa dan menganjurkan kita berpuasa”. Dalam riwayat Abu Qatadah ra bahawa apabila Nabi SAW ditanya mengenai puasa Asyura beliau menjawab, “Mendapat keampunan setahun yang lampau”. (Hadis Muslim 1/459). Dalam riwayat lain sabda Nabi SAW, “Puasalah hari kesembilan dan kesepuluh, janganlah kamu samakan dengan kaum Yahudi. Ada yang berkata, berpuasa 9 Zulhijah sudah memadai kerana dosa dua tahun sudah terhapus. Sheikh Abd Hamid berpendapat bahawa dosa adalah seperti ‘air sungai yang mengalir’. Oleh itu, puasa dan taubat adalah ubat mujarab untuk dosa berkenaan. Ada dosa yang tidak diampun kecuali dengan puasa Asyura. Begitulah sebaliknya dan tiada yang mengetahuinya melainkan Allah SWT.

Puasa Isnin dan Khamis - Dari Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa Isnin dan Khamis. Baginda menjawab: “Padanya aku dilahirkan dan padanya mula-mula diturunkan wahyu padaku. (HR Muslim 1/474). Dalam riwayat Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa”. (Hadis Tarmizi). Dalam riwayat lain daripada sebahagian isteri Baginda ada mengatakan bahawa Rasulullah SAW berpuasa 9 dan 10 Zulhijjah, tiga hari setiap bulan Islam serta Isnin dan Khamis pada setiap minggu. (Hadis Abu Daud)

Puasa Nabi Daud AS - Rasulullah SAW bersabda: “ Tidak ada puasa yang lebih baik selain puasa Nabi Daud AS. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Hadis Bukhari). Dalam hadis lain, Rasul SAW bersabda: “Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud AS. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari. Dia juga tidur dan menggunakan satu pertiga malamnya saja untuk berqiamullail. (Hadis Nasai, Abu Daud).


Untuk makluman, semua puasa sunat berkenaan dilarang bagi yang bergelar isteri kecuali mendapat keizinan suami masing-masing kerana menunaikan hajat suami adalah wajib. Maka hukum syarak mengatakan hendaklah didahului yang wajib.


Wallahu'alam....

Video Klip Malam 27 Ramadhan Di Mesir & Rahmat Lailatul Qadar



Rahmat Lailatul Qadar

LAILATUL Qadar atau Malam Al-Qadar diketahui umum sebagai malam yang sungguh istimewa buat seluruh umat Islam. Ia jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan.” (surah al-Qadr)

Pada malam Lailatul Qadar, Rasulullah SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam lain sepanjang Ramadan.

Ini berdasarkan hadis Muslim Nabi SAW beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana malam lain.

Selain itu, hadis riwayat Bukhari dan Muslim menjelaskan Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam Al-Qadar darinya (malam-malam Ramadan).

Malah keistimewaan Lailatul Qadar turut disokong satu lagi hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadan, Rasulullah menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana sangat sibuk dengan ibadat yang khusus).”

Para ulama, antaranya Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut bahawa tarikh malam Lailatul Qadar sengaja disembunyikan oleh Allah SWT supaya umat manusia berusaha bersungguh-sungguh mencarinya.

Bagaimanapun, ada disebutkan di dalam hadis sahih tanda kemunculan malam terhebat ini iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampau panas dan tidak pula sejuk serta matahari pula tidak memancarkan sinaran.

Tanda-tanda ini tidak begitu penting bagi individu yang benar-benar beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberi manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas jika tanda itu dikenal pasti pada keesokannya.

Malah, tanda ini juga sangat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah tempat adalah berlainan.

Di negara Barat contohnya, cuaca di sana mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk atau musim bunga, manakala di Afrika pula mungkin mengalami keadaan panas.

Persoalannya, adakah malam Al-Qadar tidak muncul di tempat mereka sedangkan waktu siang di sana sentiasa dalam keadaan panas atau mendung?

Jawapan bagi persoalan ini adalah mudah kerana tanda ini hanya contoh yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan tidak lebih daripada itu.

Menurut pandangan paling kuat di kalangan para ulama, ia berlaku pada sepuluh malam terakhir, iaitu pada malam ganjil sebagaimana dinyatakan oleh hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Carilah ia (malam Al-Qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan.”

Bagaimanapun, dalam mencari malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu, kita mungkin sekali lagi dilanda kebingungan tatkala pada tahun tertentu, Arab Saudi memulakan bulan puasanya pada tarikh berbeza dari negara lain.

Mungkin antara kita akan tertanya sama ada kiraan malam ganjil ini menurut kiraan Ramadan di Arab Saudi atau di negara yang kita duduki.


Hal ini sebenarnya sukar dipastikan dan para ulama berpendapat serta menyarankan bagi mencari malam Al-Qadar, sebaik-baiknya ia dilakukan pada seluruh malam.

Tarikh kedatangan Lailatul Qadar juga sering membuatkan kita semua tertanya sama ada ia berada pada tarikh tetap atau berubah setiap tahun.

Menjawab persoalan ini, sebahagian ulama mengatakan kedatangan Lailatul Qadar adalah bersifat tetap iaitu pada malam 27 Ramadan, namun majoriti ulama, termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie, pula berpendapat bertukar-tukar dan tidak kekal pada satu tarikh.

Selain itu, berdasarkan dalil hadis Al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu sama ada pada malam ke-25, 27 atau 29 Ramadan berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Aku lihat mimpi kamu (sahabat) menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada tiga tarikh berkenaan, malam ke-27 Ramadan adalah paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam, terutama di negara Arab.

Tarikh ini dipegang oleh kebanyakan sahabat Rasulullah SAW serta ulama silam, hinggakan seorang sahabat yang dikenali sebagai Ubay Bin Ka’ab RA bersumpah ia adalah malam ke-27 (di zamannya secara khasnya kerana beliau melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya.

Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud yang bermaksud: “Malam al-Qadar adalah malam ke-27.”

Dalam mencari malam seribu bulan ini, kita juga digalakkan memohon doa ke hadrat-Nya dengan memohon kebaikan ketika di akhirat kelak.

Doa terpenting ketika Lailatul Qadar hendaklah merangkumi kebaikan dunia dan akhirat sebagaimana doa yang dinyatakan dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada penyiksaan api neraka.”

Sasaran kita pada malam-malam terakhir Ramadan adalah bagi mendapatkan keampunan Allah SWT sebagaimana perihal perbualan Rasulullah SAW dengan Aisyah RA.

Ketika itu Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doakan)?”

Lantas Rasulullah SAW berkata: “Sebutlah doa seperti ini; Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan.”

Lantaran niat untuk mencari malam Lailatul Qadar ini,
segelintir ulama menyatakan individu yang mendapat keberkatan malam al-Qadar itu akan mengetahuinya berdasarkan tanda-tanda yang muncul.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW bahawasanya: “Barang siapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya.” (Riwayat Muslim)
Namun, pandangan lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikan menerusi kedatangan malam itu, sama ada secara sedar atau tidak.

Tidak terkecuali menerusi kelebihan diberi Allah SWT melalui pelbagai cara seperti mimpi, tanda yang menarik atau pelik serta pelbagai cara yang boleh disampaikan oleh-Nya.

Tidak perlu untuk solat malam di tepi pokok atau di depan baldi air kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku kerana Allah SWT akan memberi tandanya menurut kehendak-Nya, sebagaimana dimahukan-Nya.

Selain itu, perlu kita ingat waktu makbul dan keberkatan Lailatul Qadar bukan dalam tempoh tertentu, seperti sering kita dengar sewaktu kanak-kanak bahawa waktu makbul doa dan keberkatan malam itu hanya untuk beberapa saat.

Sebaliknya, waktu tibanya malam itu adalah sepanjang malam berkenaan sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Qadr, ayat kelima yang bermaksud: “Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.”

Malah, oleh kerana Allah SWT itu juga maha adil lagi maha mengetahui niat seseorang itu, wanita yang dalam keuzuran juga pasti tidak terhalang daripada berkat malam berkenaan.

Ini kerana wanita yang masih dalam tempoh uzur boleh melakukan pelbagai amal dan ibadat seperti berzikir, berdoa, mendengar bacaan al-Quran serta mengkaji terjemahan dan memahaminya.

Diharapkan kita sebagai umat islam sama-sama dapat memanfaatkan Ramadan dengan melakukan ibadat penuh keikhlasan dan kebaikan pada malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

Sekian Wassalam....

PENGIKUT

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...