Pages
▼
Ghazwah al-Hudaibiyyah
Ghazwah al-Hudaibiyyah berlaku pada bulan Zulkaedah, tahun ke-6 hijrah.
Antara latar belakang peristiwa ini, Rasulullah s.a.w. telah bermimpi bahawa Baginda memasuki Baitullah al-Haram bersama para sahabatnya dalam keadaan aman dan bercukur kepala atau memotong rambut. Mereka tidak merasa takut kepada sesuatu. Maka Baginda memerintah orang ramai bersiap keluar ke Makkah bagi mengerjakan umrah dan bukan untuk berperang dengan Quraisy. Muhajirin dan Ansor telah keluar bersama Baginda didorong oleh rasa rindu untuk melihat Baitullah al-Haram setelah dihalang berbuat demikian selama enam tahun. Rombongan tersebut turut disertai oleh Arab Badwi. Baginda s.a.w.meletakkan di hadapannya "Hadyu" iaitu unta dan binatang ternakan korban yang dibawa ke Baitullah al-Haram sebagai mengagung dan memuliakannya. Baginda telah berihram di satu tempat bernama Zul Hulaifah agar orang ramai khususnya Quraisy mengetahui bahawa Baginda bukan mahu berperang.
Bilangan mereka yang keluar bersama Baginda kira-kira 1,500 orang. Mereka tidak
keluar membawa senjata kecuali senjata bagi para pengembara pada zaman tersebut iaitu pedang yang bersarung. Baginda berjalan sehinggu tiumpai di Usfan. Seorang lelaki dating yang memberitahu Baginda:
"Quraisy telah mendengar kedatanganmu. Oleh itu, mereka telah keluar dengan memakai kulit harimau seraya bersumpah dengan nama Allah, bahawa kamu tidak akan sekali-kali masuk ke Makkah". Maka Baginda s.a.w. bersabda:
"Hai kasihannya Quraisy, mereka mabuk perang! Apa yang akan menimpa mereka, jika mereka membiarkan aku berurusan dengan semua orang Arab?! Sekiranya bangsa Arab mencederakan aku, itulah yang mereka mahukan.Sekiranya Allah memenangkan aku ke atas bangsa Arab, mereka boleh memasuki Islam beramai-ramai. Kalau Quraisy tidak mahu berbuat demikian, mereka boleh berperang. Mereka mempunyai kekuatan. Apa yang Quraisy sangkakan? Demi Allah, aku akan terus berjuang demi agama yang Allah utuskan aku, sehingga Dia memenangkannya, atau urat tengkuk ini bercerai (aku mati)".
Apabila Baginda sampai di Hudaibiyyah (satu tempat berhampiran Makkah dan sekarang ini terletak antara kota itu dengan jalan Jeddah), beberapa orang lelaki daripada bani Khuzaah datang menemui Baginda bertanyakan sebab kedatangan. Baginda memberitahu bahawa Baginda hanya datang untuk menziarahi Baitullah dan mengerjakan umrah. Lalu mereka pulang dan memberitahu Quraisy: "Kamu tergopoh-gapah terhadap Muhammad. Dia tidak datang untuk berperang, bahkan datang hanya untuk menziarahi Baitullah ini." Quraisy berkata: "Tidak. Demi Allah (kami tidak akan benar) dia memasuki Makkah untuk menguasai kami secara kekerasan buat selama-lamanya. Dan orang Arab tidak menuduh sedemikian terhadap kami."
Kemudian Quraisy menghantar Urwah bin Mas'ud at-Thaqafi untuk berunding dengan Rasul s.a.w. tentang perkara tersebut. Selepas perbincangan, dan selepas berlaku beberapa peristiwa antara Urwah dengan sebahagian sahabat, dia pulang menemui Quraisy lalu menceritakan apa yang dilihat. Dia menceritakan bagaimana kecintaan para sahabat kepada Rasulullah s.a.w.. Mereka begitu hormat kepada Baginda dan cenderung untuk melakukan perdamaian. Namun Quraisy enggan menerimanya. Kemudian Rasul s.a.w. mengutus Othman bin Affan menemui penduduk Makkah untuk menegaskan kepada mereka tujuan kedatangan Baginda s.a.w. dan para sahabat. Othman terlewat pulang lalu tersebar berita di kalangan orang Islam bahawa beliau telah dibunuh. Ketika itu, Rasul s.a.w. berkata:
"Kita tidak akan berganjak sehingga kita memerangi kaum tersebut."
Baginda mengajak orang Islam berbaiah untuk berjihad dan mati syahid di jalan Allah. Mereka telah berbaiah dengan Baginda di bawah sebatang pokok "Tolh" (pokok acacia). Mereka berjanji tidak lari dari medan; penentuannya sama ada diadakan perdamaian ataupun mati syahid.
Apabila Quraisy mengetahui berita baiah tersebut, mereka merasa takut. Pada pandangan mereka, perdamaian bersyarat dengan Baginda perlu dilakukan. Baginda dikehendaki pulang ke Madinah pada tahun itu dan datang kembali pada tahun depan.Baginda hanya dibenarkan bermukim selama tiga hari di Makkah dengan hanya membawa senjata biasa seperti tombak dan pedang yang tersarung. Untuk itu, Quraisy mengutuskan Suhail bin 'Amru bagi menyempurnakan perdamaian tersebut. Akhirnya perdamaian dimeterai mengikut kemahuan Quraisy. Berlaku gencatan senjata di antara kedua-dua pihak selama 10 tahun. Perdamaian Hudaibiyyah juga memutuskan, sesiapa yang datang daripada pihak Muhammad ke Makkah, mereka tidak memulangkannya, sementara sesiapa yang datang kepada Muhammad dari Makkah, mereka perlu memulangkannya.Perkara tersebut begitu sukar diterima oleh orang Islam. Sebahagian mereka berbahas dengan Nabi s.a.w. berkenaan syarat-syarat tersebut. Antara mereka yang paling keras menentang ialah Umar,Sehinggakan Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Aku adalah hamba Allah. Dia tidak akan mempersia-siakan aku".
Kemudian Rasul memerintahkan para sahabat melakukan tahallul (langkah-langkah
keluar daripada ikatan ihram) umrah. Namun, mereka tidak melakukannya ekoran terlalu kesal, setelah dihalang memasuki Makkah. Mereka juga sukar untuk menerima syarat-syarat perdamaian tersebut. Oleh itu, Baginda s.a. w. mengambil inisiatif memulakannya sendiri.Lalu Baginda bertahallul daripada umrah. Lantas tindakan Baginda itu diikuti oleh semua orang Islam. Namun selepas itu, syarat-syarat yang sukar diterima oleh orang Islam tetapi diredhai oleh Rasul s.a.w. ternyata memberi faedah besar. Ini tercapai kerana Baginda berpandangan jauh, berfikiran tajam dan mendapat bantuan wahyu sehingga membolehkan Baginda berfikir dan bertindak dengan tepat.
Lantaran pulangan faedah yang banyak ini, Allah telah menamakan peperangan ini
sebagai kemenangan yang nyata. Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad)
satu jalan kemenangan yang jelas nyata.
Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuhpenuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)”.
(Maksud Al-Fath: 1-3)
Kemudian Allah memperkatakan tentang perjanjian baiah dengan Rasul s.a.w.
melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia (baiah)
kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka
hanya-sanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah
mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya).
Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya
tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang
menyempurnakan apa yang telah dijanji-kannya kepada Allah, maka Allah
akan memberi kepadanya pahala yang besar”.
(Maksud Al-Fath: 10)
Allah telah meredhai mereka yang terlibat dalam Baiah ar-Ridhwan yang berlangsung di bawah sebatang pokok. Firman-Nya yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika
mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di
bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu)
ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat
setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang
tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang
dekat masa datangnya”.
(Maksud Al-Fath: 18)
Allah memperkatakan tentang mimpi Rasulullah yang menjadi sebab berlakunya
Ghazwah Hudaibiyyah.Firman-Nya yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar Rasul-Nya dalam
perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu
tetap akan memasuki Masjid Al-Haram - insya Allah (pada masa yang
ditentukan-Nya) - dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah
kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidakpun) menggunting
sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan peng-khianatan
musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah menangguhkan
berlakunya kenyataan itu) kerana Dia mengetahui (adanya feadah dalam
penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Dia menyediakan
sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa
berlakunya)”.
(Maksud Al-Fath: 27)
Kemudian Allah menegaskan tentang penguasaan agama ini dan
kemenangannya. Firman-Nya yang bermaksud:
(Allah yang menyatakan itu) Dia lah yang telah mengutus RasulNya
(Muhammad, s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang
benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya
atas segala bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi
(tentang kebenaran apa yang dibawa oleh Rasul-Nya itu).
( Al-Fath: 28)
Sekian Wallahu’alam….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan